BOLA SEPAK Malaysia mencapai titik terendah apabila skuad kebangsaan ditewaskan oleh Vietnam 3-1 pada perlawanan kelayakan Kumpulan F Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, pada Selasa, 31 Mac, 2026 lalu, hanya selepas sembilan bulan, tepatnya pada 10 Jun, 2025, kita gah membelasah pasukan itu 4-0.


MALAYSIA tumpas 1-3 kepada Vietnam pada kelayakan Piala Asia. - Kredit foto: FB FAM


Kekalahan itu menambahkan luka Harimau Malaya yang gagal melayakkan diri selepas kemenangan ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) sebelum itu dibatalkan dengan kemenangan 3-0 diberikan kepada lawan ekoran skandal pemain warisan membabitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. 

Lebih memburukkan keadaan ranking skuad Harimau Malaya turut menjunam ke tangga 138 dunia, jatuh tujuh belas anak tangga berbanding pada tempat ke-121 pada Januari 2026 lalu. Malah, pada November 2025, kita boleh berbangga dengan kedudukan pada ranking 116 dunia. 

Semua sudah sedia maklum apa yang berlaku. Ia akan terpahat dalam sejarah sebagai skandal paling tragis dalam bola sepak Malaysia selepas skandal rasuah pada tahun 1990-an dahulu malah penulis boleh katakan inilah skandal paling dahsyat yang bukan saja memalukan malah mencalar maruah negara Malaysia seantero dunia.


MALAYSIA jatuh ke ranking 138 bola sepak dunia. - Kredit foto: FB FAM


Sehingga sekarang, walaupun pelbagai spekulasi timbul dan siasatan dilakukan, dalang sebenar di sebalik pemalsuan dokumen ketujuh-tujuh pemain warisan itu belum dapat dikenal pasti atau tidak berani didedahkan. 

Malah, tidak ada seorang pun yang berani bersikap gentleman, tampil mengaku kesilapan dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku sebaliknya ramai yang dijadikan kambing hitam. 

Apa yang menghairankan, kerajaan sendiri mengambil sikap membisu mengenai isu ini tanpa sebarang tindakan sewajarnya. 

Rasanya, tak perlu rakyat mengajar apa yang patut mereka lakukan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mendapati ketujuh-tujuh pemain itu bersalah kerana terbabit isu pemalsuan dokumen semasa memhohon kerakyatan Malaysia dan seterusnya menyarung jersi Harimau Malaya.


TUJUH pemain yang terbabit pemalsuan dokumen pemain warisan. 


Ya, menteri mempunyai kuasa penuh untuk meluluskan permohonan mereka sebagai warganegara tapi selepas terbukti berlaku penipuan, apakah kita masih mahu mengaku mereka sebagai warga negara? 

Sepatutnya, kewarganegaraan mereka ditarik balik kerana penipuan yang berlaku bukan sekadar menconteng arang pada martabat nama baik bola sepak Malaysia malah mencemar maruah negara! 

Tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan empat daripada tujuh pemain itu mewakili kelab dalam Liga Malaysia atas status sebagai warga negara juga satu lagi episod menyedihkan. 

Memang benar daripada segi undang-undang, mereka layak kerana memegang kad pengenalan Malaysia, namun daripada sudut moral, ia memberi petunjuk tidak betul yang mungkin akan jadi duluan pada masa akan datang.



Revolusi yang gegak gempita dicanangkan dahulu kini memakan diri. Bukan memulangkan paku buah keras, tapi dari awal lagi penulis tidak bersetuju dengan program ‘mi segera’ Harimau Malaya yang mengrekrut pemain warisan untuk memartabatkan bola sepak Malaysia. 

Malah, sejak kehadiran ketujuh-tujuh pemain itu, kesangsian sentiasa bersarang di hati tentang kesahihan mereka sebagai pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia. Akhirnya, terbukti apa disangsikan itu benar. 

Ya, nasi sudah menjadi bubur. Tapi, apa yang berlaku akan meninggalkan parut kepada bola sepak Malaysia. Kegagalan ke Piala Asia tidak terlalu mengecewakan berbanding skandal yang berlaku. 

Penulis berharap, kita belajar daripada kesilapan ini. Bola sepak Malaysia kini benar-benar memerlukan revolusi, bukan saja untuk skuad Harimau Malaya malah pada keseluruhan sistem pada semua peringkat.


SEMUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bala Sepak Malaysia meletak jawatan  serentak pada 28 Januari 2026 ekoran skandal yang melanda skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: FB FAM


Ini adalah masa terbaik untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membersihkan apa saja daki yang terpalit pada badan bola sepak negara itu. 

Pilihlah pemimpin, dari presiden hingga ke tukang bancuh kopi yang benar-benar berjiwa bola sepak, berintegriti dan berwawasan demi memulihkan imej dan prestasi bola sepak kita. 

Siapapun yang menerajui FAM kelak, mereka mempunyai tanggungjawab amat berat. Ia bukan sekadar memulih imej badan itu sendiri atau imej Harimau Malaya sebaliknya perlu merubah keseluruhan ekosistem bola sepak Malaysia kerana ia saling berkait.

FAM perlu menggerakkan peranan persatuan-persatuan negeri di bawah naungannya. Setiap kepincangan di setiap negeri, contohnya soal pembangunan, perlu diperbaiki kerana merekalah sebenarnya pihak bertanggungjawab melahirkan pemain berkualiti untuk dibekalkan kepada skuad Harimau Malaya tanpa perlu kita terlalu bergantung kepada ‘harimau jadian’.


MALAYSIA menjuarai Piala Suzuki AFF pada 2010 dengan barisan pemain muda.


MFL sebagai badan pentadbir liga juga perlu merenung kembali serta mengkaji apakah puncanya liga bola sepak negara ini semakin suram sehingga peminat hilang selera untuk menontonnya walaupun secara percuma di kaca televisyen. 

Jumlah kehadiran penonton di stadium boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sama ada liga bola sepak kita masih diminati atau sebaliknya. Jangan malu untuk mengakui hakikat bahawa liga kita kini hanya indah khabar dari rupa. Puncanya? Menjadi tanggungjawab MFL untuk mencari jawabannya. 

Penulis bukan antipemain import tapi memberi slot yang terlalu banyak kepada mereka secara tidak langsung membunuh kebolehan pemain tempatan. 

Jangan kita cakap pemain tempatan tidak ada kualiti sedangkan kita yang tidak memberi ruang untuk mereka berkembang kerana terlalu taksub dengan barangan import.


K RAJAGOBAL, jurulatih yang bertanggungjawab membawa kejayaan kepada Malaysia memenangi emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF.


Ingat, Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2009 dan 2011 serta Piala AFF pada 2010 ketika FAM mengamalkan dasar tutup pintu kepada pemain import yang akhirnya melahirkan bintang-bintang tempatan seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat dan ramai lagi.

Datuk K Rajagobal, jurulatih yang bertanggungjawab menggilap bakat pemain-pemain muda tempatan sehingga menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 percaya pemain muda memerlukan pendedahan yang luas untuk meningkatkan potensi mereka. 

Beliau percaya program pembangunan yang tersusun dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia kerana sudah terbukti apabila kita memenangi emas Sukan SEA dua edisi berturut-turut dan Piala AFF. 

“Ia bermula dengan skuad Bawah 16 (B-16) dan Bawah 18 (B-18) Tahun di sekolah sukan. Sasaran kami adalah memberi mereka pendedahan secara kompetitif,” katanya.


SKUAD Malaysia mengulangi kejayaan memenangi emas Sukan SEA pada 2011.


Beliau mengimbas kembali penyertaan skuad Harimau Muda pada Liga Perdana 2007-08 yang mana mereka menduduki tangga ke-8 pada musim pertama sebelum muncul juara pada 2009 tanpa bergantung pada seorang pun pemain import. 

“Pada 2009, kita memenangi emas Sukan SEA di Laos, diikuti Piala AFF pada 2010. Kebanyakan pemain itu adalah anggota skuad yang sekali lagi memenangi emas Sukan SEA pada 2011 di Indonesia. Mereka kemudian menjadi tulang belakang skuad kebangsaan,” ujar Rajagobal. 

Dalam keadaan bola sepak kita yang sedang cacamarba sekarang, inilah permulaan revolusi sebenar dengan semua pihak perlu memainkan peranan untuk memulihkan maruah kita yang sudah teruk tercalar. Ayuh bangkit! -KitaReporters


BARISAN pemain Malaysia memberi penghormatan kepada penyokong yang hadir memberi sokongan ketika perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac, 2026. - Krdit foto: FB FAM

 

 

 

 

 

 

 

 

13
10
0
18
0

Copy Link: