HADIAH sempena Aidiladha buat 244 peniaga kecil, medan selera, kios penjaja dan pasar di pusat pentadbiran persekutuan apabila Perbadanan Putrajaya akan melaksanakan pengurangan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus untuk tempoh 12 bulan berkuat kuasa 1 Jun 2026 hingga 30 Mei 2027.


Hannah Yeoh bertanya sesuatu kepada seorang pemilik gerai makanan ketika melakukan tinjauan di Medan Selera Presint 9, Putrajaya.


Pengurangan sewa gerai, kios dan kedai milik Perbadanan Putrajaya itu akan membantu mengurangkan tekanan peniaga kecil, terutama dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu termasuk konflik di Asia Barat.

Jika dilihat dari sudut peniaga kecil, sewa ialah antara komitmen paling tetap. Bila kadar sewa turun 30 peratus selama setahun, ia memberi ruang bernafas kepada peniaga untuk urus aliran tunai.

Dalam keadaan harga bahan mentah naik termasuk minyak masak, ayam, bekalan makanan dan kos logistik, pengurangan sewa sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan yang "mesti dibayar” setiap bulan.

Contohnya jika sewa asal RM1,000 sebulan, potongan 30 peratus bermaksud tinggal RM700. Ada lebihan RM300 untuk peniaga kecil dan jumlah itu besar, sekurang-kurangnya boleh menampung pembelian stok harian, bayar pekerja sambilan atau mengurang kebergantungan kepada hutang pusingan modal.

Pengurangan 30 peratus ini memang membantu dan datang pada masa yang sesuai. Ia mungkin bukan penyelesaian penuh kepada tekanan ekonomi global, tetapi bagi peniaga kecil di Putrajaya tapi pendekatan kerajaan itu menjadi “nafas tambahan” untuk mereka terus bertahan, kekal berniaga dan menjaga pendapatan keluarga.


 Hannah Yeoh membantu Mohd Sakeri Abdul Kadir memasang poster diskaun yang diberikan kepada warga emas yang menikmati makanan di Medan Selera Presint 9, Putrajaya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pengurangan sewa itu bermakna kerajaan tempatan memahami realiti peniaga kerana dalam keadaan ekonomi dunia perlahan, ringgit dan kos import turun naik dan ramai peniaga rasa terbeban sebab margin untung makin nipis.

Beliau berkata, bagi melayakkan mereka menikmati pengurangan kadar sewa ini, peniaga yang terbabit perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga Mei 2026. Langkah ini juga memberi peluang kepada mereka untuk  menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan.

"Kerajaan memahami ramai peniaga kecil memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan keluarga mereka terus terbela. Ketika rakyat sedang mengurus pelbagai cabaran kehidupan harian, bantuan yang bersasar amat penting supaya peniaga kecil terus mampu bertahan.

"Apabila peniaga kecil terus diberi ruang untuk bertahan dan berkembang, seluruh komuniti turut mendapat manfaat daripada pengguna, keluarga sehinggalah ekonomi setempat.

"Ini juga boleh membantu mengekalkan harga kepada pengguna. Peniaga mungkin dapat menggunakan penjimatan itu bagi menstabilkan operasi dulu. Maknanya, bukan terus turunkan harga, tapi mengelak daripada menaikkan harga terlalu kerap.

“Ia memberi peluang peniaga menyusun semula komitmen sewaan lebih stabil dan mampan,” katanya selepas melakukan tinjauan di Medan Selera Presint 9, Putrajaya. 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.



Mengulas lanjut, Hannah berkata, langkah itu bagi mengurangkan tekanan operasi dan membantu peniaga kecil terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar kerana golongan itu tidak patut dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat.

“Saya berharap langkah ini dapat memberi sedikit ruang bernafas kepada peniaga kecil yang setiap hari berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hannah turut mengumumkan pemberian diskaun makanan dan minuman sebanyak 10 hingga 15 peratus kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang ditawarkan oleh peniaga.

“Bermula di medan selera di sini semua peniaga bersetuju memberikan diskaun makanan dan minuman sehingga maksimum 15 peratus kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas tapi diskaun ini tak boleh terpakai untuk satu keluarga, ia hanya khas untuk warga emas menikmati makanan dan minuman.


Hannah Yeoh memasang apron kepada seorang peniaga di Medan Selera Presint 9, Putrajaya.


“Saya ucapkan terima kasih kepada persatuan penjaja kerana mereka menyahut inisiatif PPj ini dan PPj merupakan PBT (pihak berkuasa tempatan) yang pertama di Jabatan Wilayah Persekutuan yang melaksanakan inisiatif ini.

“Kita juga hendak pastikan golongan yang terkesan seperti warga emas ini yang tiada hasil pendapatan boleh menikmati diskaun yang ditawarkan. 

"Apabila PPj tawarkan pengurangan sewa 30 peratus, jadi pengurangan sewa itu mereka boleh ‘pump’ semula kepada golongan warga emas, kira ‘win win situation’ lah untuk semua pihak,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut menggalakkan peniaga bersama-sama menyokong amalan komuniti sihat  dan  mampan selaras dengan aspirasi Putrajaya termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali  guna serta  menyediakan pilihan makanan yang  lebih sihat kepada pelanggan. - KitaReporters


Hannah Yeoh bergambar kenangan bersama sebahagian peniaga selepas melakukan tinjauan di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya.

12
9
0
21
0

Copy Link: