Jiwa raga P.Ramlee ber’semadi’ di Studio Jalan Ampas. Begitulah rasa yang menusuk ke sanubari penulis tatkala penulis menjejakkan kaki di pekarangan Studio Jalan Ampas di Singapura pada tahun 2025.


 


Meskipun telah lebih lima dekad seniman agung negara, Tan Sri P.Ramlee pergi meninggalkan kita namun aura seninya masih berbekas di hati segenap jiwa rakyat Malaysia dan seantero Asia. 

Masih dapat penulis rasakan babak-babak filem popular Allahyarham seperti Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Bujang Lapok dan beberapa lagi filemnya yang tidak ditelan zaman apabila penulis berada di kawasan Studio Jalan Ampas berkenaan. Seolah-olah penulis sendiri merasai sosok tubuh penghibur versatile tersebut masih ‘hidup’! 

Tahun ini tahun 2026, pada 22 Mac lalu, genap 97 tahun ulang tahun kelahiran seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. 

Seantero negara dikejutkan dengan pemergian P. Ramlee 53 tahun yang lalu pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.30 pagi selepas tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai Pustaka Peringatan P.Ramlee.



Berkesempatan melewati Studio Jalan Ampas di Singapura, penulis sebagai rakyat Malaysia masih dapat merasakan jiwa dan raga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih lagi ‘hidup’ di studio berkenaan. 

Penulis berpeluang singgah di Studio Jalan Ampas ketika melawat Singapura tahun lalu (2025). Apabila melalui kawasan ini terus saya teringat akan tempat lahirnya seniman dan seniwati agung seperti Saloma, Normadiah, Salleh Kamel, trio Bujang Lapok dan ramai lagi yang sangat popular suatu ketika dahulu. 

Sudah semestinya orang pertama yang saya ingati adalah Allahyarham P.Ramlee di mana salah satu babak di dalam filem Seniman Bujang Lapok dirakamkan di luar Studio Jalan Ampas ini.


Jalan Ampas, Singapura 


Babak P.Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsuddin sebagai Bujang Lapok duduk tanpa kerusi serta babak S. Samsudin dalam tandas sebab takut nak screen test. Studio Jalan Ampas ini adalah satu khazanah bagi industri perfileman dan masyarakat melayu nusantara. 

Perasaan penulis merasa sayu apabila tiba di depan pintu pagar Studio Jalan Ampas ini amat dirasai kerana hasil keringat dan zaman kemuncak P. Ramlee semuanya bermula dan kini disemadikan di sini. 

Penulis berpendapat kerajaan Malaysia harus bekerjasama dengan kerajaan Singapura untuk mengekalkan dan memperkenal Studio Jalan Ampas kepada generasi masa kini supaya sejarahnya tidak hilang kerana seni warisan ini amatlah berharga untuk industri perfileman negara pada masa depan.


Salah satu babak dalam filem Seniman Bujang Lapok sekitar tahun 1961


Lokasi kini yang sama (2025) P. Ramlee berdiri bersama Singh dalam filem Seniman Bujang Lapok 


Jika kita rakyat Malaysia tidak menjaga serta memelihara sejarah dan artifak perfileman ini, tidak mustahil ia akan hilang ditelan zaman. Sehingga kini karya-karya agung P. Ramlee daripada nukilan filem-filem legenda mahupun lagu-lagunya yang malar segar masih dimainkan dan diputarkan di stesyen televisyen dan corong-corong radio.

Penulis turut berpeluang merakam gambar kenangan di sekitar Studio Jalan Ampas di mana zaman era kegemilangan perfileman melayu dilahirkan. Usaha sama antara kerajaan Malaysia-Singapura bagi kerja-kerja reservasi dan baik pulih Studio Jalan Ampas amat ditagih supaya studio berkenaan dapat di buka semula kepada umum.

Jika kita tidak mendapat kata sepakat dari Singapura, saya rasa kita terpaksa ‘melupakan’ Studio Jalan Ampas ini kerana ia adalah milik mutlak Shaw Brothers Singapura di mana tanah ini adalah milik persendirian. 

Kerajaan malaysia mungkin boleh melaburkan duit bagi membangunkan studio seumpama di Jalan Ampas ini di Malaysia. Ini dapat membuka ruang orang ramai merasai pengalaman berada di Studio Jalan Ampas seperti di Singapura ini.


Syed Nazran Syed Hamid, anak Mariani. 


Penulis turut mendapat peluang keemasan menemui Syed Nazran Syed Hamid, 64, anak kepada Allahyarhamah seniwati Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail dan bersama suami keduanya, Allahyarham H. M. Rohaizad @ Syed Hamid Al-Segaf Mohammad Alias yang juga merupakan seorang pelakon dan penolong pengarah filem Melayu di Studio Jalan Ampas. 

Menurut Syed Nazran, sosok P. Ramlee amat dekat dengannya serta seisi keluarga apabila seniman tersebut berkahwin dengan Puan Seri Saloma yang merupakan adik kepada ibunya. 

“P. Ramlee menjadi sebahagian keluarga saya apabila dia berkahwin dengan ibu saudara saya, Saloma. Saya pernah berjumpa dengan beliau sebanyak tiga kali seumur hidup saya. 

“Kali pertama di Rumah Kampong Kaki Bukit, Singapura di mana P. Ramlee dan Saloma datang ke rumah untuk bertemu datuk saya (ayah Saloma). Saya sewaktu itu dijaga oleh datuk saya sejak berumur satu tahun selepas ayah saya meninggal dunia pada tahun 1961. 

“Saya tidak pernah melihat wajah ayah saya memandangkan dia meninggal dunia apabila saya berumur satu tahun dan sejak pemergian ayah saya, ibu saya pergi ke Kuala Lumpur bersama P. Ramlee dan Saloma. 

“Kali kedua saya bertemu P. Ramlee di Jalan Dedap, Setapak pada tahun 1971 ketika saya berusia 10 tahun. Saya masih ingat lagi duduk makan tengah hari bersama ibu saya, Saloma dan P. Ramlee namun sayangnya masa itu tiada gambar diambil sebagai kenangan,” katanya ketika ditemui di Singapura pada tahun 2025.

Tambah Syed Nazran, kali ketiga dan terakhir dia bertemu P. Ramlee adalah pada 1973 di Mountain Emily, Singapura pada hari perkahwinan kakak saya, Sharifah Haslinda Syed Hamid di mana P. Ramlee sempat menyanyikan beberapa buah lagu sebelum beliau meninggal dunia pada  tahun yang sama.


Antara gambar kenangan terakhir P. Ramlee bersama Saloma 


Bapa Syed Nazran yang menggunakan nama pena H.M. Rohaizad atau nama panggilan Wan Chik dalam kalangan seniman sejak 1953 di mana turut sama-sama melebarkan sayap karyanya menjadi penolong pengarah bersama P. Ramlee dalam beberapa filem sewaktu kemuncak Studio Jalan Ampas. 

Antara filem arahannya bersama P.R amlee adalah Seniman Bujang Lapok dan turut berlakon bersama P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali, Sarjan Hassan, Indera Bangsawan serta beberapa filem yang lain. 

Antara pengiktirafan yang membanggakan oleh P.Ramlee adalah pengiktirafan antarabangsa seperti Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-4, Tokyo dan Bakat Paling Pelbagai di Festival Filem Asia Pasifik Ke-10, Tokyo. 



Bekas studio Malay Film Productions (MFP) telah ditubuhkan pada tahun 1940 oleh Shaw Organization, yang diasaskan oleh adik-beradik Runme Shaw dan Run Run Shaw. Filem Melayu dirakam dan disunting di pekarangan studio yang menempatkan set berskala besar meniru lokasi seperti kampung. 

Antara 1941 dan 1967, zaman yang dikenali sebagai Zaman Keemasan Pawagam Melayu, studio ini menghasilkan lebih daripada 150 filem. 

Selepas penutupan sementara semasa Pendudukan Jepun, studio itu dibuka semula dan mengeluarkan filem pertama selepas perang, Singapura Di-Waktu Malam ("Singapore at Night") pada tahun 1947. 

Filem Shaw dirakam oleh pengarah terkenal seperti B S Rajhans, Jamil Sulong dan Ramon Estella. Bintang terbesar studio ini tidak lain dan tidak bukan ialah P. Ramlee, yang merupakan pelakon, penyanyi, pengarah dan komposer kelahiran Pulau Pinang yang membintangi lebih 60 filem dan mengarahkan lebih daripada 30 filem. 

Pada akhir 1960-an, MFP merosot kerana industri filem tempatan menghadapi persaingan untuk penonton dari televisyen dan filem asing, serta peningkatan kos yang timbul daripada pertikaian buruh.



Ramai bakat besar, termasuk P.Ramlee, turut berpindah ke Kuala Lumpur selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 1963. Shaw Organization mengikutinya pada 1966 dan studio MFP akhirnya ditutup pada 1967. 

Maka, bersemadilah keringat, jerih perih, air mata, kenangan dan karya agung legenda negara Tan Sri P. Ramlee di bumi Kota Singa ini tanpa dapat dilihat umum secara langsung selain perlu mendapat kebenaran pihak Shaw Brothers memandangkan ia berada di atas tanah persendirian di Jalan Ampas ini. 

Berkaca air mata penulis sewaktu ingin meninggalkan Studio Jalan Ampas ini. Ada aura luar biasa yang ‘ditinggalkan’ legenda P. Ramlee ini yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Meskipun penulis tidak pernah bertemu mata dengannya, namun penulis membesar dengan filem-filem yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman karya P. Ramlee yang banyak memberi nasihat, teguran serta lakaran rencam realiti kehidupan yang malar segar sehingga kini. - KitaReporters

11
14
0
9
0

Copy Link: