ANTARA barisan penyanyi tanah air, nama Liza Hanim dan Shila Amzah cukup dikagumi kerana vokal mereka yang mantap. Pasti peminat mereka teruja apabila kedua-dua penyanyi tersebut disatukan dalam sebuah lagu.

Shila dan Liza untuk pertama kalinya berkolaborasi menerusi lagu balada berjudul Bahagiakan Dia, ciptaan komposer muda Aliff Iskandar manakala lirik pula hasil tulisan Aliff bersama Que Afiq.

Lagu tersebut sudah pun berada di semua platform digital sejak 30 Jun 2022 lalu dan ternyata mendapat sambutan hangat daripada peminat yang ternanti-nanti sebuah karya segar dan mampu memberikan nafas baharu kepada industri muzik tanah air.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Shila Amzah

Duet pertama untuk Shila Amzah dan Liza Hanim dalam lagu Bahagiakan Dia.



Bahagiakan Dia yang berkisahkan tentang hati dan kehendak untuk membahagiakan seseorang begitu dekat dengan pendengar dan ia diterjemah dengan bait-bait lirik yang mudah difahami.

Bagi Shila, pastinya gandingan kali ini disifatkan cukup istimewa memandangkan dia bergandingan dengan Liza Hanim, satu nama yang amat dikagumi sejak dahulu.

“Memang ini merupakan satu penghormatan kepada saya dapat berpadu suara dengan Liza. Dia bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal sebaliknya mempunyai pengalaman yang luas.

“Kami berkongsi pelbagai perkara semasa proses rakaman bagaimana untuk ‘mencantikkan’ lagi lagu ini. Itu yang membuatkan saya teruja,” kata Shila.


Rezeki Shila Amzah dalam bidang seni suara kini semakin bertambah.


Lagu ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Cinta Hilang Kata yang bakal disiarkan di Astro Prima mulai 18 Julai 2022 ini.

Sementara itu, Liza yang teruja dapat bergandingan dengan Shila berkata, dia gembira dapat menyempurnakan karya Bahagiakan Dia yang disifatkan akan memberikan sinar baharu kepada mereka berdua.

“Memang saya teruja apabila dapat terlibat sama dalam karya ini memandangkan ini merupakan single terbaharu untuk saya pada tahun (2022) ini.

Sudah lama sebenarnya tidak menghasilkan lagu duet selepas kali terakhir bersama Zul 2 By 2 belasan tahun yang lalu. Ini merupakan kolaborasi semula dan saya teruja menantikan maklum balas daripada peminat,” kata Liza.


Lagu Bahagiakan Dia, dendangan Liza dan Shila merupakan runut bunyi untuk drama Cinta Hilang Kata.


Tambah pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi ini lagi, dia tertarik saat kali pertama mendengarkan lagu Bahagiakan Dia.

Jelasnya, dia menganggap karya ini mudah diterima dan bersifat easy listening untuk mereka yang baru pertama kali mendengarkannya.

Untuk rekod Bahagiakan Dia sudah dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun 2022 lalu, manakala video muzik pula disiarkan pada 5 Julai bermula jam 3 petang menerusi platform YouTube saluran Indigital Music. - KitaReporters


Masing-masing teruja disatukan dalam karya Aliff Iskandar dan Que Afiq.

9
10
0
14
0

Copy Link: