Kembali panas! TMJ tampil bersuara! Isu 7 pemain warisan! Persoal siapa sebenarnya bertanggungjawab!
Published byIsu penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya kian hangat diperkatakan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pemain terbabit, sekali gus mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan berkenaan menyaksikan FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain berkenaan digantung selama 12 bulan daripada mewakili pasukan kebangsaan.
Tujuh pemain yang terpalit dalam kes tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.
Kes ini sebenarnya bukan berkaitan isu kelayakan kerakyatan seperti yang sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak, sebaliknya berkait rapat dengan isu pemalsuan serta penyerahan dokumen kepada FIFA.
Perkara itu turut ditegaskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tampil memberi penjelasan menerusi beberapa ciapan di platform media sosial termasuk dalam Facebook dan laman X.

Menurut baginda, isu sebenar yang dipersoal oleh FIFA adalah berkaitan dokumen yang dihantar kepada badan induk bola sepak dunia itu.
“Kes FIFA ialah kes pemalsuan, bukan kelayakan kerakyatan, tetapi pemalsuan serta penyerahan dokumen,” tulis Tunku Ismail.
Baginda yang terkenal dengan julukan TMJ (Tunku Mahkota Johor) turut mempersoal pihak yang sebenarnya bertanggungjawab dalam proses penyerahan dokumen berkenaan.
“Siapa yang membuat penyerahan dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tidak menyerahkan dokumen yang sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?” titah baginda.
Menurut baginda lagi, situasi itu menimbulkan persoalan besar kerana akhirnya pemain pula yang menerima hukuman walaupun mereka bukan pihak yang menguruskan dokumen.
“Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mendedahkan bahawa ketika prosiding di CAS, pihak FIFA didakwa tidak dapat mengemukakan bukti jelas bahawa pemain terbabit terlibat secara langsung dalam pemalsuan dokumen.
“Semasa hujahan dalam pendengaran CAS pihak FIFA pun tak boleh jawab apabila ditanya mana bukti pemain terlibat atau bersubahat,” tulis pemilik kelab, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC itu.
Baginda turut membandingkan kes tersebut dengan satu kes lain di CAS yang melibatkan pemain wanita yang mengaku melakukan pemalsuan dokumen.
Menurut baginda, pemain berkenaan hanya dikenakan hukuman penggantungan 10 perlawanan bersama pasukan kebangsaan dan masih dibenarkan bermain bersama kelab.
Perbandingan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi hukuman yang dikenakan dalam kes melibatkan pemalsuan dokumen dalam bola sepak antarabangsa.
Sementara itu, Tunku Ismail turut mendakwa terdapat beberapa individu dalam FAM yang tidak berpuas hati dengan baginda sejak sekian lama.
Baginda mendakwa ada pihak yang sebelum ini pernah datang meminta bantuan daripadanya untuk mendapatkan projek tertentu.
“Beberapa orang dalam FAM memang tak puas hati dengan saya dari dahulu kerana tak boleh buat duit,” titah baginda.
Menurut baginda lagi, ada juga individu yang pernah meminta bantuannya supaya tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Baginda turut mendakwa wujud kempen sabotaj secara senyap melibatkan penyokong, media dan individu dalam media sosial bagi membentuk naratif tertentu terhadap dirinya.
Situasi itu, menurut baginda, semakin memuncak selepas kerajaan menyalurkan dana kepada pasukan kebangsaan yang menyebabkan ada pihak berasa tidak puas hati kerana tidak terlibat.
Malah, Tunku Mahkota Ismail turut mencabar mana-mana pihak yang kurang senang dengan pengaruhnya dalam industri bola sepak supaya mengambil peluang menamatkan kredibilitinya.
“Inilah masanya untuk tamatkan pengaruh dan kredibiliti saya dalam industri bola sepak tempatan mahupun antarabangsa secara total,” tulis baginda.
Isu tujuh pemain warisan ini dijangka terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan kerana ia bukan sahaja melibatkan soal peraturan FIFA, tetapi juga menyentuh aspek pengurusan dan tadbir urus bola sepak negara. - KitaReporters

