Gila Hindustan| Video| Filem Mann idea ceduk, lagu pula saduran! Fakta menarik di sebalik pembikinan!
Published byPEMINAT filem Hindustan tentu masih ingat filem ‘Mann’ (1999) lakonan Amir Khan dan Manisha Koirala. Ada beberapa fakta menarik yang mungkin tidak diketahui ramai mengenai filem hasil tangan pengarah/produser Indra Kumar itu.

Amir Khan dan Manisha Koirala dalan adegan filem 'Mann' arahan indra Kumar terbitan tahun 1999.
Pertama, filem tersebut bukan idea asli, sebaliknya diilhamkan daripada filem ‘An Affair To Remember’ arahan Leo McCarey keluaran tahun 1957, dibintangi oleh Cary Grant dan Deborah Kerr. Filem ini pula adalah ‘remake’ filem ‘Love Affair’, lakonan Irene Dunne dan Charles Boyer keluaran 1939.
Kedua, Amir Khan (Dev Karan Singh) dan
Manisha Koirala (Priya Verma) bukan pilihan pertama Indra Kumar untuk memegang
peranan hero dan heroin filem ‘Mann’.
Ketiga, lagu-lagu yang menghiasi filem
tersebut, gubahan gandingan pengarah muzik Sanjeev-Darshan, memang enak didengar
dan jadi lagu hits. Tetapi sebenarnya lagu filem tersebut bukan ciptaan asli, sebaliknya
saduran lagu-lagu antarabangsa.
Lebih
menarik, salah satu daripada lagu tersebut ‘Tinak Tin Tana’ adalah
saduran lagu ‘Yang Sedang Sedang Saja’ ciptaan/ nyanyian penyanyi
Malaysia, Iwan Syahman (Iwan). Lagu ini termuat dalam album ‘Ritma Dangdut dan Etnik’
1997.
Itulah tiga
aspek mengenai filem ‘Mann’ yang mungkin ramai tidak tahu. Peminat hanya
menyaksikan gandingan Amir Khan dan Manisha Koraila serta lagu-lagu merdu yang didendangkan
sebagai produk akhir filem sedangkan ada cerita di sebaliknya.
‘Mann’ menyerlahkan keserasian Amir dan Manisha berganding dalam sebuah kisah drama mengenai cabaran kehidupan dua insan bercinta. Ini filem kedua mereka berlakon bersama selepas ‘Akele Hum Akele Tum’ (1995) arahan Mansoor Khan.

Pelakon veteran Bollywood, Sharmila Tagore (kanan) muncul dalam penampilan khas dalam 'Mann'. Dia bersama Amir Khan dan Manisha Koirala dalam satu adegan filem 'Mann'.
Plot ‘Mann’ berkisar mengenai percintaan Dev dengan Priya yang bertemu dalam pelayaran kapal pelancongan. Takdir melanda, cinta mereka menerima ujian besar apabila pada hari dijadual berkahwin, Priya terlibat dalam kemalangan. Akibatnya kedua-dua belah kakinya dipotong.
Priya
menyembunyikan apa yang terjadi daripada pengetahuan Dev. Dia sengaja menjauhkan
diri sehingga Dev menyangka dia sudah berubah hati, sedangkan Priya sebenarnya
berasa rendah diri dan tidak sesuai lagi untuk Dev.
Akhirnya Dev
tahu kisah sebenar. Cintanya tetap tidak berubah. Dia sedia berkahwin dengan
Priya walaupun kekasihnya sudah tidak ada kaki. Inilah adegan yang sangat menyentuh
jiwa dalam filem tersebut.
Filem ini turut menampilkan pelakon veteran Sharmila Tagore, juga Anil Kapoor dan Rani Mukerjee sebagai pelakon undangan istimewa, menambah kehebatan filem ini.

Anil Kapoor muncul selaku artis jemputan yang membantu menyerikan filem 'Mann'. Walaupun artis jemputan, wataknya penting dalam filem tersebut.

Akshay Kumar pilihan pertama untuk watak hero filem 'Mann' tetapi dia menolak.
Sebelum watak sebagai Dave diserahkan kepada Amir Khan, watak tersebut terlebih dahulu ditawarkan kepada Akshay Kumar tetapi dia menolak.
Begitu juga
dengan watak Priya. Sebelum diberikan kepada Manisha, ia terlebih dahulu
ditawarkan kepada Aishwarya Rai. Bagaimanapun dia menolak.
Kemudian watak
itu ditawarkan kepada aktres Tabu (Tabassum Fatima Hashmi). Dia menerima tawaran
tersebut tetapi sayang sekali dia didapati lebih tinggi tiga inci berbanding
Amir. Kerana itu tidak sesuai jadi heroin di sampingnya.
Setelah Tabu ditolak, akhirnya watak tersebut diserahkan kepada Manisha, pelakon berasal dari Nepal yang membintangi banyak filem Bollywood.

Aishwarya Rai pilihan pertama memegang watak Priya dalam 'Mann' tetapi dia menolak.

Kerana lebih tinggi tiga inci berbanding Amir Khan, Tabu terlepas peluang memegang watak Priya dalam 'Mann'.
Menyentuh lagu-lagu ‘Mann’, kebanyakan lirik dicipta oleh Sameer. Penyanyi latar utama ialah Udit Narayan, Alka Yagnik, Kavita Krishnamurthy dan Kumar Sanu.
Antara lagu
popular ialah ‘Mera Mann Kyon Tumhe Chahe’, ‘Nasha Yeh Pyar Ka Nasha’,
‘Tinak Tin Tana’ dan ‘Kali Nagin
ke Jaisi’. Walau pun popular, lagu-lagu tersebut berunsur plagiat.
Misalnya
lagu ‘Nasha Yeh Pyar Ka Nasha’ nyanyian Udit Narayan, melodinya adalah
berteras lagu hit Itali, ‘L’Italiano’ nyanyian Tuto Cutugno’ dikeluarkan
pada tahun 1983.
Selain itu lagu duet ‘Tinak Tin Tana’, nyanyian Udit Narayan dan Aka Yagnik, diambil daripada lagu ‘Yang Sedang Sedang Saja’, yang merupakan antara lagu hit dangdut nyanyian Iwan.

Iwan, penyanyi dangdut popular Malaysia, pencipta dan pelantun lagu 'Yang Sedang Sedang Saja'.
Lagu ‘Mera Mann Kyon Tumhe Chahe’ nyanyian Udit Narayan dan Alka Yagnik diambil daripada lagu ‘Gari Munnalu’ yang menghiasai filem Tamil ‘Minsaara Kanavu’ ciptaan A.R. Rahman.
Lagu ‘Kali
Nagin Ke Jaisi’ nyanyian Udit Narayan dan Kavita Krishnamurthy pula
diilhamkan daripada lagu popular ‘Ya Rayah’, nyanyia penyanyi Algeria, Rachid
Taha.
Justeru nampaknya
hanya pelakon filem ‘Mann’ sahaja dikira asli. Selainnya boleh diklasifikasikan
sebagai tidak asli. Ini kerana idea filem tidak asli, lagu-lagu filem juga tidak
asli.
Namun
barangkali bagi peminat aspek itu tidak dipeduli. Yang penting menikmatinya
sebagai sebuah filem menarik dengan iringan lagu-lagu merdu. – KitaReporters
