Ketika negara jiran serantau Thailand, Philipina, Indonesian Singapura dan Vietnam sudah memiliki pingat emas Olimpik lebih awal, Malaysia masih terkial-kial berdiri di persimpangan lama dengan harapan yang diulang, perancangan yang ditambah baik, namun emas Olimpik masih belum menjadi hak milik. 


 

Lee Chong Wei tiga kali hampir menghadiahkan emas Olimpik kepada negara ketika Beijing 2008 dan London 2012 tetapi dikecewakan oleh Lin Dan dan terakhir oleh Chen Long pula jadi penghalang pada Olimpik Rio 2016. - Kredit foto: Malaysiakini. 


  

Acara terjun juga pernah hampir-hampir menyumbang pingat emas pada Olimpik Rio 2016 kepada negara melalui Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong. Kredit foto : Berita Harian. 



Berbaki 26 bulan menjelang Olimpik Los Angeles (LA) 2028, di tengah-tengah semua naratif ini, satu soalan yang lebih jujur perlu diajukan tanpa kosmetik bahasa, adakah kita benar-benar berada dalam landasan tepat untuk menang emas, atau sekadar mengurus penantian yang berpanjangan?

Program Road To Gold (RTG) dengan peruntukan RM12 juta bagi tahun 2026 sebagai kesinambungan program hampir sama yang pernah diperkenal sebelum ini memperlihat kesungguhan kerajaan mempercepat pencarian emas Olimpik pertama negara. 

Namun dalam realiti sukan prestasi tinggi, wang hanyalah bahan sokongan, bukan jaminan kemenangan. Emas Olimpik tidak pernah lahir daripada bajet, tetapi daripada sistem jujur dan mampan yang  mampu melahirkan dominasi berulang.

Hakikatnya Malaysia tidak kekurangan bakat, bermula dengan  sekolah sukan sehingga Sukan Malaysia (SUKMA),, aliran atlet muda terus wujud.

Namun sejarah sukan dunia menunjukkan satu pola yang keras, bakat tanpa sistem ampuh hanya menghasilkan atlet yang mampu berdiri untuk “hampir menang”, bukan atlet yang menutup pertandingan sebagai juara dunia.

Nama seperti Datuk Azizulhasni Awang dalam berbasikal trek, serta Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Datuk Lee Chong Wei dan ramai lagi bintang badminton membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet bertaraf dunia. 

Namun mereka masih berdiri sebagai bukti keupayaan individu, bukan buktinya bahawa sistem negara sudah benar-benar  menghasilkan  juara Olimpik.


Pasangan beregu badminton Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang menyerlah di Olimpik Rio 2016, namun masih belum mampu meraih emas dan hanya sekadar berpuas hati dengan pingat perak. - Kredit foto: Sinar.My.


Beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mencipta sejarah memenangi pingat perak di Olimpik Rio 2016. - Kredit foto: Utusan.


Sejarah membuktikan atlet kita beberapa kali hanya selangkah untuk bediri di podium tertinggi Olimpik, namun entah di mana silapnya setiap kali peluang berada di hadapan mata, atlet kita layu dan rebah dalam tekanan yang memaksa kita berpuas hati dengan pingat perak.

Pencapaian terbaik Malaysia memburu emas pertama Olimpik ketika temasya Olimpik Rio Janeiro, Brazil 2016 apabila pulang dengan 4 pingat perak dan satu gangsa. 

Pingat perak melalui acara badminton perseorangan lelaki menerusi Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying  serta acara terjun 10 meter platform seirama wanita menerusi gandingan Datuk Padelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, sementara gangsa melalui acara basikal menerusi Datuk Azizulhasni Awang.

Dalam konteks Asia Tenggara, jurang dengan jiran serantau semakin jelas. Indonesia sudah lama menikmati emas Olimpik badminton sejak 1992 dan terus mengekalkan legasi tersebut melalui sistem kelab, akademi dan budaya kompetitif yang berterusan, bukan bergantung kepada kitaran program jangka pendek.

Thailand pula memilih pendekatan lebih berfokus. Mereka tidak cuba menguasai semua sukan, tetapi menumpukan kepada disiplin tertentu seperti tinju dan angkat berat. 

Hasilnya ialah konsistensi pingat yang lahir daripada strategi, bukan percubaan menyeluruh yang tidak terarah.

Philipina pula memberi tamparan paling senyap tetapi paling tajam dalam naratif ini apabila Hidilyn Diaz meraih emas angkat berat di Tokyo 2020 bukan kerana kemudahan mewah, tetapi kerana disiplin ekstrem, ketahanan mental luar biasa dan latihan yang jauh daripada keselesaan selepas hanya berlatih di belakang rumah seorang penduduk di Jasin, Melaka.

Biar pun berlatih dalam serba kekurangan atlet angkat berat Philipina Hidilyn Diaz berjaya menyumbang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 buat negaranya. - Kredit foto: Remaja.


Azizulhasni Awang antara yang pernah menyumbang pingat perak Olimpik kepada negara dalam acara basikal trek. Kredit foto : Fuh.my


Vietnam yang dikatakan agak tertinggal jauh dalam aspek kemudahan latihan berbanding kita tidak mahu ketinggalan apabila atlet menembak mereka muncul juara acara 10 meter air pistol untuk menghadiahkan emas Olimpik buat negaranya sekali gus mencicirkan Malaysia dalam senarai pungutan emas Olimpik dalam kalangan negara ASEAN.

Di sinilah paradoks Malaysia menjadi semakin jelas. Kita mempunyai kemudahan moden, peruntukan tahunan, jurulatih import dan sokongan sains sukan, tetapi masih belum mampu berdiri di podium tertinggi pentas Olimpik. Apakah semua itu masih belum cukup untuk menukar potensi menjadi emas?

Atau atlet kita yang sudah terbiasa 'disuapkan' dengan kemewahan hingga terlupa untuk mengambil teladan  kesulitan perjuangan rakan-rakan mereka di Asia Tenggara yang terpaksa bersusah payah meningkatkan keupayaan diri untuk keluar sebagai jaguh Olimpik.

Apakah ganjaran sejumlah RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) serta kemudahan pencen seumur hidup yang ditawarkan oleh kerajaan kepada pemenang pingat  emas Olimpik sebelum ini tidak mampu memberi motivasi kepada atlet atau terdapat faktor lain yang perlu diperhalusi dan ditangani segera oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

MSN dan KBS berada di tengah-tengah tanggungjawab besar ini. Namun persoalan kritikal bukan lagi tentang kewujudan program, tetapi keberkesanan sistem dalam melahirkan atlet yang mampu menang ketika tekanan berada di tahap maksimum dunia.

Dalam analisis peluang secara jujur, Malaysia masih mempunyai peluang realistik untuk meraih pingat, termasuk emas, tetapi peluang itu sangat bergantung kepada sukan tertentu yang sudah mempunyai asas prestasi tinggi seperti badminton dan berbasikal trek.

Badminton kekal sebagai harapan paling stabil, namun realitinya, persaingan global dalam sukan ini semakin terbuka. China, Jepun, Denmark dan Indonesia sudah berada dalam kitaran persediaan yang lebih panjang, lebih saintifik dan lebih konsisten. 

Malaysia berada dalam kelompok pesaing, tetapi belum menjadi dominator.

Berbasikal trek melalui Azizulhasni Awang pernah meletakkan Malaysia hampir ke puncak. Namun faktor usia, regenerasi atlet dan perkembangan teknikal dunia berbasikal menjadikan laluan mengapai  emas semakin sempit dan semakin kompetitif.

Secara jujur, peluang emas Malaysia di Los Angeles 2028 lebih bersifat “terbuka tetapi kecil”, bukan “sedia dan konsisten”. Ia bergantung kepada prestasi luar biasa individu, bukan dominasi sistem.

Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock memenangi  Pingat Perak Sukan Olimpik Atlanta 1996. Kredit foto : Facebook MSN.


Tahap saingan Olimpik era moden semakin kejam dan saintifik. Negara seperti China, Amerika Syarikat, Great Britain, Jepun dan Australia bukan sahaja memiliki atlet terbaik, tetapi juga sistem data, analisis biomekanik, simulasi tekanan dan program regenerasi yang berjalan tanpa gangguan politik atau perubahan dasar jangka pendek.

Pada peringkat ini, perbezaan antara emas dan bukan emas sering dibataskan hanya milimeter, milisaat dan kestabilan mental pada saat paling kritikal. 

Olimpik bukan lagi medan bakat semata-mata, tetapi medan kejuruteraan prestasi manusia.

Malaysia masih berada dalam fasa mengejar. Kita mampu mencipta kejutan, tetapi belum mampu mencipta dominasi. Dalam sukan elit, kejutan tidak pernah cukup untuk membina legasi.

Masalah yang lebih mendalam ialah budaya “cukup baik” yang masih wujud dalam sistem. Atlet yang kompetitif di Asia sering dianggap sudah berada di landasan betul, sedangkan Olimpik hanya mengenali satu bahasa iaitu kemenangan mutlak.

Latihan teknikal tanpa tekanan simulasi dunia sebenar menghasilkan atlet yang kuat di gelanggang latihan, tetapi rapuh di pentas sebenar. Di sinilah jurang yang masih belum ditutup sepenuhnya oleh sistem negara.


Pasangan Razif dan Jalani Sidek pemenang pingat Olimpik pertama negara apabila membawa pulang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992. - Kredit foto: Ilimunasi.


Pembangunan akar umbi juga masih belum cukup agresif. Negara yang berjaya tidak hanya mencari bakat, tetapi membentuk mental juara sejak usia 8 sehingga 12 tahun, ketika karakter atlet masih boleh dibentuk tanpa kompromi terhadap keselesaan.

Malaysia masih terlalu sering membina atlet untuk “bertanding”, bukan untuk “mendominasi”. Perbezaannya besar antara bertanding menghasilkan penyertaan dengan mendominasi menghasilkan sejarah.

Akhirnya, peluang emas Malaysia di Los Angeles 2028 masih wujud, tetapi ia bersifat rapuh dan bergantung kepada prestasi individu luar biasa yang muncul pada hari yang tepat, bukan kepada sistem yang sudah stabil.

Dan di sinilah kebenaran yang paling sukar untuk ditelan, emas Olimpik tidak pernah menunggu negara bersedia. Ia hanya datang kepada negara yang sudah lama berhenti meminta masa, dan mula membina kemenangan sebagai kebiasaan, bukan harapan. - KitaReporters

Joseph Schooling memenangi emas Olimpik untuk Singapura ketika Olimpik Rio 2016 dalam acara renang gaya kupu-kupu 100 meter.  - Kredit foto: Olympics.com

11
16
0
12
0

Copy Link: