Nak ikan terubuk masin? Ibrahim UITM sedia bantu! Amal konsep kongsi rezeki! Jadi pengusaha kental!
Published bySejarah ikan terubuk masin Sarawak bermula daripada asal usul pengawetan iaitu kaedah memerap ikan dengan garam yang pada mulanya dilakukan oleh nelayan tempatan untuk memastikan ikan terubuk tahan lebih lama sebelum wujudnya kemudahan peti sejuk.

Ikan terubuk masin di kedai Ibrahim UITM menyediakan pelbagai jenis untuk pilihan pembeli.
Daripada amalan tradisi masyarakat tempatan dengan mengawet hasil tangkapan itu, popularitinya tiba-tiba melonjak sebagai produk komersial apabila usahawan tempatan mula mengkomersilkannya secara besar-besaran di Medan Niaga Satok, Kuching sekitar tahun 1989.
Kini ia menjadi ikon pelancongan dan buah tangan wajib bagi sesiapa yang melawat Sarawak untuk dibawa pulang bagi dinikmati bersama keluarga.
Antara spesies utama ikan terubuk di perairan Sarawak ialah Terubuk Sungai (Tenualosa toli) dan Terubuk Laut yang dijadikan terubuk masin.
Ekoran itu industri ikan terubuk masin terus berkembang daripada perusahaan kecil-kecilan di kampung kepada perniagaan yang lebih meluas dengan pelbagai inovasi produk seperti serunding terubuk, terubuk sejuk beku dan pembungkusan vakum untuk pasaran luar.

Kedai Ibrahim UITM sentiasa menjadi pilihan orang ramai untuk membeli ikan terubuk masin.
Bagi mereka yang melancong ke Sarawak boleh merasai atau membeli produk terubuk masin di gerai sekitar kawasan tumpuan utama seperti Pasar Minggu Satok dan Pasar Kubah Ria di Kuching, di samping mendapatkan pelbagai hasil pertanian penduduk pribumi Sarawak Bumi Kenyalang itu.
Mengambil
kesempatan daripada kemasyhuran ikan terubuk masin itu, Ibrahim Muhammad Sahari
kini muncul antara Usahawan Ikan Terubuk Masin (UITM) yang begitu popular di
bandar Kuching Sarawak, selepas menceburi bidang perniagaan itu sejak 37 tahun
lalu.
Menurut
Ibrahim, untuk kekal dalam perniagaan terubuk masin itu dia tidak pernah
mendabik dada, malah sentiasa mengingati asal usul mula berniaga produk makanan
berkenaan di Pasar Satok dengan menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.
Tambahnya, persaingan antara peniaga di samping mendapatkan bekalan berterusan ikan terubuk untuk diperap dengan garam sudah menjadi lumrah, malah semua itu ditangani dengan penuh semangat ukhuwah sesama peniaga yang terus berkekalan di Pasar Satok, Kubah Ria, Kuching.

Ibrahim UITM tidak kedekut berkongsi rezeki dan ilmu untuk menjadi peniaga ikan terubuk masin.
Jelasnya,
hasil kegigihannya dengan dibantu oleh anak dan saudara mara, dia mengamalkan konsep
berkongsi rezeki dengan peniaga lain atau sesiapa sahaja yang ingin
berkecimpung dalam perniagaan menjual ikan terubuk masin.
“Kita tidak perlu mendabik dada atau bersikap sombong dalam mencari rezeki kerana semua ini ketentuan Allah SWT, malah amat patuh saling membantu dalam perniagaan.
"Seperti membuat ikan terubuk masin ini saya sentiasa memberi tunjuk ajar bermula daripada memproses ikan terubuk, memerap dengan garam, menjual dan seterusnya membungkus.
“Kita jangan kedekut ilmu untuk mengajar orang seperti dalam perniagaan ini, semua boleh menjual ikan terubuk masin sama ada laris dijual atau sebaliknya berserah kepada Allah SWT maha kuasa, rezeki Allah SWT yang tentukan pada setiap hari,” ujarnya yang lebih dikenali dengan gelaran Ibrahim UITM ketika ditemui di kedainya di Section 10, Rubber Road, Kuching, pada 16 Mei 2026.

Ibrahim UITM sentiasa mesra melayani pelanggan dan menjual ikan terubuk masin dengan harga berpatutan.
Ibrahim
berkata, dengan berpegang kepada konsep berkongsi rezeki juga dia berjaya
membimbing ramai pelajar lepasan sekolah yang menganggur untyuk membuka gerai
menjual ikan terubuk masin dengan mendapat bekalan ikan terubuk daripada
nelayan di perairan Sadong Jaya, Sibuan, Sebangan, Sebuyo, Meladin, Meludam dan
sebagainya.
Menurutnya,
seperti yang ditanamkan kepada anak beliau, mereka mendapat bimbingan dalam
berniaga ikan terubuk masin itu akan dipupuk semangat kental terutama perlu ada
kesabaran, disiplin tinggi dan ketegasan bagi menjamin perniagaan berjaya.
Tambahnya, ujian dalam berniaga ikan terubuk pernah teruji pada tahun 1997 apabila berlaku masalah jerebu dan ketika negara dilanda wabak penyakit berjangkit Covid-19 yang menyebabkan perniagaan jualan ikan terubuk masin terumbang-ambing.

Bahagian hadapan kedai Ibrahim UITM di Section 10, Rubber Road, Kuching.
Jelasnya,
pada tahun berkenaan bukan sahaja bekalan ikan terubuk sukar diperolehi malah
gerai pun tidak dapat dibuka kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan
itu berlaku kekurangan pengunjung ke pasar juga pelancong datang ke Sarawak
untuk bercuti dan sebagainya.
“Pernah juga
berlaku apabila kekurangan bekalan ikan terubuk, pengusaha sepertinya terpaksa
mengimport ikan berkenaan daripada negara jiran seperti Burma yang sekarang
dikenali Myanmar menyebabkan berlaku perubahan pada harga jualan runcit.
“Hasil usaha bantuan pelbagai pihak membantu pengusaha ikan terubuk masin, menghasilkan bermacam-macam produk berasaskan ikan ini dapat dikeluarkan seperti ikan terubuk kering, ikan terubuk masin vakum, sambal dan sebagai untuk memenuhi permintaan pengguna di Semenanjung,” ujar. - KitaReporters

Ibrahim UITM menunjukkan jenis ikan terubuk masin yang segar dijual di kedainya.
