Video| Kau cuma ayam sabung! Tarung: Unforgiven bolehkan Aedy jadi penerbit! Satukan Zul dan Bront!
Published byDalam langkah berani memperluas kerjaya seninya, Aedy Ashraf kini melakar satu lagi pencapaian apabila tampil sebagai penerbit muda menerusi filem aksi Tarung: Unforgiven, sambil terus menggalas peranan penting sebagai pelakon dalam naskhah berskala besar itu.

Kemunculan Aedy sebagai penerbit bukan sekadar percubaan baharu, sebaliknya lahir daripada impian untuk menyatukan pelakon hebat pelbagai generasi dalam satu karya yang kuat dari segi penceritaan dan persembahan.
Menerusi Tarung: Unforgiven, beliau berjaya menghimpunkan nama besar seperti Zul Ariffin dan Bront Palarae, selain memberi ruang kepada bakat generasi baharu seperti Mierul Aiman dan Amir Ahnaf untuk bersinar dalam satu platform yang sama.
Filem arahan Razaisyam Rashid ini sudah mula ditayangkan di 148 pawagam bermula pada 7 Mei 2026, membawa tema bahawa kehidupan sebenar adalah ‘gelanggang’ yang penuh cabaran, pilihan dan perjuangan.
Diterbitkan oleh Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw, naskhah ini mengangkat kisah Hatta, seorang bekas juara silat yang diburu masa silam dan terpaksa kembali ke gelanggang demi menyelamatkan kakaknya yang sakit.
Menurut Aedy, peluang untuk menerbitkan filem ini merupakan satu tanggungjawab besar yang datang dengan cabaran tersendiri, namun dia melihatnya sebagai ruang untuk membawa sesuatu yang lebih bermakna kepada industri tempatan.
“Ini merupakan cabaran pertama saya terlibat sebagai penerbit, dan sudah tentu ia satu tanggungjawab besar.
"Tarung: Unforgiven sangat dekat dengan hati saya, bukan sahaja sebagai pelakon tetapi sebagai seseorang yang diberi kepercayaan untuk membawa karya ini kepada penonton,” katanya pada majlis Malam Gala Filem Tarung: Unforgiven yang diadakan di GSC MIdvalley pada 4 Mei 2026 lalu.

Kata Aedy, penglibatannya bukan sekadar di hadapan kamera, malah merangkumi keseluruhan perjalanan produksi.
"Saya cuba memberikan yang terbaik dari segi lakonan, komitmen dan keseluruhan proses filem ini. Selebihnya saya serahkan kepada penonton untuk menilai dan merasai sendiri apa yang kami cuba sampaikan,” tambahnya.
Sementara itu, Razaisyam menjelaskan bahawa penghasilan filem ini menuntut usaha besar daripada seluruh pasukan, khususnya dalam memastikan keseimbangan antara aksi, emosi dan naratif.
“Perjalanan menghasilkan filem ini bukan mudah, tetapi kami berusaha memberikan pengalaman sinematik yang epik dan imersif kepada penonton,” ujarnya, merujuk kepada penggunaan teknologi bunyi Dolby Atmos yang meningkatkan impak setiap adegan.
Selain kekuatan jalan cerita hasil tulisan bersama Amar Amir, filem ini turut mencuri perhatian menerusi gandingan julung kali antara Bront Palarae dan Zul Ariffin yang memberikan intensiti lakonan luar biasa waima kehadiran barisan pelakon hebat yang lain menguatkan lagi keseluruhan naskhah.

