Yeo Bee Yin (kiri) bersama Andy Gu (dua dari kiri), Erich Schober (dua dari kanan) dan Alan Fam pada majlis perasmian pejabat baru KUKA Malaysia di Puchong, Selangor.


Usaha KUKA Group mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa termasuk negara ini selari dengan pasaran Robotik Malaysia diunjurkan mencecah RM103.1 bilion pada tahun lalu (2023), melepasi jumlah sasaran Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030.

Nilai pasaran industri robotik terutama Robot Perkhidmatan dalam 2022 kira-kira RM92.29 billion, biarpun mengalami kesan yang menjejaskan kepada ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Berdasarkan perkembangan positif itu, KUKA Group optimis terhadap sektor perindustrian Malaysia memandangkan lebih banyak perniagaan berusaha untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos dengan mengutamakan operasi.

Erin Schober dalam ucap utamanya sempena perasmian pejabat baharu KUKA Malaysia.


"Kami membuat keputusan memasuki pasaran robotik Malaysia berikutan unjuran dan pertumbuhan ekonomi negara ini yang memberangsangkan terutama dalam industri pembuatan dan perkhidmatan.

"Kami berada di sini sebagai pemudah cara kepada pelanggan selain membantu mereka menguruskan perniagaan lebih produktif dan cekap memandangkan kami adalah pengeluar produk robotik yang menyediakan pelbagai aplikasi termasuk perkhidmatan.

"Matlamat kami ialah menjadi pilihan kepada pelanggan dalam sektor automasi pintar di negara ini termasuk dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS)," kata Ketua Pegawai Jualannya, Erich Schober,  dalam ucap utama sempena pelancaran pejabat baharunya di Puchong, Selangor. 

Sebahagian daripada kakitangan KUKA Malaysia bergambar di hadapan pejabat baharu mereka di Puchong, Selangor.


Pejabat baharu itu dirasmikan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KUKA Malaysia merangkap Ketua Pegawai Serantau KUKA Asia Pasifik APEC, Alan Fam dan Naib Presiden Kumpulan Midea, Andy Gu.

Pejabat serantau baharu berkeluasan 62.5 meter persegi itu dikhaskan untuk perkhidmatan jualan, pemasaran, ujian, alat ganti dan latihan selain menyediakan perkhidmatan pelanggan 24 jam dan bantuan selepas jualan.

Sejarah KUKA bermula pada 1898 yang diasaskan Johann Joseph Keller and Jakob Knappich di Augsburg, Jerman. Sejak itu, syarikat itu mengekalkan idea dan inovasi “Made in Germany”. 

Kini, KUKA ialah pengeluar utama penyelesaian automasi pintar dengan jualan tahunan RM20 bilion dan mempunyai lebih 15,000 pekerja di di seluruh dunia.

Schober berkata, kumpulan itu turut melabur RM5.12 billion pada peringkat global dalam tempoh lima tahun akan datang dalam teknologi termaju termasuk infrastruktur yang mempunyai kaitan dengan robotik dan inovasi sokongan. 

Antara produk robotik KUKA yang digunakan dalam industri pembuatan di Malaysia.


Sementara itu, Alan Fam berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mengembangkan operasi KUKA di Pulau Pinang kerana ia selari dengan matlamat negeri itu meningkatkan penggunaan robotik dalam industri selain mewujudkan lebih banyak pusat jualan dan perkhidmatan pelanggan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan sektor elektronik, automotif, pertanian dan barangan pengguna yang berkaitan dengan automasi robotik.

Setakat ini, kumpulan itu telah berurusan dengan industri sarung tangan, pembuat kereta nasional Proton, Pentamaster Corp yang mengeluarkan semikonduktor dan Mattel yang menghasilkan kereta mainan Hot Wheels di Pulau Pinang.

Alan Fam


"Landskap pasaran menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang positif dan ini memberi peluang kepada KUKA menawarkan lebih banyak kepakaran bagi membantu pelanggan berkaitan penyelesaian robotik.

"Matlamat kami ialah menjadi pilihan kepada pelanggan dalam sektor automasi pintar di negara ini termasuk dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya lagi. 

Sebahagian daripada pengamal media yang hadir sempena perasmian pejabat baru KUKA Malaysia di Puchong, Selangor.


Ditubuhkan pada 1993 melalui rakan kongsi sistem, KUKA Robot Automation (M) Sdn Bhd (KUKA Malaysia) diperbadankan pada September 1999 sebelum dijadikan ibu pejabat serantau bagi rantau APEC.

KUKA Malaysia menyediakan perkhidmatan robotik terpakai, sewaan atau menjual semula robot yang anda sudah gunakan, alat ganti, khidmat nasihat untuk robotik dan mesin, perkhidmatan selepas jualan dan khidmat pelanggan 24 jam.

KUKA turut menawarkan perkhidmatan rakan kongsi integrasi sistem dan pasaran digital selain mengedarkan produk dan perkhidmatannya di Singapura, Malaysia, Vietnam, Thailand, India, Korea Selatan, Jepun dan Australia berkaitan perkhidmatan sokongan dalam pembangunan perisian dan automasi. - KitaReporters

15
12
0
9
0

Copy Link: