Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuka lembaran baharu dalam pembangunan sukan tradisional itu apabila secara rasmi mula menggunakan bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASM) di Kampong Bharu, Kuala Lumpur yang serba moden.

Mohd Sumali Reduan (empat dari kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penggunaan kompleks tersebut dimulakan dengan penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM serta majlis berbuka puasa bersama barisan pemain kebangsaan.

Menurut beliau, majlis perasmian akademi itu dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal April 2026, sekali gus menjadi detik penting dan bersejarah buat arena sepak takraw negara di pentas dunia.

“Alhamdulillah, hari ini (Isnin, 9 Mac 2026) kita mengadakan mesyuarat serta majlis berbuka puasa bersama pemain kebangsaan di bangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia. Saya kira ini merupakan hari pertama kita menggunakan kompleks ini secara rasmi,” katanya.

Majlis berkenaan turut diisi dengan program kerohanian seperti tahlil dan doa selamat sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa, solat isyak serta tarawih secara berjamaah.

Selain itu, pihak pengurusan PSM turut mengambil peluang beramah mesra dengan barisan pemain kebangsaan yang baharu sahaja dipilih menyertai skuad negara.


Mohd Sumali Reduan (kanan) berbual bersama para pemain sepak takraw kebangsaan.

Menurut Mohd Sumali, penganjuran majlis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PSM untuk memperkasakan pemain selain mengeratkan hubungan antara badan induk itu dengan barisan atlet negara.

Beliau berkata, ia juga menjadi platform untuk menunjukkan kesiapsiagaan pasukan negara dalam menghadapi beberapa kejohanan besar yang bakal berlangsung termasuk Piala Dunia dan Sukan Asia.

Dalam masa sama, akademi tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden yang direka khas bagi menyokong pembangunan sukan sepak takraw negara.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk bilik penginapan yang telah dinaik taraf menjadi lebih selesa serta lengkap dengan televisyen bagi kegunaan pemain yang menjalani latihan pusat.

Selain itu, kompleks sukan berkenaan turut mempunyai gimnasium dengan peralatan khas untuk latihan sepak takraw, bilik fisioterapi, bilik seminar berkapasiti sekitar 120 orang serta galeri yang memaparkan sejarah dan kejayaan sukan tersebut di negara ini.

Akademi itu juga dilengkapi kafe sukan serta gelanggang utama yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 hingga 1,300 penonton bagi penganjuran kejohanan berskala sederhana.


Barisan pemain skuad sepak takraw dan para tetamu menyertai majlis tahlil serta bacaan doa selamat.

Mengulas mengenai penganjuran kejohanan, Mohd Sumali berkata, gelanggang di akademi tersebut sesuai digunakan untuk pertandingan seperti pusingan kelayakan Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 serta Piala Emas Khir Johari.

“Kejohanan peringkat antarabangsa seperti Piala Dunia akan terus dianjurkan di stadium yang lebih besar bagi menampung kapasiti penonton yang lebih ramai," katanya. - KitaReporters


Barisan kepimpinan PSM serta para pemain merakamkan gambar kenangan di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

13
11
0
12
0

Copy Link: