Mohon moratorium! Rayuan kepada PM tangguh sementara Akta Pekerja Gig 2025! Ada 8 isu berbangkit!
Published byGabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai segmen dalam ekosistem ekonomi gig, termasuk pekerja dan pengguna, dengan ini menzahirkan pendirian bersama menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan untuk melaksanakan moratorium (penangguhan sementara) terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Kredit foto: Utusan Malaysia
Gabungan ini terdiri daripada organisasi berikut:
- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
- Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM)
- Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR)
- Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD Malaysia)
- Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH)
- Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (TENAGA GiG MELAKA)
- Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM)
- Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM)
- Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK)
- Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP)
Gabungan ini mengambil maklum usaha kerajaan dalam memperkenal rangka perundangan khusus bagi sektor ekonomi gig sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial serta tadbir urus industri yang semakin berkembang.
Namun demikian, berdasarkan penelitian awal serta maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh di lapangan, didapati masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penelitian bagi penambahbaikan sebelum pelaksanaan menyeluruh dapat dilaksanakan secara efektif.

Kredit foto: Berita Harian
Berdasarkan dapatan lapangan dan maklum balas pemain industri, gabungan ini mengenal pasti beberapa perkara kritikal yang memerlukan penelitian dan penambahbaikan lanjut sebelum pelaksanaan Akta 872, antaranya:
1. Takrifan Pekerja Gig (Seksyen 2)
- a. Definisi pekerja gig yang merangkumi warganegara dan pemastautin tetap (PR) dilihat terlalu umum tanpa pembezaan subsektor yang jelas.
- b. Peruntukan ini berpotensi menyebabkan lambakan tenaga kerja dalam pasaran, sekali gus menekan kadar tambang dan pendapatan pekerja gig warga tempatan.
- c. Ia juga menjejaskan peluang ekonomi pekerja tempatan serta mewujudkan persaingan yang tidak seimbang dalam industri.
- d. Selain itu, wujud pertindihan dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) di mana hanya warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk menjadi pemandu (driver) e-hailing atau penghantar (rider) p-hailing, manakala Akta 872 membenarkan warga asing yang memiliki status penduduk tetap untuk menyertai dua sektor gig ini.
- e. Keadaan ini turut meningkatkan risiko ketidakstabilan ekosistem industri serta membuka ruang kepada penyalahgunaan akaun sekiranya sempadan kelayakan dan mekanisme penguatkuasaan tidak diperjelaskan.
2. Tribunal Pekerja Gig (Seksyen 22–30)
- a. Penubuhan tribunal dilihat belum matang dari segi bidang kuasa, struktur dan prosedur pelaksanaan.
- b. Berpotensi bertindih dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada.
- c. Ketiadaan SOP yang jelas menimbulkan ketidakpastian dan risiko pelaksanaan yang tidak konsisten di lapangan.
- d. Tiada kepastian adakah tribunal ini akan diwujudkan di seluruh negara atau hanya di Putrajaya? Ini akan meningkatkan kos kepada pengadu yang perlu menghadiri sesi tribunal.
3. Majlis Perundingan Gig (Seksyen 31–37)
- a. Majlis Perundingan Gig hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa keputusan yang mengikat, sekali gus mengehadkan keberkesanannya dalam memberi nasihat kepakaran terhadap dasar.
- b. Struktur pelantikan menimbulkan persoalan ketelusan apabila ahli dilantik oleh Menteri tanpa mekanisme pemilihan terbuka, sekali gus membuka ruang kepada pelantikan berasaskan budi bicara.
- c. Ketiadaan kriteria kelayakan yang jelas dari segi kepakaran, pengalaman industri dan pemahaman terhadap ekosistem gig berpotensi menjejaskan kredibiliti serta keberkesanan majlis.
- d. Tiada jaminan keterwakilan sebenar pekerja gig merentasi subsektor utama seperti e-hailing, p-hailing dan pekerja digital lain, sekali gus berisiko menafikan suara komuniti di lapangan.
- e. Ketiadaan mekanisme pemilihan demokratik serta akauntabiliti kepada komuniti gig menyebabkan majlis ini tidak mempunyai mandat sebenar daripada pihak yang diwakili.
- f. Penubuhan majlis tanpa kuasa pelaksanaan yang jelas juga berpotensi menambah lapisan birokrasi tanpa menghasilkan impak dasar yang nyata.
- g. Secara keseluruhannya, majlis ini berisiko menjadi sekadar platform simbolik tanpa kesan sebenar terhadap pembentukan dasar dan kebajikan pekerja gig.

Kredit foto: Harapan Daily
4. Penyahaktifan Akaun (Seksyen 14)
- a. Prosedur penggantungan akaun yang melibatkan tempoh tertentu berpotensi melambatkan tindakan terhadap kes serius, khususnya yang melibatkan keselamatan pengguna.
- b. Pendekatan ini boleh membuka ruang kepada insiden berulang sekiranya tindakan penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan secara segera dan efektif.
- c. Prosedur yang lebih panjang dan bersifat birokratik juga dilihat tidak selari dengan sifat operasi ekonomi gig yang memerlukan tindakan pantas dan responsif.
- d. Keadaan ini berpotensi menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.
- e. Dalam jangka masa panjang, ia boleh mengurangkan permintaan pasaran serta memberi kesan langsung kepada pendapatan pekerja gig.
5. Hak Berpersatuan (Seksyen 10)
- a. Peruntukan hak berpersatuan bersama penubuhan Majlis Perundingan Gig mewujudkan pertindihan saluran representasi pekerja tanpa kejelasan peranan dan fungsi masing-masing.
- b. Kedua-dua saluran ini tidak mempunyai kuasa rundingan kolektif serta kuasa mengikat secara perundangan terhadap platform, sekali gus mengehadkan keberkesanan dalam memperjuangkan hak pekerja gig.
- c. Keadaan ini mewujudkan struktur representasi “double layer” yang lemah, di mana persatuan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk memaksa rundingan, manakala majlis hanya berfungsi sebagai badan nasihat.
- d. Berbeza dengan kesatuan sekerja yang mempunyai kuasa rundingan kolektif dan kuasa mengikat di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 serta Akta Perhubungan Perusahaan 1967, mekanisme yang dicadangkan dalam akta ini tidak memberikan kuasa setara kepada pekerja gig.
- e. Ia turut menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan sebenar pekerja gig dalam sistem perburuhan sedia ada, khususnya sama ada mereka boleh diiktiraf dalam kerangka kesatuan sekerja atau hanya terhad kepada mekanisme alternatif yang tidak setara.
- f. Tanpa penyelarasan yang jelas, struktur ini berisiko menambah lapisan birokrasi tanpa menghasilkan impak sebenar terhadap perlindungan dan kebajikan pekerja gig.
- g. MTUC akan membawa isu ini kepada ILO kerana terdapat dakwaan pelanggaran hak pekerja yang bertentangan dengan piawaian buruh antarabangsa, termasuk hak kebebasan berpersatuan, rundingan kolektif, serta prinsip keadilan pekerjaan yang dijamin di bawah konvensyen ILO.
6. Pendedahan Kepada Cukai
- a. Walaupun Akta Pekerja Gig 2025 tidak memperuntukkan secara khusus mengenai percukaian, pengiktirafan pekerja gig di bawah Seksyen 2 (Tafsiran) serta penstrukturan dan perekodan pendapatan di bawah Seksyen 11 (Hak Pendapatan) dan Seksyen 12 (Potongan Pendapatan) secara tidak langsung mewujudkan asas kepada pemformalan sektor gig.
- b. Pemformalan ini berpotensi mendedahkan pekerja gig kepada kewajipan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 tanpa peruntukan jelas mengenai perlindungan pendapatan atau sokongan kewangan yang setara.
- c. Keadaan ini berisiko menambah beban kewangan kepada pekerja gig yang berpendapatan tidak tetap serta bergantung kepada permintaan harian.
- d. Terdapat ketidakseimbangan antara kewajipan dan perlindungan apabila pendedahan kepada cukai tidak disertai dengan jaminan seperti pendapatan minimum, kestabilan kadar bayaran atau perlindungan sosial.
- e. Selain itu, kekurangan literasi percukaian dan sistem rekod kewangan dalam kalangan pekerja gig boleh meningkatkan risiko ketidakpatuhan tanpa sengaja serta pendedahan kepada penalti.
- f. Secara keseluruhannya, struktur percukaian formal dilihat tidak sepenuhnya selari dengan sifat ekonomi gig yang fleksibel dan tidak menentu.

Kredit foto: Bernama
7. Libat Urus dan Pelaksanaan
- a. Walaupun Akta 872 ini telah diluluskan, proses libat urus masih berjalan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keseriusan dan keberkesanan proses konsultasi yang dilaksanakan.
- b. Libat urus dilihat tidak menyeluruh, tidak telus dan tidak mencerminkan penyertaan sebenar semua pemegang taruh utama dalam ekosistem gig.
- c. Keadaan ini memberi gambaran bahawa dasar dirangka secara terburu-buru dan bersifat reaktif, tanpa penelitian menyeluruh terhadap implikasi di lapangan.
- d. Pekerja gig berisiko menjadi “bahan ujikaji dasar” sekiranya pelaksanaan diteruskan tanpa kesiapsiagaan sistem dan struktur yang kukuh.
- e. Dalam masa yang sama, timbul persoalan berkaitan integriti proses libat urus apabila terdapat penglibatan entiti yang hanya didaftarkan secara rasmi pada 2 Mac 2026, iaitu Gabungan E-
- Hailing Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status serta peranan entiti tersebut dalam proses libat urus sebelum ini. Mengapa pihak Kementerian Sumber Manusia menghalalkan sebuah pertubuhan tidak berdaftar sebelum ini? Apakah kuasa KESUMA lebih tinggi daripada Pendaftar Pertubuhan?
- f. Perkara ini menimbulkan persoalan yang wajar dibincangkan secara terbuka, khususnya bagaimana sesuatu dasar melibatkan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig boleh dirangka dengan penglibatan entiti yang belum mempunyai status perundangan yang jelas pada ketika itu.
- g. Isu ini bukan bersifat teknikal semata-mata, tetapi melibatkan aspek integriti proses, ketelusan pentadbiran dan keutamaan sebenar dalam memperjuangkan kepentingan pekerja gig.
- h. Justeru, adalah penting untuk memastikan semua proses libat urus dilaksanakan secara telus, inklusif dan melibatkan hanya entiti yang sah serta benar-benar mewakili suara komuniti di lapangan.
8. Kenaikan Premium Insurans
- a. Peningkatan mendadak premium insurans komersial dalam sektor e-hailing bukan sekadar isu kos operasi, tetapi merupakan tekanan struktur yang secara langsung menghakis margin pendapatan pekerja gig. Keadaan ini berpotensi menggugat keseimbangan keseluruhan ekosistem industri yang melibatkan pekerja, pengguna dan platform secara serentak.
- b. Kenaikan kos ini tidak akan terhenti di peringkat pekerja semata-mata, sebaliknya akan dipindahkan kepada pengguna melalui pelarasan tambang, sekali gus mempercepatkan tekanan kos sara hidup rakyat dalam suasana ekonomi global yang masih tidak menentu dan berdepan risiko inflasi berterusan.
- c. Dalam jangka masa panjang, peningkatan kos yang tidak terkawal ini akan mencetuskan kesan berantai terhadap permintaan pasaran. Apabila harga perkhidmatan meningkat, kadar penggunaan akan menurun, seterusnya mengurangkan jumlah trip harian dan menjejaskan secara langsung kestabilan pendapatan pekerja gig yang bergantung kepada volum perkhidmatan.
- d. Lebih membimbangkan, tanpa sebarang mekanisme kawal selia atau intervensi dasar yang jelas, pekerja gig akan terus terperangkap dalam situasi ketidakseimbangan risiko-pulangan, di
- mana kos meningkat secara berterusan tetapi pendapatan kekal tidak menentu. Keadaan ini berpotensi mewujudkan kegagalan pasaran dalam jangka panjang serta melemahkan daya tahan sektor ekonomi gig secara keseluruhan.
- e. Rakan NGO kami telah dimaklumkan mengenai pelbagai libat urus diadakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan syarikat insurans namun sehingga kini tiada lagi keputusan atau dasar yang jelas mengenainya. Adakah penggiat ekonomi e-hailing dan p-hailing tidak penting dalam sektor ekonomi negara?

Kredit foto: Harian Metro
Sehubungan itu, gabungan ini menegaskan bahawa:
- Keseimbangan ekosistem industri perlu dipelihara agar tidak menjejaskan kelangsungan pendapatan pekerja gig, kestabilan platform serta kepentingan pengguna.
- Struktur perundangan dan pelaksanaan memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan keselarasan dengan rangka undang-undang sedia ada serta realiti operasi sektor gig.
- Proses libat urus bersama pemegang taruh utama perlu diperkukuh bagi menjamin pendekatan yang lebih inklusif, telus dan berasaskan data lapangan.
Bagi memastikan keberkesanan dasar serta kelestarian industri dalam jangka masa panjang, gabungan ini mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut:
- Melaksanakan moratorium (penangguhan sementara) terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan.
- Menubuhkan satu platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox” bagi menilai impak pelaksanaan secara terkawal dan berfasa.
- Menjalankan penilaian impak menyeluruh (comprehensive impact assessment) melibatkan aspek ekonomi, sosial dan perundangan.
- Memastikan sebarang pindaan atau penambahbaikan mengambil kira prinsip keadilan, keseimbangan pasaran dan kelestarian ekosistem gig.
Gabungan ini ingin menegaskan bahawa cadangan moratorium ini adalah selaras dengan amalan tadbir urus dasar yang baik, serta bukan bertujuan menolak inisiatif perundangan tersebut. Sebaliknya, ia
bertujuan memastikan Akta yang diperkenalkan benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.
Gabungan ini kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan pihak Kerajaan MADANI dan semua pemegang taruh dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama.

Kredit foto: MalayMail
Kenyataan ini dikeluarkan dan dipersetujui bersama oleh:
1. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (PPM-001-10-13091951)
2. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPM-005-14-22071997)
3. Gerakan Ekonomi Malaysia (PEM-013-10-01022021)
4. Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PPM-020-10-04082020)
5. Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (PPM-006-10-05112025)
6. Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PPM-024-14- 08012020)
7. Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (PPM-007-04-08122025)
8. Persatuan Ekonomi Digital Melaka (PPM-001-04-16032026)
9. Persatuan Rakan Penghantar Melaka (PPM-020-04-30062021)
10. Persatuan Rakan Penghantar Kedah (PPM-021-02-05092022)
11. Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak
