Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) yang mewakili empat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengikuti rapat perkembangan Operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan Briged al-Qassam terhadap negara haram Israel, Sabtu (7 Oktober 2023) lalu.

Empat NGO terbabit ialah Wadah Pencerdasan Ummat Malaysia (WADAH), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada 10 Oktober 2023, operasi itu menimbulkan impak lebih mengejutkan terhadap negara aparteid Israel yang kini memakan korban lebih 600 nyawa. Manakala rejim Zionis turut melancarkan serangan balas terhadap Gaza yang mengorbankan 370 rakyat Palestin.


Kekejaman yang dilakukan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin tiada peri kemanusiaan kerana matlamat mereka untuk menghapuskan bangsa Palestin dari muka bumi. - Kredit gambar: Agensi AP 


HGIM  ingin menegaskan bahawa punca utama konflik itu disebabkan perilaku biadab Israel yang menjajah Palestin, bahkan menindas, menyekat dan menghalau rakyat Palestin dari bumi mereka, selain pencerobohan berterusan terhadap Masjid Al-Aqsa, masjid suci ketiga umat Islam.

"Laporan Kumpulan Hak Asasi Tahanan, Addameer, mendakwa sehingga kini kira-kira 5,200 tahanan politik dalam kalangan rakyat Palestin masih di dalam penjara Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya.

Menurut laporan NGO Kelab Tahanan Palestin (PPC), layanan buruk Israel terhadap tahanan rakyat Palestin adalah serius dan pencabulan yang sistematik ke atas undang-undang antarabangsa, serta mengabaikan perbicaraan adil yang selaras dengan undang-undang kemanusiaan dan prinsip hak asasi manusia.

Ia juga melaporkan bahawa jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditahan sejak 1967 mencecah sejuta orang. Oleh itu, negara aparteid Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam peperangan ini. 

"Kami menggesa normalisasi hubungan negara-negara umat Islam dengan negara haram Israel mesti dihentikan dengan serta-merta dan PBB mengambil tindakan terhadap Israel yang sekian lama melanggar semua undang-undang antarabangsa berkaitan Palestin.

"Tekanan demi tekanan perlu diteruskan terhadap rejim Zionis Israel bagi memastikan bumi Palestin merdeka dan bebas sepenuhnya," katanya.


Badlishah Sham Baharin


 


Sementara itu, IKRAM menyeru solat hajat, qunut nazilah dan memperhebat kempen Palestin di Hati 2.0 dilakukan demi semangat solidariti umat Islam negara ini kepada perjuangan suci mereka.

Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin, berkata dunia menyaksikan konflik dan angka korban yang kian meningkat di Palestin hasil perilaku biadab Zionis Israel yang menjajah Palestin, bahkan menindas, menyekat dan menghalau rakyat Palestin dari bumi mereka, serta pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa.

"Justeru itu, semua ahli IKRAM di Negeri dan Kawasan diseru melaksanakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah  serta bermunajat mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan ketabahan umat Islam di Palestin menghadapi ujian ini.

"IKRAM akan memperhebat kempen “Palestin Di Hati 2.0 - Taufan Al-Aqsa" sehingga 9 November 2023; yang  boleh disambung mengikut keadaan.

"Kita telah menghidupkan semula JK Pepandu Kempen daripada IKRAM dan MyCare yang diketuai Setiausaha Agung, Shahrul Aman Mohd Saari dengan Syed Muhammad Radhi Syed Sakkaf," katanya. 

Beliau memohon ahli IKRAM mempromosi seluas-luasnya kepada masyarakat sekeliling saluran informasi telegram terkini Palestin: https://t.me/terkinipalestin dan saluran sumbangan membantu mangsa-mangsa di Gaza melalui MyCARE di http://mycare.qrd.by/palestin. - KitaReporters


19
5
0
15
0

Copy Link: