SUSULAN tindakan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji negara ini menunaikan untuk ibadah yang merupakan rukun Islam kelima, dikhuatiri ada pihak tertentu cuba menawarkan khidmat menguruskan sendiri visa haji berkenaan. Ini berikutan terdapatnya dakwaan bahawa agensi atau syarikat swasta yang mengendalikan pemergian jemaah haji di negara ini mengalami kerugian besar berikutan tindakan penangguhan tersebut. : KitaReporters

Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan institusi unggul mengendalikan urusan pemergian jemaah haji Malaysia ke Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji. - Kredit foto: Lembaga Tabung Haji. 


Sehubungan itu, orang ramai khususnya mereka yang terpilih dan sepatutnya dijadualkan menunaikan ibadah haji pada musim haji 1441 Hijrah/2020 Masihi diminta berhati-hati dan tidak sesekali berurusan dengan pihak yang membuat tawaran itu.

Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan penangguhan pemergian jemaah haji negara ini turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri atau visa furada.

Dalam satu kenyataan pada Ahad 14 Jun 2020, menurut Bernama, TH menjelaskan, untuk masa ini kerajaan telah mengawal semua perjalanan rakyat Malaysia keluar negara berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Berikutan wabak pandemik berbahaya ini, banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat mengendalikan aktiviti urusan Haji dan Umrah.

Poster mengenai penangguhan penghantaran bakal haji Malaysia ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji musim 2020 di Mekah. Penangguhan tersebut meliputi semua urusan berkaitan haji. - Kredit foto: Lembaga Tabung Haji.


Kata Jurucakap TH dalam kenyataan itu, kerajaan telah menangguhkan penghantaran semua bakal jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadah haji sesi 1441 Hijrah (2020 Masihi) kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Kenyataan ini merujuk kepada dakwaan sejumlah 51 buah syarikat atau agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan penangguhan yang diambil oleh kerajaan.

Kenyataan itu menyatakan bahawa bagi musim haji 1441 Hijrah ini, TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) hanya kepada 24 syarikat atau agensi pelancongan sahaja.

Sehingga kini, seramai 2,200 orang bakal haji telah memilih untuk menggunakan khidmat pakej PJH bagi menunaikan haji tahun ini yang memperolehi lesen daripada TH dan anak syarikatnya TH Travel & Services (THTS).

Bagi tujuan ini, tidak ada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau agensi swasta lainnya.

TH  telah memaklumkan kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac 2020 untuk menangguhkan sebarang  komitmen kewangan bagi urusan haji 2020.

Maklum balas yang diterima semua agensi berkenaan telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan. 

Bagaimanapun urusan penerbangan masih belum dimuktamadkan.

Dua kota suci umat Islam, Mekah al-Mukkaramah dan Madinah al-Munawarah menjadi tumpuan utama setiap kali musim haji berlangsung. Setiap tahun dianggarkan lebih 2.5 juta orang Islam daripada seluruh dunia akan bertumpu di dua kota utama ini bagi mengerjakan ibadah haji. - Kredit foto: al-Haramain.com


Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pada Khamis, 11 Jun 2020 dalam sidang media khas mengumumkan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji pada musim haji tahun ini demi keselamatan dan kesihatan para jemaah berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekarang termasuk Arab Saudi.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan mauktamad  sekali pun dengan rasa berat kerana prihatin masalah keselamatan dan kesihatan jemaah Malaysia yang bakal menunai haji ditanah suci Mekah.

"Diharap semua bakal haji bersabar dan reda dengan ketentuan Allah itu," jelasnya.

(Laporan KitaReporters : Penghantaran jemaah haji ditangguh! Jemaah 2020 dihantar 2021)

Inti pati Sidang Media Khas, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai penangguhan penghantaran bakal jemaah haji Malaysia bagi musim haji 2020. - Kredit foto: Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.  


Sebaik sahaja selesai sidang media itu, beliau menerima panggilan telefon daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Sheikh Dr. Mohmmed Saleh Tahir Benten mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas tindakan berhemah mengenai penangguhan penghantaran jemaah haji negara ini, yang sebelumnya sudah diberitahu melalui surat rasmi yang disampaikan melalui Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hassan Saeed Quttan.

Menurut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi itu tindakan yang diambil melambangkan ketinggian budi dan penghormatan penuh Malaysia terhadap Kerajaan Arab Saudi terutama dalam aspek pengurusan Haji dan Umrah.

Datuk Dr. Zulkifli dalam perbualan itu sempat menyampaikan ucapan terima kasih kerajaan dan umat Islam di Malaysia kepada Khadim al-Haramain al-Sharifain Raja Salman bin Abdul Aziz serta Kerajaan Arab Saudi atas usaha bersungguh-sungguh memerangi wabak COVID-19 di negara itu khususnya dua kota suci umat Islam Mekah al Mukarramah dan Madinah al-Munawarah.

Dr Zulkifli juga mendoakan wabak di kedua-dua  negara segera beransur hilang dan umat Islam di Malaysia dapat melaksanakan ibadah haji pada tahun hadapan.

Sheikh Dr,Mohammed Saleh Tahir Benten (kanan) menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas tindakan berhemah menangguhkan pemergiaan bakal jemaah haji negara ini sebaik sahaja Dr Zulkifli (kiri) selesai mengadakan Sidang Media Khas mengenai penangguhan tersebut di Putrajaya. - Kredit foto: Facebook  Datuk Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri.


Berikutan penangguhan itu juga kerajaan melalui TH akan memulangkan bayaran haji kepada bakal jemaah haji yang terlibat dalam masa terdekat.

Dengan penangguhan itu, sejumlah 31,600 bakal jemaah haji daripada negara ini terpaksa menunda pemergian mereka ke tanah suci Mekah pada tahun depan 2021. 

Bilangan ini bertambah 1,600 orang daripada tahun sebelumnya.

Mengikut perancangan awal jadual operasi haji Malaysia musim 2020 dikeluarkan TH, penerbangan pertama bermula 1 Zulkaedah (Isnin, 22 Jun 2020) dan terakhir pada 3 Zulhijah ( Jumaat, 24 Julai 2020), manakala penerbangan balik bermula pada 18 Zulhijah (Sabtu, 8 Ogos 2020) dan terakhir pada 15 Muharam (Khamis, 3 September 2020)

Hari Wukuf tahun ini (9 Zulhijah 1441) jatuh pada Khamis, 30 Julai 2020 dan keesokan harinya, Hari Raya Aidiladha.

Selain Malaysia, sehingga ini negara yang turut  menangguhkan penghantaran jemaah hajinya termasuklah

Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Kemboja, India, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan Perancis. - KitaReporters

Masjid Nabawi di Madinah al-Munawarah menjadi tumpuan hampir mencecah ratusan ribu bersembahyang jemaah sebaik sahaja dibuka kepada umum pada Ahad, 31 Mei 2020 lalu selepas hampir tiga bulan ditutup kerana lockdown akibat pandemik COVID-19. - Kredit foto: al-Haramain.com


Sekalipun terpaksa mematuhi SOP penjarakan sosial dan bersembahyang di atas marmar tanpa beralas karpet orang ramai tetap memenuhi ruang pekarangan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawarah unuk sembahyang  berjemaah sejak dibuka kepada umum pada Ahad, 31 Mei 2020 lalu . - Kredit Foto: @ w m n govsa

0
0
1
0
0

Copy Link: