Potong gaji 50% kerana hidap kanser? Kelab, pemain sama-sama ada hak! Tak ada isu - Bakri Ibni

Published by
KitaReporters

Status Instastory Tuanku Ismail mengenai isu pemotongan gaji seorang pemain yang menghidap kanser mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penyokong. - Kredit foto: Instagram HRH Crown Prince of Johor 


ISU pemotongan gaji sebanyak 50 peratus ke atas seorang pemain yang menghidap kanser tidak perlu diperbesarkan kerana setiap kelab mahupun pemain mempunyai hak untuk menentukannya apatah lagi jika perkara itu termaktub dalam kontrak.

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata, setiap kelab atau persatuan bebas menentukan polisi mereka asalkan tidak melanggar peraturan asas ditetapkan oleh badan bola sepak dunia dan negara.

“Saya tidak pasti situasi sebenar mengenai isu yang dibangkitkan ini, adakah pemain itu dipotong gaji sebanyak 50 peratus semasa dia masih dalam kontrak atau ia adalah cadangan untuk kontrak baharu.

 “Jika kita ambil andaian bahawa gajinya dipotong 50 peratus semasa masih dalam kontrak, kita perlu pula tengok apakah pemotongan itu dibuat atas persetujuan bersama atau memang sedia termaktub dalam kontrak.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan dunia bola sepak


"Kelab dan pemain perlu berbincang bagi mencapai konklusi menang-menang." - Bakri Ibni. - Kredit foto: Harian Metro


“Kalau perkara itu memang terdapat dalam klausa perjanjian antara pemain dengan kelab, ia tidak perlu dijadikan isu kerana sedari awal pemain sudah mempersetujuinya. 

Malah, jika ia tidak terdapat dalam perjanjian sekali pun, perkara sedemikian masih boleh dicapai secara rundingan dan atas persetujuan bersama,” ujar Bakri. 

Bakri berkata, dalam sesuatu keadaan, rundingan masih boleh dilakukan sekali pun perjanjian sudah dimanterai. Namun, setiap keputusan atau perubahan yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.



“Mungkin dalam suatu keadaan, contohnya pemain itu tidak mampu lagi memberi sumbangan kepada pasukan kerana masalah kecederaan atau kesihatan, kedua-dua pihak boleh berunding mencari satu konklusi yang bersifat menang menang.

“Sebagai majikan, sudah tentu sesebuah kelab berasa rugi untuk membayar gaji penuh (seratus peratus) sedangkan khidmat pemain itu tidak dapat digunakan dalam jangka masa yang panjang. Jadi, pemain pun perlu mempunyai sikap tolak ansur dan bertimbang rasa.

“Dalam isu ini, jika gaji pemain dipotong atas persetujuannya, tidak timbul soal kelab bersikap kejam atau tidak berperikemanusiaan tapi jika kelab sesuka hati memotong gaji pemain tanpa sebarang rundingan, itu baru boleh dianggap kejam,” katanya.




Isu pemotongan gaji sebanyak 50 peratus ke atas seorang pemain yang menghidap kanser didedahkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tuanku Ismail Sultan Ibrahim yang juga merupakan Tengku Mahkota Johor (TMJ).

Melalui status Instastorynya, Tuanku Ismail mempersoalkan tindakan sebuah pasukan yang didakwa memotong gaji pemainnya yang menghidap kanser sebanyak 50 peratus.

“Orang tu kena cancer. Selepas dah berhempas pulas bersusah payah untuk awak, takkanlah oleh kerana kena cancer awak nak potong gaji dia 50%. Macam ni ke jaga orang? Mana tak ramai nak angkat kaki. Dalam social media aja hebat. Dalam rumah sendiri hancur. First rule to success is “sikap kemanusiaan," tulis Tuanku Ismail.

Status TMJ itu segera mencetuskan perbincangan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan terutama penyokong Selangor. Walaupun beliau tidak menyebut siapakah pemain dan pasukan yang dimaksudkan namun ramai meneka ia ditujukan kepada Selangor FC.


Brendan Gan berehat panjang selepas menjalani pembedahan kanser.  


Ini kerana dalam kalangan pemain yang masih beraksi, pemain tengah Selangor, Brendan Gan disahkan menghidap kanser testis dan sudah menjalani pembedahan serta rawatan susulan.

Ekoran itu, Brendan terpaksa berehat panjang daripada aksi liga juga Piala Malaysia yang sedang berlangsung. 

Kali terakhir pemain kacukan Malaysia-Australia itu turun beraksi adalah ketika Selangor tewas 1-2 kepada Terengganu di gelanggang sendiri pada Julai 2021 lalu. 



Kenyataan TMJ itu ternyata mengguris hati penyokong The Red Giants. Rata-rata mereka meluahkan kekecewaan ke atas pemilik JDT itu kerana dianggap mencampuri urusan pasukan lain.

Pada masa sama, Selangor FC turut mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang dilihat sebagai membalas status TMJ berhubung isu berkenaan walau pun tidak ditujukan secara terus kepada beliau.


 


“Hari ini Selangor FC banyak menerima pertanyaan berkenaan status pemain kami yang sedang melawan kanser.

 “Di sini kami ingin menjelaskan bahawa pihak kelab telah memenuhi semua kewajipan seperti yang dipersetujui dalam kontrak dari awal hingga hari ini, dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada.

“Untuk sebarang urusan kontrak masa hadapan, adalah sedia maklum bahawa pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

 “Di Selangor FC, kami sentiasa memberikan sokongan yang terbaik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua pemain kami. Kita kalah bersama, kita menang bersama,” ujar kenyataan itu.



Dalam pada itu, Brendan sendiri turut tampil menafikan Selangor FC memotong gajinya sebaliknya menyatakan pasukan itu selaku majikan, sentiasa mematuhi apa yang termaktub dalam kontrak.

"Saya sudah melihat dan membaca mengenai apa yang diperkatakan melalui media sosial dan saya lihat perkara ini boleh ditakrifkan dalam pelbagai cara.

"Tetapi saya mahu menjelaskan bahawa Selangor mematuhi kontrak 2021 saya sepenuhnya,” jelas Brendan melalui akaun twitternya. – KitaReporters


12
16
0
15
3

Copy Link: