Video| Karya agung P Ramlee! Cipta empat lagu raya! Suara Takbir paling ikonik! Dah berusia 71 tahun!
Published by
Lagu raya ciptaan pertama P Ramlee berjudul ‘Manusia Miskin Kaya’ dengan lirik Jamil Sulong pada 1953.
Ia dinyanyikan oleh Lina dan untuk filem ‘Salah Siapa’ yang dibintangi Normadiah. Lagu ini turut dipopularkan beberapa penyanyi seperti Nona Asiah, Normadiah dan Eddy Nor Ali dan Amy Search.
Selepas itu, dua tahun kemudian iaitu pada 1955, P Ramlee mencipta lagu raya yang ikonik iaitu ‘Suara Takbir’ dengan lirik S Sudarmadji.
Ramai penyanyi merakam semula lagu ini, namun nyanyian P Ramlee dianggap klasik dan punya cara nyanyian tersendiri yang menyentuh perasaan.
Walaupun sudah berusia 65 tahun, suara P Ramlee mendendangkan ‘Suara Takbir’ terus diminati. Lagu asal ‘Suara Takbir’ diiiringi Orkestra Panca Irama di bawah pimpinan Jose Daroya.

Setahun kemudian iaitu pada 1956, P Ramlee mencipta satu lagi lagu bertema raya berjudul ‘Dendang Perantau’. Lagu ini juga diiringi secara orkestra.
Dan kebetulan pada tahun yang sama pemuzik terkenal ketika itu Ahmad Jaafar mencipta melodi dan lirik lagu ‘Selamat Hari Raya’. Ia dinyanyi oleh Salmah Ismail yang kemudian dikenali sebagai Saloma setelah berkahwin dengan P Ramlee.
Lagu ‘Selamat Hari Raya’ ciptaan Ahmad Jaafar juga menjadi salah satu lagu ikonik raya.
Lagu ‘Dendang Perantau’ dirakam semula P Ramlee pada tahun 1966 dengan susunan muziknya disuntik unsur pop 60-an.
Dan lagu ‘Dendang Perantau’ berunsur 60-an ini lebih popular berbanding lagu asal pada 1956.

Satu lagi lagu berjudul ‘Selamat Hari Raya’ dan lirik ciptaan Datuk Jamil Sulong pada 1969, tidak dinyanyikan oleh P Ramlee sendiri.
Dia merasakan lagu itu lebih sesuai dinyanyi oleh Ahmad Jais salah seorang penyanyi tahun 1960-an yang popular dan bersuara lantang. Dan lagu dendangan Ahmad Jais itu juga menjadi salah satu lagu ikonik raya.
Tahukah anda, lagu ‘Selamat Hari Raya’ ini pertama kali dinyanyikan oleh P Ramlee pada 1957?
Ada kisah tersendiri mengenai lagu ‘Selamat Hari Raya’ ini.
P Ramlee merupakan Presiden Persatuan Artis Filem Malaya (PERSAMA) berjuang mendapatkan kenaikan gaji karyawan filem termasuk krew Studio Malay Film Production (MFP), Jalan Ampas, Singapura.
Mogok kali pertama pada 1950 gagal dengan majikan enggan menerima desakan karyawan. Lalu mogok kali kedua dilaku di hadapan studio MFP.
Mogok bermula pada 7 April 1957 dan berlarutan sehingga Aidilfitri pada 1 Mei 1957. Bagi mengumpul dana dan membantu para karyawan yang sedang mogok, PERSAMA menganjur Konsert ‘Malam Suka Duka’ di Taman Hiburan Happy World.
Dan untuk konsert ini, P. Ramlee mencipta satu melodi lagu raya secara spontan tanpa lirik. Lalu dia meminta Jamil Sulong mencipta liriknya.
Jamil Sulong
Kata P. Ramlee, nota itu untuk lagu pembukaan pertunjukan pada malam itu dan Jamil mesti menyiapkannya sebelum pertunjukan bermula.
Dalam masa terhad, Jamil memerah otak untuk menghasil senikatanya. Dan tanpa disangka ia dapat disiap dalam tempoh 10 minit.