Salah sebuah adegan yang melibatkan Zul Ariffin dan Bront Palarae.
Mengangkat tagline “Kau cuma ayam sabung”, filem ini membawa mesej bahawa setiap individu sedang bertarung dalam kehidupan masing-masing, sama ada melawan masa lalu, tekanan atau pilihan yang sukar. Ia sekali gus menjadikan Tarung: Unforgiven bukan sekadar filem aksi, tetapi sebuah refleksi tentang realiti kehidupan.
Bagi mendekatkan filem ini dengan peminat, siri jelajah akan bermula seawal 8 Mei 2026 merangkumi beberapa lokasi di Lembah Klang, selatan, utara dan Pantai Timur sepanjang bulan Mei.
Tarung: Unforgiven dijangka menjadi antara naskhah tempatan paling mencuri tumpuan tahun 2026 ini, sekali gus menandakan langkah berani Aedy Ashraf dalam mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai penerbit yang mempunyai visi tersendiri dalam industri perfileman tempatan.
Usaha mendapatkan barisan pelakon utama juga tambah Aedy, bukan sesuatu yang mudah, khususnya melibatkan Zul Ariffin.
Aedy mendedahkan beliau sanggup turun padang ke lokasi latihan pelakon itu semata-mata untuk memujuknya menyertai filem tersebut.
“My mission satu je, aku nak dia berlakon dalam filem aku. Kalau kena tumbuk pun, aku sanggup,” katanya, menggambarkan kesungguhan luar biasa demi merealisasikan visinya.

Bagi Zul pula, keputusan untuk menerima tawaran tersebut banyak dipengaruhi semangat yang ditunjukkan oleh pengarah dan pasukan produksi.
“Saya sentiasa nak bekerja dengan orang yang ada ‘fire’. Talent itu penting, tapi semangat untuk menjayakan sesuatu projek itu lagi penting,” ujarnya, sambil menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna.
Walaupun filem ini menampilkan elemen aksi dan latar dunia jenayah, produksi menegaskan bahawa ia tidak bertujuan mempromosikan keganasan, sebaliknya lebih menekankan aspek emosi, hubungan manusia dan konflik dalaman.
“Kita tak promote violence. Kita lebih kepada emosi, family dan friendship,” tambah Zul sambil mengakui pada awalnya ragu-ragu untuk terlibat dalam naskhah berunsur gangsterisme sebelum memahami pendekatan sebenar filem tersebut.
Bagi Bront Palarae pula, beliau melihat kekuatan utama projek ini terletak pada ketekunan pasukan dalam memastikan ia disiapkan sehingga ke penghujung.
“Ramai ada idea dan semangat pada awal, tetapi untuk lihat projek sampai ke 'end of the tunnel' itu yang paling sukar. Pasukan ini ada kekuatan itu,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sepanjang penggambaran, hubungan antara pelakon dan kru berkembang menjadi lebih daripada sekadar rakan sekerja, sebaliknya sebuah keluarga.

Pelakon wanita utama, Azira Shafinaz, pula mengakui pengalaman berada dalam kelompok pelakon lelaki memberi cabaran tersendiri, namun membuka ruang untuk beliau menonjolkan karakter yang lebih kuat.
“Saya satu-satunya perempuan dalam marga, jadi saya kena pastikan watak itu tak tenggelam. Saya cuba jadikan watak 'Dahlia' lebih fierce,” katanya, sambil menghargai sokongan rakan pelakon lain yang banyak membantu sepanjang penggambaran
Dengan gabungan pengalaman, bakat dan semangat kerja berpasukan, filem ini diharapkan mampu memberi pengalaman sinematik yang berbeza, sekali gus membuktikan bahawa industri perfileman tempatan mempunyai potensi besar untuk menghasilkan karya bertaraf tinggi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh emosi penonton.

Meirul bersama Sharifah Shakinah yang berlakon sebagai kakaknya.
Selain itu, pelakon muda Meirul menyifatkan peluang bekerja di bawah arahan Razaisyam sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama memasang hasrat.
“Ini lebih daripada apa yang saya impikan sejak mula dalam industri. Hari ini saya dapat lihat penonton menyaksikan hasil kerja kami, itu satu perasaan yang tak dapat digambarkan,” jelasnya penuh emosi. - KitaReporters

Pengarah Razaisyam (tengah) dan Aedy bersama barisan pelakon TARUNG: Unforgiven yang hadir memeriahkan Malam Gala di GSC Midvalley.
