Video| Patah tumbuh, Karam Singh sukar diganti! Wartawan penyiaran ikonik! Bergaya, berperibahasa!
Published byDan antara segelintir wartawan penyiaran yang cemerlang dan dikenali ramai ialah Dato' Karam Singh Walia, 67.

Popularitinya seperti golongan seni, dan itu turut membantu mempopularkan TV3 sebagai stesen TV unggul.
Bagi Karam, TV3 adalah rumah keduanya sehingga ada mendakwa dia kurang memberi perhatian kepada isteri dan tiga anaknya kerana lebih mementingkan kerja.
Dia ingin membalas jasa TV3 kerana mengambil dirinya sebagai staf dengan menjalankan tugas sebaik mungkin. Walaupun sudah bersara, Karam masih terus mengenang TV3 yang memberi rezeki dan populariti kepadanya.

Karam menunjukkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato' kepadanya.
Tugas cemerlang Karam dibalas dengan dikurniakan anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' bersempena dengan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-81 pada 2011.
Karam sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali (2006 2007) serta Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.
Karam juga merupakan antara rakan-rakan media yang uzur atau tidak sihat yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih HAWANA (Hari Wartawan Nasional) pada Jun 2024.

Keberanian Karam mendedah kepincangan isu alam sekitar tertentu menyebabkan dia turut menerima tempiasnya seperti diugut, kehilangan kereta hingga memerlukan bantuan pihak polis.
Karam dianggap bijak menggunakan cara laporan berkaitan isu-isu berat dengan cara santai dan dengan mengguna bidalan atau peribahasa untuk menarik minat serta perhatian masyarakat umum dengan isu alam sekitar yang merosakkan negara.


Aksi Karam ketika bertugas
Kepergian Karam pada kira-kira jam 3.30 pagi Isnin, 6 April 2026 di kediamannya di Klang, Selangor meninggalkan kesan mendalam terhadap bidang penyiaran tanah air.
Beberapa pemimpin meluahkan pemergian yang sukar dicari ganti. Antara pemimpin negara yang memberi ucapan takziah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalannya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Keseriusan ketika menjalankan tugas, Karam sentiasa membawa buku yang mengandungi lebih 1,300 bidalan, simpulan bahasa dan peribahasa.Ia digunakan untuk disesuai dengan isu alam sekitar yang dipaparkan.
Selain menggunakan bidalan, simpulan bahasa dan peribahasa yang sudah dibuku, Karam turut menghasilkan simpulan bahasa dan peribahasa ciptaannya sendiri.
1. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke bawah.
2. Tak lapuk dek hujan, tak lekang macam rambutan.
3. Tiada rotan, pelempang berguna juga.
4. Biar lambat, asalkan tak cepat.
5. Biar putih tulang, jangan kuning gigi.
6. Di mana ada gula, di situ adalah gula-gula.
7. Kalah jadi abu, menang jadi arang, seri jadi abu bakar.
8. Carik-carik bulu ayam, lama-lama jadi shuttlecock.
9. Secupak takkan jadi 18 cupak.
10. Gajah mati meninggalkan gading, udang harimau mati meninggalkan kulit, manusia mati meninggal dunia.
11. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula makanan di dalam mulut.
12. Harapkan pagar, pagar tidak boleh diharap.
13. Alang-alang mandi, biar guna sabun.
14. Berapa berat mata memandang, berat lagi seguni beras.
15. Cubit paha kanan, paha kiri tak rasa apa-apa pun.
16. Diam-diam ubi berisi, diam-diam orang bisu.17. Hidup segan, mati di tanam.
18. Ikut hati mati, ikut rasa merasa.
19. Lembu punya susu cap teko dapat nama.
20. Sehari selambar benang, lama-lama benang habis.
21. Jika kail panjang sejengkal, beli le yang panjang sikit kalau nak ngail di laut. (beli la pukat tunda lagi baik)
22. Hendak seribu daya, tak hendak tak apa.
23. Membujur lalu melintang pukang.
24. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hari tak hujan.
25. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut.
26. Kecil-kecil cili padi, kecil lagi biji cili.
27. Kalau sudi katakan sudi, kalau tak sudi boleh blah !!
Pastinya kali ini, patah tumbuh hilang diganti, hilang Karam Singh Walia tiada siapa boleh ganti!! - KitaReporters

