Semangat kesukanan tanpa batas usia terus menjadi inspirasi apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, berkongsi pengalaman berlatih bersama kumpulan Masters di Australia.


Momen kenangan Azizulhasni Awang bersama para pelumba Masters anjuran UCI di Melbourne. Foto FB Azizulhasni Awang.

Azizulhasni yang kini berada di Melbourne bagi menjalani latihan berkata, penyertaannya bersama kumpulan tersebut membuka perspektif baharu mengenai nilai sebenar sukan dalam kehidupan.

Menurutnya, kategori Masters yang diperkenal oleh badan induk berbasikal dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), bermula seawal usia 35 tahun dan ke atas.

Katanya, setiap peserta akan dibahagikan kepada subkategori mengikut kumpulan umur dengan sela lima tahun, bermula daripada 35 hingga 39 tahun sehingga 80 tahun dan ke atas.

“Dalam kategori ini, kita dapat lihat kepelbagaian latar belakang dan umur, tetapi semuanya berkongsi minat yang sama terhadap sukan berbasikal,” katanya.

Juara Keirin Dunia 2026 itu menjelaskan bahawa penglibatan dalam kategori Masters bukan sekadar untuk bersaing, sebaliknya turut menjadi medium untuk kekal sihat dan aktif.

“Ada antara mereka yang hanya mahu kekal cergas, ada juga yang menjadikan ia sebagai platform bersosial bersama rakan-rakan dan tidak kurang yang masih aktif bersaing pada peringkat domestik serta antarabangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, kehadiran golongan itu memberi contoh positif kepada komuniti setempat tentang kepentingan gaya hidup aktif.

“Saya cukup kagum melihat komitmen mereka. Usia bukan penghalang untuk terus bergerak dan mencabar diri,” ujar pelumba berusia 38 tahun itu.


Azizulhasni Awang (kanan) bersama Brian berusia 78 tahun yang masih aktif berlumba basikal.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' turut berkongsi kisah seorang pelumba berusia 78 tahun yang dikenali sebagai Brian yang masih aktif berlatih dan menyertai perlumbaan.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu berkata, apa yang lebih mengagumkan adalah kesanggupan Brian berulang-alik sejauh lebih 100 kilometer sehala dari kediamannya ke velodrom bagi menjalani latihan.

“Bayangkan, pada usia 78 tahun, beliau masih mampu berulang-alik lebih 100 kilometer, dua hingga tiga kali seminggu semata-mata untuk berlatih,” katanya.

Tambahnya, dedikasi yang ditunjukkan oleh Brian menjadi bukti bahawa minat dan disiplin mampu mengatasi kekangan usia.

“Saya tanya beliau kenapa masih lakukan semua ini, dan jawapannya cukup ringkas -- ‘Cause I love it, mate!’,” katanya.


Imbas... Azizulhasni Awang bersama pingat emas dan gangsa setelah mengunguli acara keirin serta pecut pada Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Perth pada awal bulan Mac 2026 ini.

Azizulhasni berkata, pengalaman tersebut memberikan inspirasi bukan sahaja kepada dirinya, malah diharap dapat dikongsi bersama rakyat Malaysia.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana sukan boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat di negara ini menjadikan sukan sebagai rutin harian tanpa mengira usia demi kesihatan dan kesejahteraan diri. - KitaReporters

12
18
0
7
0

Copy Link: