Video| Hebat Vijay! Dari layar perak ke kerusi Ketua Menteri Tamil Nadu! Ikut jejak MGR, Jayalalitha!
Published byPERTAMA kali menceburi politik sepenuh masa, berbekalkan nama sebagai bintang terkenal, pelakon filem Tamil, Vijay, 51, mencatat kejayaan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Tamil Nadu, India pada 4 Mei 2026. Dia bakal menjadi Ketua Menteri Menteri baharu Tamil Nadu.
Mengangkat tangan tanda kemenangan. Parti TVK pimpinan Vijay parti tunggal memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu pada 4 Mei 2026.
Ini bukan dalam filem, tetapi realiti. Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang ditubuhkannya pada Februari 2024 muncul parti tunggal memperoleh kerusi terbanyak dengan memenangi 108 kerusi daripada keseluruhan 234 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Parti-parti lain yang bertanding dan menang banyak kerusi ialah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All-India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK). Masing-masing memperoleh 59 dan 47 kerusi.

Vijay bintang pujaan filem Tamil terkenal hingga ke persada antarabangsa. Dia bakal menduduki kerusi Ketua Menteri Tamil Nadu.
Vijay, atau Thalapathy Vijay dilahirkan dengan nama penuh Joseph Vijay Chandrasekhar, antara pelakon menerima bayaran tertinggi di India, juga mencatat rekod menang di dua kawasan yang ditandingi, iaitu Tiruchi Timur dan Perambur.
Lahir pada 22
Jun 1974, Vijay tidak menamatkan pengajian di Kolej Loyola, Chennai, pada awal
1990-an kerana mahu memberi tumpuan dalam filem. Dia menceburi politik sepenuh
masa setelah selesai pembikinan filem terakhir lakonannya, ‘Jana Nayagan’
pada 2025.
Filem aksi
triler politik ini turut dibintangi Pooja Hegde, Bobby Deol dan Prakash
Raj. Dibuat dengan kos sehingga 500 crore (RM208 juta), ia dianggap filem
‘selamat tinggal’ Vijay untuk peminat dan dunia filem Tamil.
Filem ini mulanya dijadual ditayang pada Januari 2026. Tetapi kerana masalah perundangan dengan Lembaga Pusat Pensijilan Filem (CBFC), ia dijangka ditayang pada minggu kedua Mei 2026, atau pada Jun sempena hari kelahiran Vijay.


Vijay berselfie dengan puluhan ribu peminat ketika mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Disember 2025.
Sekali pun muncul parti tunggal menang kerusi terbanyak, parti TVK pimpinan Vijay kurang 10 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah (118) untuk membentuk kerajaan. Vijay perlu berunding dengan parti lawan untuk membentuk kerajaan campuran dengan dia dijangka dilantik ketua menteri.
Kejayaan
memberangsangkan Vijay banyak dibantu oleh popularitinya sebagai pelakon pujaan
bukan sahaja di Tamil Nadu tetapi seluruh India dan negara luar termasuk
Malaysia. Ramai peminat Vijay di negara ini. Kerana itu kemenangan Vijay
disambut meriah.
Pemilik rangkaian ‘Tea Kadai Chain’, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, memberi minuman teh percuma kepada pelanggan melalui rangkaiannya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Sebanyak 400 cawan percuma diberi dari pukul 4 petang hingga tengah malam.

Vijay (kiri) dan Sunjay Dutt dalam satu adegan cemas filem 'Leo', antara filem box-office lakonan Vijay.
Nama Vijay
sudah lama terpahat di kalangan peminat tempatan, melalui filem-filem lakonannya,
termasuk filem blockbuster seperti ‘Kuruvi’ (2008) dan ‘Kaavalan’
(2011).
Antara filem lain lakonannya ialah ‘The Greatest of All Times’ (G.O.A.T) (2024), ‘Leo’ (2023), ‘Varisu’ (2023)’, ‘Thuppakki’ (2012), ‘Kaththi’ (2014), ‘Mersal’ (2017), ‘Ghilli’ (2004), ‘Pokkiri’ ((2007), ‘Poove Unakkage’ (1996), ‘Khadalukku Mariyadhai’ (1997), ‘Thulladha Manamun Thullum’ (1999), ‘Kushi’ (2000), dan ‘Bigil’ (2019).
Empat dekad dia terlibat dalam industri sejak berusia 10 tahun.
Lebih menarik,
pengumuman Vijay untuk menceburi politik sepenuh masa dan menokhtahkan pembabitannya
dalam filem diumumkan di Malaysia pada konsert ‘Thalapathy Thiruvizha’
dan pelancaran lagu filem ‘Jana Nayagan’.
Acara berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Disember 2025. Hampir 80,000 peminat membanjiri stadium.
Langkah Vijay membuat pengumuman di Malaysia melambangkan penghargaan tinggi kepada peminatnya di negara ini.

Vijay (atas) beraksi dalam satu lagi filem box-office lakonannya, 'Greatest of All Time' (G.O.A.T.)
Kejayaan Vijay dalam filem dan seterusnya politik mengulang sejarah kejayaan yang pernah dicapai oleh hero terkenal filem Tamil tahun tahun 60-an, Murudhur Gopalan Ramachandran, yang dikenali dengan nama MGR.
Dia yang
lahir pada Januari 1917 menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu selama tiga penggal
dari 1977 hingga kematiannya pada 1987. Dia adalah pengasas parti AIADMK yang
menang hanya 47 kerusi pada pilihan raya 4 Mei 2026 lalu.
Langkah MGR diikuti aktres popular Jayalalitha Jayaram (1948-2016) yang sering bergandingan dengan MGR dalam filem. Mereka berlakon bersama sekurang-kurangnya dalam 28 filem.
Selepas kematian MGR, Jayalalitha mengambil alih kepimpinan AIADMK. Dia yang muncul dalam 140 filem sepanjang karier dari 1961 hingga 1980 memegang tampuk kuasa Ketua Menteri Tamil Nadu selama enam penggal bermula Jun 1991 hingga 2016. Dia meninggal dalam jawatan.

MGR dan Jayalalitha gandingan popular filem Tamil, membintagi bersama 28 filem. Kedua-duanya mencipta nama dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Menteri Tamil Nadu.
Ternyata nama hebat yang dicipta sebagai peakon memudahkan laluan untuk kejayaan dalam politik pula. Ini terbukti dengan kejayaan MGR, Jayalalitha dan kini Vijay.
Namun di
Mumbai (Bollywood), negeri Maharashtra, nampaknya belum ada pelakon mencipta
kejayaan politik seperti di Tamil Nadu. - KitaReporters
