Nak buka kedai emas! Yana Samsudin pasang impian! Sebagai permulaan, dilantik jadi Duta MHS Gold!
Published byPelakon dan usahawan popular, Yana Samsudin, tidak menolak kemungkinan untuk merealisasikan impiannya membuka kedai emas sendiri suatu hari nanti selari dengan minat mendalamnya terhadap pelaburan logam berharga itu.

Pelancaran platform emas digital, MHS Gold di Sunway Damansara baru-baru ini. - Kredit foto: Saiful Redzuan.
Beliau menyifatkan perancangan tersebut sebagai satu cita-cita jangka panjang yang ingin direalisasikan sekiranya mempunyai rezeki dan ruang yang tepat pada masa hadapan,
“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya memang mahu buka kedai emas sendiri. Jika impian ini tercapai, saya juga berhasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menubuhkan rumah kebajikan sekiranya mencapai kejayaan dalam perniagaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi MHS Gold di mana beliau dilantik sebagai duta bagi platform emas digital tersebut, bertempat di Edenmill, Sunway Damansara pada 25 April 2026.
Turut hadir pengasas MHS Gold, Mohamad Hifzhan Saifudin dan Che Manan Ali selaku Penasihat Strategiknya.Menurut Yana, peluang untuk bersama jenama itu bukan sekadar kerana statusnya sebagai selebriti, sebaliknya didorong oleh pengalaman hidup sendiri yang telah lama sinonim dengan simpanan emas sejak usia kecil.

Yana Samsudin menerima penghargaan sebagai duta MHS Gold daripada Mohamad Hifzan Saifudin.
Beliau mengimbas kembali detik awal kehidupannya waima ketika berusia 5 tahun bapanya yang merupakan seorang pesara telah menggunakan wang pencen untuk membelikan barangan kemas seperti gelang dan rantai sebagai bekal masa depan buatnya.
“Ketika itu, nilai emas tidaklah tinggi, sekitar RM20 hingga RM30 segram. Namun pemberian tersebut sangat bermakna kerana ia merupakan satu bentuk simpanan yang dibuat untuk masa depan saya walaupun saya masih kecil,” kenangnya.
Pemilik bernama penuh, Norliana Samsudin, 41, ni menjelaskan, pengalaman itu menjadi titik permulaan untuk dirinya mula menyimpan emas secara konsisten, walaupun hanya sedikit demi sedikit mengikut kemampuan.
Beliau mengakui bahawa pengalamannya sendiri yang membesar dalam keluarga yang sederhana dengan ibu yang tidak bekerja serta pendapatan sebagai anak seni yang tidak menentu telah mengajarnya untuk lebih bijak mengurus kewangan menerusi simpanan emas.
“Saya bukan berasal daripada keluarga yang senang. Ibu tidak bekerja dan sebagai seorang artis, pendapatan juga tidak menentu. Ada masa kita ada kerja, ada masa kita perlu berdikari mencari peluang sendiri,” ujarnya.
Sehingga kini, barangan kemas pemberian bapanya itu masih disimpan rapi dan nilainya telah melonjak berkali ganda, sekali gus mengukuhkan keyakinan Yana untuk dilantik sebagai duta platform emas digital, MHS Gold.

Keputusan tersebut dibuat kerana keyakinan beliau terhadap nilai emas sebagai aset yang stabil, selain mahu menyokong usaha usahawan muda tempatan seperti Mohamad Hifzhan yang membangunkan platform berkenaan.
Graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar UiTM dan penerima Ijazah Sarjana Pengurusan Korporat yang baru diterima dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah pada tahun lalu (2025), mendedahkan bahawa simpanan mata wang asing yang dibuatnya sejak 2015 tidak menunjukkan peningkatan ketara, berbeza dengan emas 999 yang dikumpulnya sejak 2014.
“Daripada situ saya nampak sendiri bagaimana emas boleh berkembang nilainya dalam jangka masa panjang. Emas yang saya beli pada 2014 kini meningkat nilainya berkali ganda,” jelasnya lagi yang mula mengumpul emas melalui barang perhiasan kecil serta hadiah daripada keluarga.
Melalui kerjasama dengan MHS Gold, Yana menyifatkan platform digital tersebut sebagai satu pendekatan baharu yang sangat memudahkan orang ramai memiliki emas dengan modal serendah RM10 secara fizikal mahupun digital.
Beliau menyifatkan inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan simpanan emas fizikal dan digital, malah secara tidak langsung membuka peluang pelaburan kepada masyarakat malah membantu memperkasa ekonomi usahawan tempatan.

Barisan tetamu yang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa kepingan emas dengan hadiah utamanya sebuah kereta.
Sementara itu, Mohamad Hifzhan memberitahu, pembangunan aplikasi MHS Gold tersebut tercetus daripada keperluan untuk memperbaharui kaedah pembelian emas yang selama ini lebih tertumpu kepada urusan fizikal di kedai, selain menawarkan alternatif kepada platform emas digital sedia ada di pasaran.
“Aplikasi ini kami bangunkan untuk memudahkan orang ramai membeli emas tanpa perlu melalui proses tradisional seperti ke kedai fizikal.
"Pada masa sama, kami mahu membuka peluang kepada semua golongan umur untuk mula menyimpan emas dengan lebih mudah dan konsisten,” ujarnya. - KitaReporters
