Video| Hafiz luahkan apa Yang Engkau Mahukan! Kongsi kisah peribadi dalam lagu! Jadi suami kali kedua!

Published by
KitaReporters

Fasa baharu kehidupan penyanyi popular, Hafiz Suip kini kelihatan lebih lengkap dan bermakna apabila beliau kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan buah tangan terbaharu, ‘Yang Engkau Mahukan’, sejurus selepas memulakan lembaran hidup sebagai suami buat kali kedua. 



Kehadiran single berjudul 'Yang Engkau Mahukan' bukan sekadar pengubat rindu buat para peminat, malah ia seolah-olah menjadi simbolik kepada kematangan dan kestabilan emosi anak jati Bumi Kenyalang ini selepas selamat mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, Fiona Safiyya di Kuching, Sarawak pada 13 Februari 2026 lalu.

Untuk rekod pelamtun lagu ‘Awan Nano’ ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 namun bercerai pada tahun lalu (2025). Hasil perkongsian selama 9 tahun itu dikurniakan dua anak lelaki, Muhmmaf Riyadh Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 6 tahun.

Dan menariknya, Hafiz tidak segan mendedahkan bahawa single terbaharunya, ’Yang Engkau Mahukan’ mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan kisah peribadi dan perjalanan hidupnya sendiri.

Baginya, lagu terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia ini adalah medium untuk beliau menyampaikan rasa hati, meskipun menyerahkan sepenuhnya kepada interpretasi peminat untuk menilai maksud tersirat di sebalik lirik lagu.



“Kisah mengenai diri dan kehidupan saya ini cuba saya sampaikan dalam sebuah lagu. Yang tahu… tahulah dan tergantunglah bagaimana interpretasi peminat terhadap lagu ini,” jelas Hafiz. 

Mengulas lebih lanjut mengenai kemunculan single baharunya itu, Hafiz berkata, dia benar-benar bersyukur apabila dikurniakan sebuah karya lagu baharu daripada Ajai. 

“Apa yang saya suka dengan karya lagu  Abang Ajai ini adalah kerana melodinya yang unik. Maksud saya, ia tidak statik dengan melodi atau bunyi yang sama. Sebab, itulah saya masih kekal menggunakan khidmat Abang Ajai sebagai komposer,” kata Hafiz.

Pun begitu, walaupun sudah 17 tahun bergelar penyanyi sejak menjuarai Akademi Fantasia (AF) Musim 7 pada 2009, Hafiz tidak menafikan perasaan gugup tetap hadir setiap kali menghasilkan karya baharu, apatah lagi dalam industri muzik yang kini semakin dipenuhi bakat baharu.



“Saya akui ada rasa gementar kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan peminat, lebih-lebih lagi sekarang ramai penyanyi solo lelaki muncul. Ia satu cabaran, tetapi dalam masa sama menjadi motivasi untuk saya berikan yang terbaik,” katanya.

Proses rakaman juga menuntut penelitian yang tinggi di mana Hafiz terpaksa melalui dua kali sesi rakaman suara demi mencari kesesuaian kunci nada yang mampu menonjolkan dinamika vokal beliau secara maksima.

“Pada rakaman kedua, ‘key’ dinaikkan sedikit dan akhirnya barulah ia benar-benar kena dengan jiwa lagu ini,” tambahnya.

Pemilik bernama penuh, Mohd Hafiz Mohd Suip ini juga berharap peminat  akan dapat menerima hasil karya lagu baharunya bersama Ajai ini. “Terimalah Yang Engkau Mahukan,” ujarnya ringkas.



Dalam pada itu, Ajai selaku komposer menyedari perubahan positif pada kualiti nyanyian Hafiz yang kini dilihat lebih matang terutama dari sudut teknikal dan penghayatan.

“Alhamdulllah, dia benar-benar menjiwai dan memberikan yang terbaik untuk 'Yang Engkau Mahukan'. Dia juga dah faham tugasnya dan apabila masuk studio rakaman dengan saya, dia benar-benar sudah bersedia.  

“Kematangannya dalam setiap sudut aspek muzik juga lebih terserlah. Dia tahu apa yangg dia mahukan. Lebih-lebih dari dari sudut  teknikal dan bunyi-bunyian yang ‘up to date’.  

"Suara dan lunaknya masih ada dan kekal dan paling menarik, penghayatan semakin mendalam, maka dia dapat memberikan nyanyian yang lebih sempurna kepada saya,” komen Ajai.



Tambahnya, proses menghasilkan 'Yang Engkau Mahukan' mengambil masa kira-kira sebulan, bermula daripada perbincangan konsep sehingga kepada penciptaan melodi yang disesuaikan dengan identiti muzik Hafiz.

“Ada banyak jenis kategori lagu-lagu galau tetapi saya memilih sasaran pendengar muzik Hafiz dan saya sendiri. Kami mahukan kematangan dan berharap pendengar dapat menerima ia seadanya. 

"Yang penting, mesej lagu sampai, menyentuh rasa di hati dan mampu tersemat dalam jiwa pendengar,” hurainya lagi. 

Dan bagi Hafiz, single ini bukan sekadar karya baharu, tetapi juga hadiah istimewa buat peminat yang terus setia menyokong perjalanan seninya.

“Harapan saya, peminat dapat menerima lagu ini seadanya dan merasai apa yang ingin saya sampaikan,” akhirinya. - KitaReporters

10
7
0
5
0

Copy Link: