Jangan jual barangan tiruan terutama aksesori dan alat ganti telefon tiruan jenama terkenal.

Ini membawa padah ke atas sebuah premis perniagaan di Ipoh apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak melakukan serbuan pada jam 11.40 pagi 8 April 2026.


Empat anggota KPDN sedang memerika aksesori dan alat ganti telefon yang dirampas.

Serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil Pemilik Cap Dagang yang mengadu terdapatnya penjualan alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis berkenaan.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 1,107 unit alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.

Beliau berkata, wakil syarikat Cap Dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.


Tiga pegawai KPDN Perak menunjukkan aksesori dan alat ganti telefon tiruan yang dirampas di sebuah premis di Ipoh.

“Premis terbabit mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM21,415,” katanya dalam kenyataan media pada 9 April 2026.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019. 


Pemeriksaan mendapat aksesori dan alat ganti tiruan telefon berjenama didapati melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

Selain menjaga hak pengguna, KPDN turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkankeyakinan pelabur asing terutamanya di Negeri Perak.

Sebarang maklumat berkenaan perkara tersebut boleh disalurkan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan.


Dua pegawai KPDN menunjukkan minyak masak peket seberat sekilo yang dirampas di ebuah premis peruncitan di Tapah.

Sementara itu, wajib beli barangan runcit yang lain baharu boleh dapat minyak masak peket. 

Begitulah taktik sebuah premis peruncitan yang dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Cawangan Tapah dalam operasi di sebuah premis di Tapah.

Dalam operasi jam 10.30 pagi 31 Mac 2026 lalu itu, KPDN merampas 714 kilogram (kg) minyak masak peket satu kilogram, dokumen perniagaan, lesen berkaitan serta invois pembelian dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,785.00.


Seorang pegawai KPDN memeriksa kotak yang mengandungi minyak masak peket

Kamalludin berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil aduan orang awam yang mendakwa premis berkenaan mengenakan syarat pembelian ke atas minyak masak peket satu kilogram bersubsidi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, kaedah penyamaran dan uji beli (test purchase) telah dijalankan dan mendapati aduan tersebut adalah berasas.

“Premis berkenaan dikesan mewajibkan pelanggan membeli barangan runcit lain sebagai syarat untuk mendapatkan minyak masak peket,” katanya dalam kenyataan media pada 1 April 2026.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, tindakan telah diambil dengan menyita sebanyak 714kg minyak masak peket satu kilogram, dokumen perniagaan, lesen berkaitan serta invois pembelian.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan mengenakan apa-apa syarat jualan barang kawalan berjadual minyak masak peket tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.


Dua pegawai KPDN Teluk Intan sedang membuat pemeriksaan invois terhadap seorang peniaga dalam operasi di Tapah

Sehubungan itu, masyarakat disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini dan mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan. -KitaReporters

12
6
0
6
0

Copy Link: