MENGIKUT perancangan asal, hanya ada enam tempat pada peringkat akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV). Ini bererti dua peserta akan disingkir pada peringkat separuh akhir (minggu ke-11) pada 3 Disember 2023 nanti.

Dalam apa juga pertandingan baik hiburan mahupun sukan, tersingkir pada peringkat separuh lebih menyakitkan. Ini kerana semua peserta mengidam ke peringkat akhir.

Daripada lapan peserta yang tinggal selepas Aliff Aziz (tersingkir), tiga adalah peserta berada pada hot seat (kerusi panas) iaitu Tomok, Nikki Palikat dan Liza Hanim.

Bagi peringkat separuh akhir, peserta perlu menyampaikan dua lagu bertemakan ‘rock kapak' dan 'tangkap leleh’ iaitu satu lagu berunsur heavy rock dan satu lagi berunsur jiwang (slow rock).

Tidak mustahil ada penyanyi favourit akan tersingkir. Pastinya ASGV sudah melalui beberapa kejutan. Kejutan itu mungkin berangkai pada peringkat separuh akhir dan akhir.


Naqiu memikat penonton dan juri untuk menjuarai peringkat suku akhir ASGV

Peringkat suku akhir Gegar Vaganza (GV) musim ke-10 (GV10) ini semakin menguji para peserta bagi memperlihat cara menggabungkan dua lagu yang berbeza genre dalam satu persembahan dengan baik.

Dalam persembahan bertema ‘Fiesta Muzika’ pada Ahad, 26 November 2023, sebuah lagu dipilih oleh peserta, sementara sebuah lagi dipilih oleh Ketua Juri, Datuk Ramli MS.

Sebahagian peserta mampu melakukan dengan baik, sementara sebahagian lagi tidak menyerlah.



Peringkat suku akhir ASGV memperlihatkan dua juara bersama Gegar Vaganza 6 (2019), Naqiu dan Hady Mirza menunjukkan kemantapan persembahan masing-masing.

Naqiu berjaya mendapat tepukan penonton ketika menyampaikan lagu  popular Hindustan daripada filem ternama ‘Sangam’ berjudul  ‘Bol Radha Bol nyanyian asal Mukesh dan lagu ‘Ala Emak Kawinkan Aku’ nyanyian asal Zainorin Mohd Dom  dengan gaya lincahnya menari.

Naqiu berjaya kembali memperlihat tahap ‘bintang’nya dan berjaya memikat para juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat untuk memberi kedudukan teratas dengan 75 markah.


Hady Mirza punya faktor-X menurut Hetty Koes Endang

Sementara Hady Mirza dianggap mempunyai faktor-X (X-factor) oleh Hetty Koes Endang. 

Hady menunjukkan kematangannya menyampai dengan tenang tetapi bertenaga ketika menyampaikan lagu berlainan genre iaitu ‘Mak Siti’ nyanyian asal Ito Blues Gang dan lagu ‘Orak Arek’ nyanyian asal Datuk Zainal Abidin. 

Hady berjaya menduduki tempat kedua dengan 71.5 markah.


Jaclyn masih mengekalkan kemampuannya untuk memberi saingan hebat

Jaclyn Victors tetap mampu berada dalam kelompok teratas. Walaupun masih menghadapi gangguan suara, namun juara Gegar Vaganza 9 ini tetap mampu memberi persembahan baik dengan memperoleh 71.25 markah. 

Menyampai lagu ‘Conga’ nyanyian asal Gloria Estafan & Miami Sound Machine dan  ‘The Ketchup Song (Asereje)’ nyanyian asal Las Ketchup,

Jaclyn menambah ‘tenaga’ persembahan  dengan bermain alat muzik konga namun tidak mengikut tempo.


Tomok memperlihat keupayaan untuk memasuki peringkat akhir

Tomok juga tidak mendukacitakan. Dia membuktikan mampu menjadi peserta yang layak ke peringkat akhir. Dia berjaya membuktikan mampu  menyampaikan dua lagu berlainan genre dan menari dengan baik.

Tomok dengan sokongan padu peminatnya di auditorium MBSA berjaya memberi persembahan sebagai penghibur dengan menguasai pentas menyampai lagu ‘MelodI’ nyanyian asal Shawn Baharin dan ‘The Cup Of Life”  nyanyian asal Ricky Martin.

Tomok memperlihat dirinya mampu menjadi ‘raja pentas’ dengan beraksi penuh yakin di pentas dengan lagu berirama rancak. Dia menduduki tempat ke-5  dengan 69.50 markah.

Juri, Hetty memberi ucapan ‘gebrek’ (bagus luar biasa) kepada Tomok kerana memberi persembahan menghiburkan sebagai peserta terakhir.


Siti Nordiana semakin memperbaiki persembahan dan pertama kali berada di kedudukan empat terbaik.

Siti Nordiana (Nana) yang pernah berada dalam radar senarai penyingkiran juri pula semakin memperbaiki persembahannya. Buat pertama kali Nana berjaya menduduki tangga ke-4 setelah memperoleh 70.5 markah.

Nana memberi persembahan memikat juri ketika menyampaikan lagu Hindi  ‘Mehndi Laga Ke Rakhna’ nyanyian asal Lata Mangeshkar dan Udit Narayan serta lagu ‘Ayam Den Lapeh’  nyanyian asal Elly Kasim. 

Peserta-peserta lain dilihat memberikan kualiti persembahan kurang memuaskan. Nikki Palikat dan Azharina sudah pernah merasa berada dalam empat kedudukan terbawah pada minggu-minggu terakhir masih gagal memikat hati juri.


Persembahan paling teruk Liza Hanim menyebabkan dia hampir tersingkir

Namun perkara yang mengejutkan apabila persembahan Liza Hanim jauh merosot berbanding minggu-minggu sebelum ini. 

Juri, Hetty Koes Endang terkejut dengan prestasi menjunam Liza Hanim. Sedangkan sebelum ini menurut Hetty, Liza adalah antara peserta favourit. Mungkin kesihatannya terganggu.

Liza kelihatan panik apabila menjadi dua peserta terakhir yang tinggal. Dan dipapar di layar skrin hanya tinggal satu lagu lagi.

Penyingkiran Aliff Aziz sudah dapat dijangka sejak awal persembahan. Aliff yang muncul sebagai peserta kedua diberi kritikan pedas ketua juri, Ramli MS kerana melakukan banyak kesilapan dan tidak fokus di mana persembahannya ketika latihan jauh lebih baik.

Kerana itu Aliff terpaksa menoktahkan perjalanannya dalam ASGV. - KitaReporters


Persembahan tidak konsisten menyebabkan Aliff Aziz terpaksa mengucap selamat tinggal kepada ASGV.

Kedudukan peserta All Star Gegar Vaganza minggu 10 (suku akhir):

01. Naqiu (75.00 mata)

02. Hady Mirza (71.50)

03. Jaclyn Victors (71.25)

04. Siti Nordiana (70.50)

05. Tomok (69.50)

06. Nikki Palikat (66.75)

07. Azharina Azhar (65.75)

08. Liza Hanim (63.25)

09. Aliff Aziz (55.75) - Tersingkir 


8
11
0
12
0

Copy Link: