Nak beli kereta apa? Realiti EV vs rasional rakyat! Dari lebuh raya dunia ke jalan sederhana!
Published bySaya tidak lagi melihat kereta sebagai lambang kejayaan. Pandangan itu telah lama saya tinggalkan sejak zaman sebelum menyertai TV3 Malaysia pada tahun 1990, ketika membeli kereta adalah simbol kematangan hidup.
Selepas itu, kereta datang bersama pekerjaan. Saya hanya memandu, bukan memiliki.

Di Dubai, pengalaman saya menjadi lebih ekstrem. Saya memandu Rolls-Royce, Mercedes-Benz, BMW, Hummer, Volvo, Audi, Toyota, Lexus dan pelbagai kereta mewah, jentera yang mencerminkan kemewahan dunia tanpa kompromi.
Ketika itu, saya tidak pernah bertanya: berbaloi atau tidak? Alam sekitar atau tidak? Yang penting adalah pengalaman.
Namun hari ini, selepas diserang strok dan kembali ke Malaysia sebagai OKU, semua itu berubah. Kereta kini saya lihat sebagai alat asas untuk bergerak, untuk berdikari, untuk hidup.
Dalam keterbatasan ini, saya mula mengkaji secara mendalam tentang kereta elektrik (EV), terutama potensi pemanduan sendiri yang mampu mengembalikan kebebasan kepada orang seperti saya.
Tetapi semakin jauh saya menyelidik, semakin jelas satu hakikat: naratif EV
yang kita dengar tidak semestinya sesuai dengan realiti Malaysia.
Di pentas global, EV adalah simbol kemajuan.
Di Amerika Syarikat, Tesla bukan sahaja menjual kereta, tetapi menjual masa depan dengan teknologi autopilot, rangkaian pengecasan yang meluas dan sokongan dasar kerajaan.
EV di sana bukan sekadar alternatif; ia semakin menjadi norma.
Di China, perubahan berlaku lebih pantas. Syarikat seperti BYD, NIO dan XPeng menghasilkan EV pada skala besar dengan harga yang lebih mampu milik. Infrastruktur berkembang dengan agresif.
China bukan sahaja pengguna EV terbesar dunia -- mereka adalah arkitek ekosistemnya.
Namun kedua-dua negara ini berkongsi satu kelebihan: Sistem yang
menyokong -- daripada polisi sehingga tenaga.
Malaysia masih belum sampai ke tahap itu.
Mari kita kembali kepada realiti tempatan.

Rakyat Malaysia memandu sekitar 70 hingga 90 kilometer sehari. Dalam
setahun, angka itu mencecah kira-kira 30,000 kilometer. Sebuah kereta sedan
biasa berharga sekitar RM80,000 hingga RM100,000. Dalam tempoh lima tahun, kos
penyelenggaraan sekitar RM15,000.
Kos bahan api pula bergantung kepada subsidi boleh mencecah antara RM80,000
hingga RM130,000 dalam tempoh 15 tahun.
Keseluruhannya, jumlah pemilikan sekitar RM180,000 hingga RM235,000.
Sekarang bandingkan dengan EV.
Sebuah EV dengan harga RM150,000 ke atas mungkin kelihatan menarik dari
segi teknologi. Kos penyelenggaraan rendah. Pemanduan senyap. Tiada asap.
Tetapi kos pengecasan boleh mencecah RM5,000 setahun, menjadikan RM75,000 dalam
15 tahun. Tambahan pula, penggantian bateri boleh mencapai RM50,000.
Jumlah keseluruhan: sekitar RM275,000.
Perbezaannya ketara.
Di sinilah saya melihat satu ilusi bahawa EV secara automatik lebih menjimatkan dan lebih hijau. Hakikatnya, dalam konteks Malaysia hari ini, ia belum tentu benar.
Saya melihat jalan raya Malaysia setiap hari dan saya melihat satu budaya
yang tidak berubah. Kereta masih menjadi simbol gaya. Kita memilih bukan
sekadar untuk bergerak, tetapi untuk dilihat.
Namun dalam dunia yang semakin mencabar, pilihan sebegini perlu dinilai semula. Di sinilah jenama tempatan memainkan peranan penting.

Perodua dan Proton bukan sekadar pengeluar kereta; mereka adalah cerminan
realiti ekonomi rakyat Malaysia. Model seperti Perodua Myvi atau Proton Saga
dan Persona mungkin tidak membawa imej futuristik seperti EV, tetapi mereka
menawarkan sesuatu yang lebih penting keseimbangan antara kos dan keperluan.
Dengan harga yang lebih rendah, kos penyelenggaraan yang terkawal, dan
kecekapan bahan api yang semakin baik, kereta-kereta ini memberi ruang kepada
pemilik untuk berfikir lebih jauh. Lebihan wang daripada tidak membeli EV mahal
boleh digunakan untuk pelaburan lain termasuk tenaga hijau seperti panel solar.
Ironinya, inilah mungkin cara yang lebih berkesan untuk membantu alam
sekitar.
Saya tidak menolak EV. Sebaliknya, saya melihat EV sebagai masa depan yang belum tiba sepenuhnya di Malaysia.
Sebagai OKU, saya melihat sesuatu yang orang lain mungkin terlepas pandang
dan teknologi pemanduan sendiri. Inilah elemen yang benar-benar revolusioner.
Jika teknologi ini matang dan mampu dimiliki, ia boleh mengubah kehidupan ramai
orang bukan sahaja golongan OKU, tetapi juga warga emas.
Bayangkan sebuah kereta yang tidak memerlukan pemandu. Bagi saya, itu bukan kemewahan. Itu adalah kebebasan.
Namun untuk sampai ke tahap itu, beberapa syarat perlu dipenuhi. Harga EV
mesti turun ke tahap mampu milik. Infrastruktur pengecasan perlu meluas, bukan
hanya di bandar besar. Sumber tenaga negara perlu menjadi lebih bersih. Dan
dasar kerajaan perlu jelas serta konsisten.
Tanpa semua ini, EV hanya akan menjadi simbol bukan solusi.
Kita tidak boleh menafikan bahawa dunia sedang bergerak ke arah EV. Amerika
Syarikat dan China telah membuktikannya. Tetapi kita juga tidak boleh meniru
tanpa memahami konteks.
Malaysia mempunyai realiti tersendiri dari segi pendapatan rakyat, subsidi
bahan api, dan struktur tenaga.
Dalam keadaan ini, keputusan membeli EV mahal perlu dilihat dengan lebih kritikal. Ia bukan sekadar soal kemampuan membeli, tetapi soal keberkesanan jangka panjang.
Adakah kita benar-benar menjimatkan? Adakah kita benar-benar membantu alam sekitar? Atau kita sekadar mengejar naratif global tanpa menilai realiti tempatan?

Saya pernah hidup dalam dunia kemewahan automotif. Hari ini, saya hidup
dalam dunia keperluan asas. Perubahan ini mengajar saya satu perkara penting
dan nilai sesuatu bukan terletak pada harganya, tetapi pada fungsinya.
Kereta yang terbaik bukanlah yang paling mahal, tetapi yang paling sesuai.
Dalam konteks Malaysia hari ini, kereta seperti Myvi atau model daripada
Proton mungkin lebih rasional. EV pula masih memerlukan masa untuk benar-benar
menjadi pilihan utama.
Namun saya tetap berharap. Suatu hari nanti, EV akan menjadi lebih mampu milik, lebih efisien dan lebih inklusif. Apabila itu berlaku, ia bukan sahaja akan mengubah industri automotif, tetapi juga kehidupan manusia termasuk mereka yang seperti saya.
Sehingga hari itu tiba, kita perlu membuat pilihan dengan bijak. Bukan berdasarkan trend, tetapi berdasarkan realiti. - KitaReporters
