Penyanyi legenda tanah air, Dato Nash, 66, dilaporkan dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang pada pagi Isnin, 20 April 2026 selepas mengalami serangan jantung, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat dan rakan industri.



Anak lelaki Nash, Shameer Nasha Jamaludin mengesahkan ayahnya sedang dirawat di HSIS Serdang.

"Pagi tadi dia ada sakit-sakit dada. Kemudian bila check (diperiksa), ada satu saluran jantung yang tersumbat 80 peratus dan rawatan memasukkan satu stent jantung telah dilakukan.

"Rawatan masukkan belon juga dilakukan untuk saluran-saluran jantung yang lain, yang didapati tersumbat 30 peratus," tambahnya ketika dihubungi.

Setakat ini, beliau berkata, "alhamdullillah ayah masih berehat lagi dan harap doakan papa semoga cepat sembuh."

Sementara itu, menurut berita yang dikongsikan oleh Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid, pelantun lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani prosedur rawatan jantung. 

Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 80 peratus saluran jantungnya tersumbat, yang menjadi punca utama serangan tersebut.

Difahamkan, Nash, atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias, sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan dan buat masa ini tidak dibenarkan menerima sebarang pelawat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar. 

Situasi itu turut mendorong pihak terdekat dan peminat untuk terus mendoakan kesembuhan beliau.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi mengenai tempoh rawatan lanjut atau tarikh beliau dibenarkan keluar hospital, namun perkembangan positif terhadap tahap kesihatannya memberi kelegaan awal kepada semua pihak yang mengikuti berita tersebut.



Untuk rekod, pada bulan Disember 2022, Nash dilaporkan pernah dikejarkan ke hospital selepas meengalami kekejangan badan sehingga menyukarkan pergerakan badannya.

Kekejangan itu berlaku ketika beliau sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat maghrib namun tiba-tiba menghadapi kesukaran berdiri tegak apabila pinggangnya rasa tersentap ketika membongkok untuk membasuh lengan.

Rata-rata peminat dan golongan artis yang mengetahui berita keadaan terkini mendoakan agar beliau cepat sembuh. - KitaReporters

22
24
0
19
0

Copy Link: