Pos Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, melalui perkhidmatan kuriernya, Pos Laju dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited dalam menyediakan Perkhidmatan Penghantaran Barangan Jemaah Haji Pos Laju khusus untuk para jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah dan Madinah pada tahun 2026 ini. 



Bagi memastikan keselesaan dan ketenangan jemaah haji Malaysia, Pos Malaysia menyediakan penyelesaian logistik di Mekah dan Madinah bagi memudahkan urusan penghantaran barangan dan bagasi sepanjang tempoh ibadah Haji berlangsung, sekali gus mengurangkan beban membawa barangan pulang ke Malaysia serta menjadikan perjalanan dan ibadah haji lebih tenang dan selesa. 

Perkhidmatan ini merupakan kesinambungan peranan Pos Laju sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan barangan jemaah haji Malaysia sejak tahun 1998, selepas dilantik oleh TH. 

Pengalaman lebih dua dekad ini mencerminkan tahap kepercayaan yang diberikan serta keupayaan Pos Malaysia mengendalikan amanah jemaah secara selamat dan berdisiplin dari Tanah Suci ke tanah air. 

Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, “sepanjang pelaksanaan perkhidmatan ini dari tahun ke tahun, Pos Malaysia terus memperkukuh pengurusan dan operasi di lapangan bagi memastikan penghantaran barangan jemaah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan efisien. 

"Pada musim haji tahun 2026 ini, Pos Malaysia menyasarkan penghantaran kira-kira 250 tan barangan dan bagasi jemaah haji Malaysia, dengan segala persediaan rapi di Tanah Suci dan di Malaysia telah digerakkan untuk menyokong operasi penghantaran supaya berjalan dengan lancar.” 



“Kaunter-kaunter Pos Laju akan disediakan di hotel-hotel penginapan jemaah haji terpilih di Mekah dan Madinah, bagi menawarkan perkhidmatan penghantaran bagasi haji ke Malaysia serta beberapa negara ASEAN terpilih. 

"Antaranya adalah kaunter Pos Laju di Hotel Emmar Elite Madinah yang akan mulai beroperasi mulai pada 18 April 2026 sehingga hari sebelum wukuf, dan kaunter Pos Laju di Hotel Al-Kiswah Mekah yang akan beroperasi mulai pada 23 April sehingga 23 Jun 2026. 

"Seramai 25 petugas Pos Malaysia telah ditempatkan di Tanah Suci bagi memberikan perkhidmatan yang mesra serta membantu jemaah haji. 

“Tumpuan utama kami adalah untuk memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan lebih fokus dan selesa, tanpa dibebani kebimbangan mengenai cara membawa pulang barangan tambahan,” tambahnya.

Selain menawarkan perkhidmatan penghantaran bagasi haji, kaunter-kaunter Pos Laju juga ada menawarkan kotak pembungkusan khas Pos Laju dalam tiga saiz, iaitu saiz kecil, sederhana dan besar pada harga yang berbeza untuk membantu jemaah haji menguruskan proses pembungkusan barangan mereka supaya teratur dan selamat. 

Jemaah juga boleh menghantar naskhah al-Quran menggunakan perkhidmatan ini, dan setiap pembungkusan akan dikendalikan secara khusus dan dilekatkan pelekat khas bagi memastikan naskhah tersebut dilindungi dengan baik serta sampai ke destinasi dalam keadaan selamat dan terpelihara. 

Perkhidmatan ini juga menawarkan perlindungan insurans (takaful), yang boleh dipilih oleh jemaah haji bagi penghantaran barangan bernilai, tertakluk kepada nilai perlindungan sehingga RM3,000 bagi setiap bungkusan, serta syarat dan dokumentasi yang ditetapkan oleh pihak takaful. 

Jemaah haji boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tambahan ini dari petugas di kaunter-kaunter Pos Laju di Tanah Suci.



Dengan keseluruhan proses penghantaran dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan dalaman Pos Malaysia yang berpengalaman, barangan yang dibungkus rapi dijangka tiba ke destinasi dalam tempoh antara 7 hingga 21 hari bekerja. 

Kaedah pembayaran pula boleh dilakukan secara tunai dalam mata wang Arab Saudi Riyal (SAR) atau melalui pilihan Bayar Waktu Terima (COD) apabila penghantaran dilakukan di Malaysia. 

Sebagai institusi nasional, Pos Malaysia kekal komited untuk memastikan setiap amanah jemaah haji dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selamat dan penuh hormat. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
10
0
9
0

Copy Link: