Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau pasukan Pengawal Perairan Nasional (Coast Guard) akan menyambut hari ulang tahun ke-18 pada 15 Februari 2023.

Sejauh mana masyarakat mengetahui peranan mereka yang sebenar dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan atau maritim negara kita. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan agensi APMM



Sebenarnya, APMM banyak berjasa kepada negara terutama melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di laut seperti bot karam, nelayan yang hilang dan mangsa mati lemas. 

Di samping itu, agensi tersebut turut membanteras kegiatan jenayah seperti penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan bot nelayan asing, ancaman lanun, rompakan dan rampasan kapal dan lain-lain.

Pada tahun 2022, APMM telah merekodkan 1,143 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan dan sebanyak RM4.8 juta hasil rampasan berjaya diperolehi, manakala lebih RM45 juta denda atau kompaun telah dikeluarkan kepada pesalah yang telah ditahan oleh pihak Maritim Malaysia.

Sejak 17 tahun  penubuhannya (sehingga 2022) sebanyak RM2.7 bilion hasil rampasan, lelongan, kompaun dan denda berjaya direkodkan. Agensi itu turut mengkoordinasikan 2,428 operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) membabitkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda diselamatkan. 

Pasukan Khas dan Penyelamatan atau dikenali sebagai STAR (Special Team and Rescue) telah ditubuhkan pada 25 April 2005 dengan bantuan ahli-ahli pasukan khas PASKAU dari TUDM dan PASKAL dari TLDM yang dipindahkan ke unit APMM

Pasukan ini ditugaskan untuk tugas-tugas khas seperti penyelamatan tebusan dan pengiring VIP. Penubuhan pasukan ini lagi mengukuhkan kekuatan agensi berkenaan. 


Pasukan STAR (Special Team and Rescue) yang digeruni akan melakukan  tugas-tugas khas seperti penyelamatan tebusan dan pengiring VIP. - Kredit foto: Bernama


Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som memuji dan menghargai pihak pembikinan Filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’  kerana memaparkan kehidupan sebenar anggota-anggota APMM ketika sedang bertugas.

Selayaknya harus diberi pujian kepada pihak industri filem kerana belum ada lagi pihak sanggup melakukan pengambaran filem tentang APMM. Filem Coast Guard Malaysia ditayangkan ke seluruh pawagam negara pada 2 Februari 2023 lalu, sebenarnya menonjolkan budaya dan realiti sebenar APMM.

Beliau berkata, meskipun jalan cerita filem itu fiksyen, namun dari segi budaya kerjanya adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sebenar.

“Kalau tengok skrip dia, skrip Saharul bercakap, Julia bercakap di kapal, macam mana dia bercakap, itu adalah budaya dalam APMM.

“Dan terma-terma yang dipakai, kalau dilihat dia sebut terma-terma yang ada dalam APMM dan dia punya lenggok bercakap itu pun lenggok bercakap APMM,” kata Mohd Zubil.


Sebahagian aset-aset milik APMM digunakan dalam operasi atau eksesais . - Gambar hiasan


Filem terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Productions itu memaparkan kisah Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada APMM yang terpaksa berhadapan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan.

Filem yang memakan kos perbelanjaan berjumlah sekitar RM15 juta itu turut memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki APMM.

Filem arahan Allahyarham Pitt Hanif turut membariskan Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin sebagai teraju utama, di samping Adlin Aman Ramli, Hazama, Aziz M. Osman, Sherie Merlis, Jaja Iliyes, Akmal Ahmad, Kodi Rasheed, Aman Nasim, Hafiz Rafiah, Joe Aziz dan ramai lagi. 

APMM yakin mampu menjadi sebuah agensi maritim terbaik dunia berdasarkan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM 2040) nanti.

Selamat menyambut Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-18. - KitaReporters




Sumber:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/02/934977/apmm-rekod-1000-kes-tangkapan-tahun-lalu-saifuddin-metrotv

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/810574/apmm-catat-hasil-rm27-bilion-dalam-17-tahun

https://www.thisisreef.com/2023/02/berbaloi-tak-tengok-review-filem-coast-guard-malaysia-ops-helang.html

https://bebasnews.my/2023/01/30/kos-bikin-filem-coast-guard-malaysia-ops-helang-rm13-juta/

https://www.mmea.gov.my/index.php/en/58-hut/628-fun-facts

https://mediavariasi.com/2023/01/coast-guard-malaysia-ops-helang-tonjol-budaya-sebenar-apmm/

https://youtu.be/Wpyc78XSTxI

18
15
0
10
0

Copy Link: