Ketua Pegawai Eksekutif My Tutor, Mohd Hafiz Kamaruddin (tengah) dan Pengarah Urusan Siti Zulaikha Jeffry (dua dari kanan) serta antara pengasas MyT EduTech Berhad (dua dari kiri) Mohd Farhan Firdaus Jamil, Muhammad Azim Ishuddin (kiri) dan Idayu Ideris (kanan) bergambar bersama selepas majlis Pelancaran My Tutor dan Edufy di Kuala Lumpur pada 28 Mac 2022.


ADA sebahagian ibu bapa yang sanggup mengeluarkan belanja dengan menghantar anak-anak ke kelas tuisyen sama ada secara bersemuka atau dalam talian supaya anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan utama lebih memahami subjek yang diajar guru-guru di sekolah.

Ironinya selepas pandemik, pandangan sesetengah ibu bapa berubah kerana mereka lebih berkompromi dengan manfaat pendidikan daripada catatan cemerlang dalam keputusan yang diumumkan. 

Malah kerisauan ibu bapa kini lebih kepada murid di tadika dan prasekolah yang sesetengahnya masih tidak mampu mengenal huruf dan membaca dengan baik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelas online

Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor Academy Sdn Bhd (My Tutor) Mohd Hafiz Kamaruddin 


Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor Academy Sdn Bhd (My Tutor) Mohd Hafiz Kamaruddin mengakui hakikat tersebut. My Tutor ialah syarikat berasaskan perkhidmatan kelas tuisyen. 

“Misalnya kini, permintaan untuk kelas membaca antara yang tertinggi di My Tutor dan ia melibatkan murid yang berumur empat, lima dan enam tahun kerana kumpulan ini paling ramai terjejas penguasaan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis disebabkan  musim “berkurung “ hampir dua tahun lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus selepas majlis pelancaran My Tutor dan Edufy yang telah dirasmikan oleh barisan pengasas MyT EduTech Berhad yang merupakan syarikat induk kepada MyTutor Academy Sdn. Bhd

Mohd Hafiz menambah, ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, pihaknya memperkenalkan perkhidmatan baharu melalui platform iaitu kelas secara dalam talian yang dikenali sebagai Edufy.my. Sukatan subjek yang diajar bermula murid di taska, tadika sehinggalah kepada peperiksaan utama di negara ini.



“My Tutor yang telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan kekuatannya menyediakan servis tuisyen di rumah, bagaimanapun pandemik telah menjadi pemangkin kepada My Tutor menambah servis baharu iaitu platform kelas secara dalam talian.

“Pelajar tidak mempunyai pilihan dan kami ambil kesempatan menggunakan platform Edufy secara efektif dan percubaan tersebut nyata berjaya kerana draf permintaan meningkat. Kini terdapat lebih 17,000 pelajar seluruh negara yang berdaftar termasuk pelajar Malaysia di luar negara," ujarnya.

Menurutnya, Edufy iaitu platform pertama yang menghubungkan aplikasi Zoom secara bersepadu bagi pelaksanaan kelas berserta modul pelajaran secara digital mengikut permintaan pelajar

Sistem pengurusan pembelajaran diautomasi sepenuhnya bermula daripada pendaftaran, pembayaran, pautan zoom sehinggalah rakaman kelas. Kini terdapat lebih 130 kelas dan mampu menampung kelas yang bersiaran langsung secara serentak pada skala yang lebih besar.


Ketua Pegawai Eksekutif My Tutor, Mohd Hafiz Kamaruddin (tengah) dan Pengarah Urusan Siti Zulaikha Jeffry (kanan) dan Mohd Farhan Firdaus Jamil, salah seorang pengasas MyT EduTech Berhad dan juga membangunkan platform  Edufy.my.


Bagaimanapun akuinya, pada awal pengisytiharan PKP beliau dan isteri Siti Zulaikha Jeffry yang sama-sama membina perniagaan turut terkesan kerana sebelum ini syarikat mereka fokus kepada perkhidmatan mengajar bersemuka dengan pelajar secara perseorangan mahu pun berkumpulan.

“Memang terkesan di peringkat awal lebih-lebih lagi memikirkan pendapatan tutor turut  terjejas terutamanya tutor sepenuh masa. Kami mengambil masa beberapa bulan sebelum bangkit dan mendapat sokongan pasukan yang mahir dalam teknologi digital. 

"Diketuai Mohd Farhan Firdaus Jamil yang juga salah seorang pengasas MyT EduTech Berhad sehingga terbinanya Edufy. Farhan sangat faham kehendak kami kerana sistem pengurusan My Tutor juga dibangunkan oleh beliau.

“Situasi pandemik menjadi pencetus kepada kami bagi mencapai matlamat yang lebih besar dalam perniagaan kerana perubahan permintaan daripada ibu bapa sendiri. Misalnya, pada tahun lepas (2021), terdapat ibu bapa yang meminta My Tutor menyediakan kelas persediaan Ujian Peperiksaan Kelas Kafa (UPKK) dan My Tutor dapat memenuhi permintaan tersebut. Dalam masa kurang dua minggu program dilancarkan, bilangan pendaftaran mencapai sasaran penuh,” ujarnya.



Pasangan lulusan Sains Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menitikberatkan kelulusan  tenaga pengajar di My Tutor. Jika sebelum ini pihaknya menawarkan peluang terbuka kepada semua pemegang ijazah dari mana-mana bidang kini My Tutor mengorak langkah mengadakan perjanjian usaha sama dengan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kerjasama ini melibatkan siswazah yang telah tamat belajar tetapi belum memperoleh pekerjaan bagi menimba pengalaman sebagai tenaga pengajar. Selain keupayaan menyampaikan modul, kemahiran berkomunikasi mereka juga meningkat.

“Lebih daripada itu ganjaran pendapatan daripada pekerjaan itu juga boleh dimanfaatkan sebaiknya kerana terdapat tutor yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan jika mengajar secara sepenuh masa.

“Kami menyokong siswazah supaya kadar pengangguran dikurangkan di samping mencari “duit poket” sebelum memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan semasa di universiti,” katanya.

Kumpulan tutor ini katanya perlu menjalani beberapa ujian kelayakan sebelum diserap masuk sebagai tenaga pengajar termasuk latihan dan kemahiran mengajar sama ada kelas bersemuka mahupun dalam talian. Program bimbingan serta latihan diberikan secara percuma kepada semua tutor berdaftar.

“Daripada jumlah 1,900 tutor dengan pendapatan purata tutor sekitar RM1,000 ke RM3,000, kami menyasarkan peningkatan bilangan tutor aktif seramai 100,000 dalam tempoh empat tahun akan datang. Seterusnya mendokong aspirasi MyT EduTech Berhad untuk tersenarai di Bursa Saham pada tahun 2026,” katanya yang turut menyerahkan sijil kepada 87 pemegang saham. - KitaReporters


 

 

9
11
0
10
0

Copy Link: