SEBELUM kedatangan tulisan rumi, tulisan jawi digunakan secara meluas di Tanah Melayu (Malaysia) sehinggakan pihak British juga menggunakan tulisan tersebut sebagai tulisan rasmi ketika berurusan dengan masyarakat. Namun, setelah tulisan rumi diperkenalkan, tulisan tradisi tersebut semakin lama semakin dilupakan terutamanya oleh generasi hari ini. : KitaReporters


Bagi mengembalikan semula tulisan tersebut, pelbagai kempen pernah diadakan sebelum ini bagi memastikan tulisan jawi terus hidup, namun ia ibarat angin yang datang berhembus dan terus berlalu atau hangat-hangat tahi ayam.

Terbaharu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melancarkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi yang bermula pada 10 Julai 2020 dalam usaha mengekal dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menurut menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, kempen itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat yang telah diadakan.


"Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan jawi pada peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan jawi bagi urusan rasmi.

"Di samping itu, penggunaan tulisan jawi dalam media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi pada peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat untuk bersama dalam usaha memelihara warisan negara ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam media sosial miliknya.


Semoga dengan usaha ini, tulisan Jawi dapat digunakan secara meluas dan mendapat tempat di hati generasi sekarang. 

Lebih bagus kalau diadakan pelbagai pertandingan atau aktiviti melibatkan tulisan Jawi di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi. - KitaReporters

2
0
0
0
0

Copy Link: