WALAUpun hasrat untuk memegang watak utama dalam filem keluaran Studio Malay Film Productions (MFP), Singapura, tidak tercapai hingga penghujung kariernya, namun nama aktres Rahmah Rahmat tetap meniti di bibir para peminat.

Allahyarham membuktikan dengan memegang watak pelakon pembantu, atau heroin kedua, beliau mampu mengukir nama, sebaris dengan bintang utama seperti Sarimah, Hashimah Yon, Saadiah, Zaiton dan Dayang Sofea.



Rahmah Rahmat menggilap nama sebagai pelakon walaupun tidak memegang peranan utama.


Rahmah yang dilahirkan pada tahun 1943 di Singapura, ialah anak pelakon Saamah. Bapanya Rahmat Ali ialah pemain trumpet dan pemuzik pofesional. 

Rahmah berkahwin dengan pelakon popular Jins Shamsuddin pada 1961 tetapi bercerai pada 1963. Mereka mempunyai seorang anak, Jefri Zain, kini menetap di Singapura.

Hakikatnya, Rahmah ialah seorang bintang bersinar yang menyerikan filem-filem MFP pada era kegemilangan studio tersebut tahun 50-an hingga 70-an. Beliau mempunyai kelebihan kerana memiliki pakej lengkap sebagai pelakon, penyanyi dan penari.

Rahmah menaruh harapan memegang watak utama dalam filem seperti rakan baiknya, Hashimah Yon, tetapi tidak kesampaian.


Pasangan romantis... Rahmah Rahmat bersama bekas suami, Jins Shamsuddin.


Rahmah mendirikan rumah tangga dengan Jins Shamsuddin pada 1961. Gambar bawah pasangan tersebut bersama anak mereka, Jefri Zain yang lahir pada Januari 1962.


Paling hampir beliau berpeluang memegang watak heroin ialah melalui filem ‘Pendekar Bujang Lapok’  (1959) arahan P. Ramlee. Namanya ada dalam senarai. Tetapi apakan daya bukan rezeki. Watak itu diberi kepada Roseyatimah.

Namun Rahmah tidak membiarkan rasa kecewa itu menganggu perjalanan karier. 

Walaupun tidak memegang peranan utama, beliau sering memegang watak penting sebagai pelakon pembantu yang menghidupkan jalan cerita.

Kerana itu namanya dikenali dalam kalangan peminat filem. Perkahwinannya dengan Jins Shamsuddin menambahkan populariti selaku isteri kepada ‘hero’ pujaan ramai.


Rahmah Rahmat bersama anak, Jefri Zain, dan ibu seniwati Saamah.


Rahmat Ali, bapa Rahmah Rahmat.


Rahmah Rahmat (1943 - 29 Mac 1993) lahir dalam sebuah keluarga seni. Beliau mewarisi bakat seni ibunya sebagai pelakon dan bapanya pemuzik. Mereka tinggal di perkampungan artis MFP di Boon Teck Road. Selepas ibu bapanya bercerai, Rahmah tinggal bersama ibu.

Kehidupan hariannya bergaul dengan orang filem. Mencecah usia 10 tahun, beliau sudah berdepan kamera melalui filem pertama ‘Sengsara’ (1953) sebagai pelakon kanak-kanak, watak dipegang oleh seniwati Normadiah semasa kecil.

Kebolehan berlakon, menari dan menyanyi adalah satu kelebihan dan diserlahkan dalam lakonan. 

Kerana itu beliau sering diberi peranan sebagai penari dalam filem. Antara yang menonjol ialah dalam filem ‘Nujum Pak Belalang’ menyanyikan lagu ‘Ketipang Payung’ di mana Allahyarham memegang peranan ketua penari.


Rahmah Rahmat, Hashimah Yon dan Normadiah dalam satu adegan filem 'Sri Tanjung'.


Antara lagu lain nyanyiannya ialah ‘Tanda Kasih’ berduet dengan Ahmad Mahmud dalam filem ‘Isi Neraka’ (1960), ‘Pahlawan Perkasa’ (filem Lela Manja 1960), ‘Jangan Tinggi Diri’, ‘Temasya Berdendang’, ‘Jangan Adik Angan-Angan’ (filem Musang Berjanggut duet dengan P. Ramlee), ‘Kembang Disayang (filem Dandan Setia) dan lain-lain.

Selain itu, Rahmah muncul dalam filem ‘Musang Berjanggut’  (1959) menyanyikan lagu ‘Nenek Si Bongkok Tiga’, bersama seniwati Saadiah.

Rahmah menampilkan mutu lakonan yang berkesan menghidupkan setiap watak yang diberi. Misalnya membawa watak jahat dalam filem ‘Dandan Setia’ (1959), ‘Megat Terawis’, (1960), (‘Sri Tanjung’ (1961) dan ‘Gerak Kilat’ (1966). Beliau juga membawa watak isteri curang dalam filem ‘Gerhana’ (1962).


Rahmah Rahmat, Ahmad Mahmud (kanan) dan Jins Shamsuddin dalan filem 'Megat Terawis'.


Allahyarham berlakon dalam banyak filem, antaranya ‘Sumpah Orang Minyak’ (1956), ‘Batu Belah Batu Bertangkup’ (1959), ‘Dandan Setia’ (1959), ‘Puteri Gunung Banang’ (1959), ‘Megat Terawis’ (1960), ‘Putera Sangkar Maut’ (1960), ‘Si Tanggang’ (1961), ‘Batu Durhaka’ (1962), ‘Darah Muda’ (1963), ‘Mambang Moden’ (1964) dan lain-lain.  

Peluang Rahmah memegang watak utama menampakkan cahaya pada 1959. P. Ramlee berhasrat memberikannya peranan heroin dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’. Tetapi beliau dikehendaki menjalani uji bakat.

Dalam ujian tersebut, Rahmah bersaing dengan dua calon lain, Siti Hawa Majid dan Roseyatimah, yang juga kawan rapatnya. Sepatutnya Rahmah mempunyai peluang kerana sudah ada pengalaman berlakon. Namun P. Ramlee memilih Roseyatimah.

Filem terakhir lakonan Rahmah ialah ‘Lubang Neraka’ (1970) arahan seniman Nordin Ahmad keluaran Cathay Keris Filem. Selepas itu beliau bersara daripada dunia filem, menjadi suri rumah serta sebagai pengandam pengantin.


Jefri Zain (kanan), bersama bapa, Jins Shamsuddin, hasil perkongsian hidup Jins dengan Rahmah Rahmat. 


Rahmah berumah tangga dengan Jins Shamsuddin pada tahun 1961 ketika berusia 18 tahun. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jefri Zain, yang dilahirkan pada 18 Januari 1962 di Singapura. Perkahwinan mereka bertahan hanya dua tahun, bercerai pada 1963.

Allahyarham kemudian berkahwin dengan seorang pegawai polis Singapura, Jaafar Awang pada 1969. Jefri tinggal dalam jagaan mereka. Perkahwinan kali kedua ini Rahmah dikurniakan tiga orang anak. Perkahwinan kekal sehingga ke akhir hayat.

Rahmah pernah menjadi anak tiri kepada pelakon Latifah Omar apabila bapanya berkahwin dengan Allahyarham Latifah. Namun akhirnya mereka bercerai.


'Mambang Moden' sebuah lagi filem lakonan Rahmah Rahmat (kanan). Turut membintangi Dayang Sofea (kiri), Aziz Jaafar dan Saadiah.


Sesungguhnya Rahmah adalah insan seni yang sangat komited dengan kerjaya. Beliau menyerlahkan bakat lakonan, nyanyian yang hebat, tetap menggilap nama walaupun tidak memegang peranan utama.

Rahmah Rahmat meninggal pada 29 Mac 1993 di Hospital Besar Singapura pada usia 50 tahun akibat barah payu dara. Allahyarham pergi hanya beberapa hari selepas sambutan hari Raya Aidilfitri 1993. 

Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa arwah.- KitaReporters

13
8
0
21
0

Copy Link: