Video| Umairah ulangi legasi Siti Nurhaliza! Hujung Indah bawa memori, nostalgia Siti 14 tahun lalu!
Published byPenyanyi muda berbakat, Umairah, melakar satu lagi langkah penting dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single solo terbaharu berjudul 'Hujung Indah', sebuah karya yang sarat dengan mesej harapan, ketabahan dan hikmah kehidupan terbitan SN Legacy Sdn Bhd.

Dari kiri: Firdaus Rahmat, Hermond Cheng, Umairah dan Sii Nurhaliiza. FOTO: Kos Sarani.
Majlis pelancaran yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna di Hotel Ideas Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026 itu turut menyaksikan kehadiran Pengarah SN Legacy, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang berkongsi pelbagai kenangan nostalgia apabila kembali ke lokasi yang pernah menjadi saksi awal perjalanan karier seninya lebih dua dekad lalu.
Menurut Siti, lokasi berkenaan mempunyai nilai sentimental yang cukup besar buat dirinya kerana di situlah antara tempat beliau sering mengadakan persembahan serta bertemu kelab peminat pertama sekitar tahun 1998.

“Apabila saya melihat sekeliling ruang ini, jujurnya hati saya tersentuh. Di sinilah antara tempat bermulanya perjalanan saya bersama kelab peminat pertama pada tahun 1998.
"Malah kawasan tepi kolam di luar sana juga menyimpan seribu satu kenangan apabila saya sering menjalani sesi fotografi untuk pelbagai majalah dan akhbar pada waktu itu,” katanya pada majlis pelancaran single dan video muzik “Hujung Indah’ yang turut dihadiri antaranya Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis, Universal Music Malaysia, Hermond Cheng serta komposer Firdaus Rahmat dan ramai lagi.
Beliau berkata, kepulangannya ke lokasi tersebut kali ini membawa makna yang berbeza apabila hadir bukan sebagai penyanyi baharu, sebaliknya untuk menyokong dan meraikan perkembangan seni anak saudaranya, Umai atau Umairah yang dilihat memiliki potensi besar dalam industri muzik tempatan.
Siti menjelaskan bahawa pihak pengurusan sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek pendidikan Umairah memandangkan penyanyi muda itu kini masih bersekolah di Tingkatan Empat di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
“Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang sama apabila bergelar artis pada usia 16 tahun ketika masih bersekolah dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Walaupun selesai persembahan atau promosi pada awal pagi, saya tetap hadir ke sekolah kerana tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh guru-guru,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, pengetua dan para guru yang sentiasa memberi kerjasama serta memahami komitmen seni yang perlu dilaksanakan oleh Umairah.
Pada masa sama, Siti berharap Umairah mampu mengimbangi kecemerlangan dalam bidang akademik dan seni apabila bakal menduduki peperiksaan SPM tahun hadapan.
“Perjalanan seni Umairah masih panjang dan luas. Doa saya agar Umairah terus cekal, bijak membahagikan masa serta mencapai kejayaan cemerlang dalam kedua-dua bidang, iaitu akademik dan seni suara. Jangan sesekali mengabaikan pelajaran,” pesannya.

Sementara itu, Umairah atau nama penuhnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 16, melahirkan rasa syukur apabila akhirnya dapat mempersembahkan 'Hujung Indah' kepada peminat selepas melalui proses yang penuh dedikasi dan penghayatan.
“Hujung Indah bagi saya bukan sekadar sebuah lagu, tetapi hasil perjalanan yang penuh dedikasi dan penghayatan mendalam. Lagu ini membawa mesej universal tentang harapan, ketabahan dan hikmah kehidupan. Ia mengingatkan kita bahawa setiap ujian, cabaran dan kepahitan yang ditempuhi dengan sabar pasti akan menemukan kita kepada pengakhiran yang baik dan indah,” katanya.
Menurut Umairah lagi, lagu tersebut merupakan single solo keduanya dan karya ketiga sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, termasuk sebuah lagu duet yang dihasilkannya bersama Siti.
Beliau turut memaklumkan bahawa album solo pertamanya dijangka dilancarkan sebelum penghujung tahun ini bersama beberapa projek khas lain yang sedang dirancang.
Umairah turut bersyukur apabila 'Hujung Indah' dipilih sebagai lagu OST bagi drama ‘Bidadari Tanpa Syurga’, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk karya tersebut menemui penonton.
“Saya berterima kasih kepada pihak Viu dan Global Station yang memilih 'Hujung Indah' sebagai lagu pembuka drama tersebut. Saya berharap drama ini mendapat sambutan yang baik daripada penonton dan peminat,” katanya.

Dalam masa sama, Siti turut merakamkan penghargaan kepada pihak produksi drama yang memberikan kepercayaan kepada karya Umairah sebagai runut bunyi drama terbitan mereka.
Dengan pelancaran 'Hujung Indah', Umairah dilihat semakin mengorak langkah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air, sekali gus meneruskan perjalanan seni yang dibina dengan sokongan keluarga, guru serta peminat yang sentiasa berada di belakangnya.
Lebih menariknya, pelancaran 'Hujung Indah' sebagai runut bunyi drama 'Bidadari Tanpa Syurga' dilihat seolah-olah mengulangi sejarah yang pernah dilakar Siti Nurhaliza.
Jika 14 tahun lalu Siti pernah mencipta fenomena menerusi lagu tema drama 'Adam & Hawa' yang dibintangi Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa, kini giliran Umairah pula menggalas tanggungjawab menyampaikan lagu untuk drama 'Bidadari Tanpa Syurga'.
Drama terbaharu itu turut menampilkan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa sebagai teraju utama, sekali gus mencipta satu simbolik kesinambungan legasi antara Siti dan Umairah dalam dunia seni tempatan di bawah naungan yang sama. - KitaReporters
