Oleh DR ZAIRIHAN ABDUL HALIM

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Analisis landskap tenaga serantau menunjukkan Malaysia, sebagai pengeksport bersih minyak, dan mempunyai profil tenaga yang lebih berdaya tahan berbanding negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam. 



Bekalan minyak ketiga-tiga negara jiran tersebut bergantung kepada 70 hingga 95 peratus import minyak dari negara-negara Teluk. 

Namun begitu, oleh kerana pasaran minyak merupakan pasaran global, sebarang gangguan bekalan yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak dunia akan memberi tekanan kepada kos pengangkutan, kos pengeluaran dan inflasi domestik. 

Terkini, harga minyak Brent ditutup pada paras 103 dolar US setong. 

Dalam usaha menangani tekanan kos dan bekalan minyak, kerajaan Filipina telah bertindak memendekkan tempoh bekerja kepada empat hari seminggu di beberapa agensi kerajaan, diikuti Thailand dengan penguatkuasaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuh masa terhadap kebanyakan agensi kerajaan. 

Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam juga telah menggalakkan perusahaan untuk melaksanakan BDR sebagai langkah penjimatan minyak. 

Kerajaan Malaysia baru-baru ini turut mengumumkan bahawa cadangan pelaksanaan BDR bagi sektor awam sedang dikaji. 

Perbahasan dan pertimbangan pelaksanaan BDR perlu melangkaui aspek penjimatan bahan api dan tenaga di sektor kerajaan semata-mata. 



Walaupun langkah ini dilihat sebagai respons strategik terhadap lonjakan harga dan gangguan bekalan minyak global susulan konflik di rantau Teluk, implikasi sistemik terhadap ekonomi domestik menuntut penelitian yang seimbang, mengambil kira kebajikan isi rumah dan kelangsungan perniagaan mikro dan kecil yang bakal terkesan.

Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan BDR secara sepenuh masa bukan sahaja boleh menjimatkan perbelanjaan ke atas penggunaan tenaga bagi sektor kerajaan. 

Dasar ini juga berpotensi mengurangkan perbelanjaan penggunaan bahan api secara signifikan pada peringkat individu terutama di pusat bandar yang mempunyai kepadatan populasi pekerja yang tinggi. 

Di Lembah Klang, sebagai contoh, pengurangan masa perjalanan satu hingga dua jam sehari bukan sahaja boleh menjimatkan perbelanjaan petrol pekerja, malah membantu mengurangkan kesesakan trafik dan pelepasan karbon. 

Di sebalik faedah penjimatan pelaksanaan BDR sepenuh masa, wujud beberapa kebimbangan yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan. 

Pertama, peralihan beban kos penggunaan tenaga dari pejabat kepada isi rumah. Lonjakan besar dalam komponen perbelanjaan elektrik isi rumah dapat dilihat ketika perintah BDR dilaksanakan semasa tempoh pandemik dengan peningkatan melebihi 20%. 

Apa yang menggusarkan ialah, tren perbelanjaan ini tidak banyak berubah selepas pandemic berakhir. 

Justeru, jika BDR sekali lagi dilaksanakan secara sepenuh masa untuk satu tempoh yang panjang, hal ini berpotensi menyumbang kepada beban peningkatan perbelanjaan utiliti isi rumah di samping tekanan kos lain yang timbul sepanjang penjawat awam bekerja di rumah. 

Dalam situasi ini, penjimatan yang terhasil daripada pengurangan penggunaan petrol berkemungkinan tidak dapat mengimbangi peningkatan perbelanjaan utiliti isi rumah serta perbelanjaan lain yang berkaitan. 

Kedua, pelaksanaan BDR secara sepenuh masa berpotensi menjejaskan hasil perusahaan mikro dan kecil seperti kafeteria, gerai makanan dan perkhidmatan sokongan yang amat bergantung kepada kehadiran fizikal pekerja pejabat. 

Kehilangan kelompok pelanggan secara mendadak berisiko mewujudkan kejutan kewangan kepada peniaga kecil yang sebahagiannya masih dalam proses pemulihan pascapandemik.



Oleh itu, berbanding pelaksanaan BDR sepenuh masa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Thailand, model kerja hibrid seperti 3 hari di pejabat dan 2 hari di rumah (model 3+2), atau kaedah penggiliran kehadiran pekerja di pejabat yang telah diamalkan oleh syarikat sektor swasta di Malaysia adalah pendekatan yang lebih berhemat. 

Di samping itu, cadangan pelaksanaan model kerja hibrid dalam sektor kerajaan perlu mengambi lkira kesesuaian jenis pekerjaan tertentu bagi memastikan keseimbangan antara kecekapan tenaga, kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan produktiviti nasional.


Profesor Madya Dr. Zairihan Abdul Halim ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.


12
11
0
9
0

Copy Link: