Badrul Hisham Mat Jusoh dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa membunuh Che Janiah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, 11 Mei 2021.


SEORANG pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Selasa, 11 Mei 2021 atas tuduhan membunuh seorang wanita yang ditemui dengan kesan terbakar pada April 2021 lalu.

Badrul Hisham Mat Jusoh, 37, yang memakai baju-T berwarna hitam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Badrul Hisham dari Bukit Payong, Marang didakwa membunuh Che Janiah Jaafar, 55,  seorang tukang masak antara jam 9.30 malam pada 16 April 2021 hingga 7.15 pagi, 17 April 2021 di Jalan Kelantan, Kampung Padang Air, Terengganu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Jun 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim Ayyim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media pada 18 April 2021 lalu melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air di Kuala Nerus.

Kejadian disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran.

Identiti mayat tersebut kemudian dikenal pasti milik Che Janiah yang telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sebelum ini.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diumumkan pada Jumaat, 7 Mei 2021 mengesahkan identiti mangsa sebagai Che Janiah yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Durian Guling, Marang pada 16 April 2021. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

MAYAT hangus yang ditemukan pada 18 April lalu di kawasan belukar oleh tukang sapu yang sedang melakukan kerja pembersihan di Kampung Padang Air Tepoh, Terengganu. - Kredit foto: Kosmo

0
1
5
1
0

Copy Link: