Dunia baharu Rosyam! Seimbang bisnes dan seni! Kini fokus projek agropelancongan Rosyam New World!
Published byDi sebalik kesibukan kembali aktif dalam dunia seni, pelakon dan usahawan terkenal Rosyam Nor terus mengukuhkan empayar perniagaannya dengan pembangunan projek agropelancongan 'Rosyam New World' yang kini menjadi antara fokus utama beliau.

Dibina di atas tanah seluas 175 ekar hasil pengalaman hampir 18 tahun dalam bidang pertanian, projek yang dibina di Lanchang, Pahang ini dilengkapi dengan kemudahan chalet bertaraf lima bintang, konsep glamping serta pelbagai aktiviti menarik yang mampu menempatkan sehingga 102 pengunjung dalam satu masa.
Menurut beliau, pembangunan ini bukan sahaja membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, malah mencerminkan minat dan kesungguhan beliau dalam mengembangkan perniagaan di luar bidang seni.
“Rosyam New World ini di ladang saya. Selepas 18 tahun dalam pertanian, saya berjaya siapkan chalet-chalet yang boleh menempatkan 102 orang dalam satu masa, lengkap dengan aktiviti-aktiviti menarik,” cerita Rosyam sewaktu ditemui pada majlis Riang Ria Raya ACGas 2026 di mana beliau dan Erra Fazira (kiri) adalah Duta ACGas di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksektif Astana City Group Sdn Bhd, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman (gambar bawah, baju Melayu hijau) yang turut hadir bersama keluarga.

Pada masa sama, beliau turut memperluas rangkaian peruncitan melalui ST Rosyam Mart yang kini telah mempunyai sembilan cawangan, dengan perancangan menambah tiga lagi lokasi pada tahun ini.
Antara perancangan tersebut termasuk pembukaan Rosyam Mall di Klang, Rawang dan Pasir Gudang, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemain penting dalam sektor runcit tempatan.
Rosyam menegaskan, walaupun berdepan cabaran kenaikan harga barangan susulan peningkatan kos bahan api, beliau tetap komited mengekalkan harga yang berpatutan demi membantu masyarakat.
Katanya, pendekatan perniagaannya lebih menjurus kepada keuntungan melalui jumlah jualan yang tinggi berbanding margin besar, selari dengan matlamat untuk menyediakan barangan mampu milik kepada rakyat.
Pemilik bernama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin, 59, ini juga berpandangan bahawa kebimbangan terhadap isu bekalan makanan di negara ini masih terkawal, memandangkan Malaysia tidak pernah berdepan krisis kekurangan bekalan sejak merdeka.
Namun begitu, beliau tidak menghalang orang ramai untuk membuat persediaan sendiri sekiranya berkemampuan, terutama dalam menyimpan barangan keperluan asas.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosyam turut menyokong inisiatif seperti Madani Mart yang dilihat mampu membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, selain menyifatkan usaha tersebut sebagai pelengkap kepada inisiatif sedia ada di peringkat negeri.
Di sebalik kejayaan dalam bidang perniagaan, Rosyam kini kembali rancak dalam dunia lakonan apabila bergandingan semula dengan Rita Rudaini menerusi drama terbaharu Jiwa Seorang Pentaksub yang dijangka ditayangkan pada Jun 2026 ini di TV3.
Kali terakhir mereka muncul bersama adalah dalam filem 'Balistik', dan beliau berharap gandingan semula itu mampu mengubat kerinduan peminat setelah lebih 10 tahun tidak berlakon bersama.
Menurutnya, keputusan untuk kembali aktif di televisyen dibuat selepas menyedari kehilangannya di kaca TV apabila sering ditanya mengenai penglibatannya dalam lakonan, meskipun beliau sebenarnya masih aktif dalam filem.
Selain drama tersebut, Rosyam turut bakal muncul dalam beberapa filem baharu termasuk 'Pewaris Susuk' yang dijadualkan ditayangkan pada 30 April 2026, diikuti projek 'Blood Brothers: Bara Naga 2' dan 'Memoir Seorang Guru 2', sekali gus membuktikan beliau kini kembali memberi tumpuan serius kepada kedua-dua cabang kerjaya seni dan perniagaan. - KitaReporters

