JIKA ada seorang aktres filem Tamil yang paling gembira dan teruja dengan pelantikan aktor Thalapathy Vijay (Vijay), 51, sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, India, pada 10 Mei 2026, dia ialah Trisha Krishnan.

Pada hari Vijay, nama penuh Joseph Vijay Chandrasekhar, mengangkat sumpah jawatan di Stadium Jawaharlal Nehru Nehru di Chennai, Trisha, 43, hadir penuh berseri dan dilihat berada di sisi Vijay, melambangkan hubungan erat antara mereka.


Trisha Krishnan sentiasa berdampingan dengan Thalapathy Vijay, termasuk hadir pada majlis angkat sumpah jawatan Vijay sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.


Mereka bukan sahaja sama-sama terlibat dalam industri, tetapi pernah berlakon bersama dalam beberapa buah filem, antaranya filem pecah panggung.

Mereka dianggap pasangan paling serasi di layar perak. Antara filem lakonan mereka Ghilli’ (2004), ‘Thirupaachi’ (2005), ‘Aathi’ (2006), ‘Kuruvi’ (2008), ‘Leo’ (2023) dan ‘The Greatest of All Time’ (The GOAT) (2024).

Trisha adalah antara aktres filem Tamil popular selain Nayanthara, Shruti Haasan, Kajal Aggarwal, Rashmika Madanna, Tamannah Bhatia, Sai Pallavi, Keerthy Suresh, dan Jyotika.   


Vijay (atas) dan Trisha berganding dalam filem pecah panggung, 'Leo'.


Trisha aktres jelita filem Tamil yang bertakhta di hati Vijay sejak sebelum dia (Vijay) jadi ketua menteri.


Namun kemesraan Vijay dan Trisha bukan hanya kerana sama-sama dalam industri atau berlakon bersama. Hubungan mereka dilapor lebih intim. Mereka dikatakan menjalin percintaan.

Tetapi tentunya ini mengundang masalah. Ke mana arah hubungan mereka? Vijay sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak, lelaki dan perempuan. 

Dia berkahwin dengan Sangeetha Sornalingam, 55, pada Ogos 1999. Anak mereka Jason Sanjay berusia 25 tahun dan Divya Shasha, 20 tahun.

Vijay berkahwin dengan Sangeetha atas kehendak bapanya, S.A. Chandrasekhar, yang juga pengarah dan produser filem. Memetik laporan portal ‘Quora’, Vijay bertemu Trisha pada awal tahun 2000 dan jatuh cinta.

Mereka menjalin hubungan untuk beberapa waktu sehingga isteri dan bapanya (Vijay) memberi kata dua Vijay mesti bersama isteri dan anak. Vijay akur.

Dia dan Trisha berpisah dan tidak bercakap antara satu sama lain untuk beberapa tahun. Trisha meneruskan kehidupan dan cuba mencari kekasih lain, malah telah pernah bertunang tetapi putus.


Rumah tangga Vijay dan Sangeetha ibarat retak menanti belah apabila Sangeetha memfailkan perceraian di mahkamah.


Saat mesra Vijay bersama isteri, Sangeetha. Namun kini suasana berubah, tiada lagi kemesraan.


Namun pada 2020 suasana berubah. Vijay dan Trisha kembali bertaut. Mereka berlakon bersama serta pergi melancong ke luar negara bersama. Trisha memuat naik gambar percutian mereka dalam media sosial. Kemesraan kembali berbunga.

Pastinya ini menimbulkan kemarahan Sangeetha. Ekoran itu, pada Februari 2026 Sangeetha memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Keluarga Chengalpattu atas alasan penderaan mental dan Vijay bermain kayu tiga. Rumah tangga mereka bagai retak menanti belah.

Mahkamah mengarahkan mereka berdua hadir untuk perbicaraan pada 15 Jun 2026. Ada juga laporan mengatakan Vijay sedia membayar sehingga 250 crore (RM103 juta) sebagai penyelesaian daripada melalui perbicaraan yang mungkin mengambil masa lama. 

Walau pun tidak disebut secara spesifik aktres mana yang menganggu rumah tangganya, hubungan Vijay dengan Trisha adalah punca Sangeetha memfailkan cerai. Dia sedar Vijay dan Trisha mempunyai sejarah hubungan yang lama. Mereka bercinta, berpisah dan kini kembali bertaut. 

Apakah pengakhiran cinta Vijay dan Trisha? 


Anak lelaki Vijay, Jason Vijay.


Anak perempuan Vijay, Divya Shasha.


Untuk rekod, Vijay dilantik Ketua Menteri Tamil Nadu setelah parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) muncul parti tunggal menang kerusi terbanyak, iaitu 108 kerusi daripada keseluruhan 234 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamil Nadu pada pilihan raya 23 April 2026.

Keputusan pilihan raya diumum pada 4 Mei. Parti TVK yang kurang 10 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah, bekerjasama dengan parti lain, antaranya Kongres dan Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) membentuk kerajaan.

Pada 13 Mei 2026, Vijay berjaya membuktikan sokongan di DUN dengan 144 undi, hasil sokongan wakil rakyat parti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) yang belot.  

Pilihan raya tersebut juga menamatkan dominasi lebih 50 tahun parti AIADMK dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) di Tamil Nadu. 

Parti DMK diasaskan oleh C.N. Annadurai pada September 1949. Parti AIADMK pula diasaskan pada Oktober 1972 oleh seorang lagi bintang filem terkenal Tamil yang kemudian jadi ketua menteri, M.G. Ramachandran atau MGR. -KitaReporters


Vijay menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.

16
12
0
12
0

Copy Link: