PENULIS hampir tersedak membaca kenyataan mantan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi kepada media berhubung pelantikan bakal presiden badan induk bola sepak negara itu yang baharu.


TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim dianggap tokoh yang mampu mentranformasikan FAM.


Menurut Yusoff, pemilihan presiden FAM itu kelak perlu mendapat restu daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang merupakan pemangku Sultan Johor, yang juga pemilik kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Ini kerana menurut Yusoff, Tunku Ismail adalah figura yang konsisten dalam pembangunan bola sepak negara serta memiliki pengaruh besar dalam ekosistem sukan itu. 

“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan presiden FAM, maka individu yang dipilih wajar terdiri daripada mereka yang mendapat kepercayaan dan restu daripada baginda. 

“Ini penting bagi memastikan kesinambungan perancangan serta kestabilan dalam pentadbiran bola sepak negara,” katanya seperti dilaporkan media. 

Beliau menambah cabaran masa kini memerlukan sokongan daripada individu yang berpengaruh serta jaringan kukuh. Tanpa sokongan figura berpengaruh itu usaha memajukan bola sepak negara menjadi lebih mencabar. 


KENYATAAN Yusoff yang mencetuskan polemik dan kecaman. - Foto keratan Harian Metro


Sebagaimana dijangka, kenyataan Yusoff ditempelak oleh penyokong bola sepak yang rata-rata mempersoal kewajaran FAM untuk mendapat restu TMJ dalam isu pelantikan presiden baharu. 

Ramai (termasuk penulis) tidak menafikan ketokohan TMJ dalam memacu kemajuan bola sepak negara khususnya peningkatan kelab JDT sehingga mampu memberi saingan pada peringkat Asia, namun menyatakan calon presiden FAM perlu mendapat restu baginda adalah sesuatu yang keterlaluan.

Pada ketika kita memperakui kredibiliti Tunku Ismail sebagai pemimpin bola sepak, jangan pula kita merendahkan martabat baginda dengan memberi gambaran yang salah, seolah-olah bola sepak Malaysia berada di bawah tapak kaki baginda sehingga perlu mendapat restu baginda dalam setiap keputusan yang dibuat.  

Penulis rasa, Tunku Ismail sendiri tentu tidak selesa dengan kenyataan sebegini yang boleh memberi gambaran negatif seolah-olah baginda cuba mengawal bola sepak Malaysia sedangkan hakikatnya, baginda tidak pernah campur tangan pengurusan FAM sebaliknya lebih berperanan sebagai pendorong.  


HAMIDIN antara nama yang disebut sebagai calon presiden FAM.


Secara jujur, penulis berpendapat, sebarang campur tangan sama ada oleh TMJ mahupun sesiapa saja, dalam isu pemilihan presiden dan kepemimpinan FAM, adalah tidak wajar. Biarlah ahli gabungan yang memilih calon yang mereka yakini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 

Kita tak mahu presiden yang dipilih kelak dianggap hanya sebagai proksi individu yang merestui pemilihannya atau lebih negatif dilabel sebagai boneka saja. Inilah persepsi yang timbul dalam kalangan peminat ekoran kenyataan Yusoff itu. 

Tidak salah meminta pandangan atau nasihat Tunku Ismail sebagai figura yang berpengaruh dalam landskap bola sepak Malaysia dan antarabangsa tapi tidak perlu sampai meminta restu baginda.


LAPORAN Harian Metro yang memetik Tony Fernandez sebagai antara calon presiden FAM.


Penulis meminjam istilah diguna pakai oleh ahli politik, Datuk Seri Hamzah Zainuddin iaitu ‘reset’ dalam kita membina semula maruah bola sepak negara yang tercemar ekoran isu pemalsuan dokumen pemain warisan. 

Reset itu perlulah bermula dengan penstrukturan semula FAM yang kini tidak mempunyai nakhoda serta kelasinya ekoran perletakan jawatan serentak kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif 2025-2029 pada 28 Januari, 2026 lalu. 

Pemilihan ahli jawatankuasa baharu dijangka akan diadakan pada Ogos atau September 2026 dengan beberapa orang tokoh dikaitkan dengan jawatan presiden. 

Antaranya adalah bekas presiden FAM sendiri, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandez; dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.


ISU pemain warisan yang mencemar imej bola sepak Malaysia.


Siapapun yang menjadi pilihan, biarlah beliau benar-benar seorang yang berjiwa bola sepak, memahami sepak terajang bola sepak dan ikhlas dalam membangunkan bola sepak negara ini. 

Begitu juga dengan barisan jawatankuasa yang akan dipilih kelak, diharap tidak ada yang sekadar hendak mencari nama atau mempunyai kepentingan lain. 

Dalam hal ini, penulis menyokong kenyataan Yusoff bahawa pemilihan presiden kelak janganlah dijadikan gelanggang ‘try and error’ kerana situasi bola sepak negara pada masa kini memerlukan kebangkitan total selepas musibah yang melanda. 

Berbalik kepada Tunku Ismail, alangkah baiknya jika Yusoff mampu memujuk baginda agar memegang jawatan presiden FAM kerana sememangnya kita memerlukan seorang ‘adiwira’ seperti baginda yang mampu menyelamatkan bola sepak Malaysia. - KitaReporters 

 

20
12
0
14
0

Copy Link: