Bigo Live, sebuah platform penstriman langsung global, telah bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen (KSK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, bagi menjayakan inisiatif kebajikan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 untuk menyokong komuniti yang memerlukan sokongan. 



Kempen yang dinamakan “Rise & Raise” ini menghimpunkan 20 pencipta kandungan teratas Bigo Live untuk terlibat dalam pengagihan pek bantuan secara terus di lapangan, manakala kempen kutipan dana dalam talian melalui platform Bigo Live, berjaya mengumpul RM10,000 untuk para penerima manfaat KSK. 

Walaupun hari raya sering dikaitkan dengan kemeriahan dan kebersamaan keluarga, masih ramai individu tanpa tempat tinggal serta keluarga miskin bandar yang berdepan dengan rasa terasing sepanjang musim perayaan. 

Melalui kerjasama ini, usaha dilakukan untuk merapatkan jurang tersebut dengan menyediakan juadah panas untuk berbuka puasa, hamper raya, serta menghadirkan rasa kebersamaan kepada mereka yang memerlukan. 

Sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang Syawal, pengguna Bigo Live di seluruh Malaysia telah menyertai siri siaran langsung berbentuk amal yang dikendalikan oleh 10 pencipta kandungan teratas platform tersebut. 

Menerusi sesi ini, penonton boleh menghantar hadiah maya bertemakan Ramadan dalam aplikasi, dengan sebahagian besar hasil yang diperoleh disalurkan terus kepada KSK. 

Dana ini kemudiannya digunakan bagi pelbagai inisiatif termasuk pengagihan makanan panas, operasi bank makanan seperti penyelamatan dan pengagihan semula lebihan makanan kepada golongan memerlukan, serta program latihan kemahiran untuk membantu meningkatkan keupayaan kewangan jangka panjang. 



“Di Bigo Live, kami percaya kepada kekuatan komuniti, sama ada dalam platform digital mahupun di lapangan. 

"Kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen membolehkan kami menterjemahkan sokongan dalam talian kepada impak sebenar, sekali gus memperluas bantuan kepada komuniti setempat yang memerlukan. 

"Kami amat menghargai sokongan para pencipta kandungan yang turut sama menyumbang dalam menyebarkan kegembiraan dan nilai kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan,” kata jurucakap Bigo Live Malaysia. 

“Sokongan Bigo Live dalam program pengagihan makanan kami di sekitar Kuala Lumpur, termasuk sumbangan sebanyak RM10,000, amat kami hargai. 

"Ia membantu kami menyediakan keperluan asas seperti makanan dan bantuan perubatan kepada individu tanpa tempat tinggal serta keluarga rentan melalui pelbagai inisiatif kami. 

"Lebih bermakna, komuniti Bigo Live bukan sahaja menyumbang dari segi kewangan, malah turut membawa keceriaan dan hubungan kemanusiaan yang tulus kepada mereka yang kami santuni,” kata Jien Howe Khong, wakil Kechara Soup Kitchen. 



Selain kempen kutipan dana secara digital, kakitangan Bigo Live bersama 20 pencipta kandungan teratas turut turun padang menyertai pasukan KSK dalam penyediaan makanan dan pengagihan di tujuh lokasi sekitar Kuala Lumpur. 

Mereka juga mengunjungi Pusat Gelandangan Medan Tuanku bagi menyampaikan bantuan makanan secara langsung kepada individu tanpa tempat tinggal serta golongan rentan lain. 

Bigo Live terus komited dalam memperkasa pencipta kandungannya untuk memberi impak yang lebih luas, bukan sahaja dalam platform digital tetapi juga kepada komuniti setempat. 

Sejak dilancarkan pada Mac 2016, platform ini kini memasuki tahun ke-10 sebagai salah satu komuniti penstriman langsung yang berkembang pesat di dunia, membolehkan pengguna berinteraksi secara masa nyata, berkongsi pengalaman, dan menampilkan bakat kepada khalayak global. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
12
0
13
0

Copy Link: