Datuk Abdul Hail bin Amir lebih dikenali sebagai Hail Amir, 76, mampu meletakkan dirinya sebagai satu bintang besar dalam industri seni tanah air selama beberapa tahun sejak pertengahan 1970-an.

Hail berasal dari Pulau Pinang adalah antara penari di Komplek Budaya Negara (KBN) yang berjaya mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi popular tanah air.




Hail mula diperkenal sebagai salah seorang pelakon utama filem ‘Jiwa Remaja’ terbitan Merdeka Filem Production dan arahan Datuk Jamil Sulong pada 1975. Dengan memiliki tubuh yang sasa dan kacak membuat Hail terus popular melalui filem itu.

Tan Sri Dr Ahmad Nawab yang bertugas sebagai penerbit dengan syarikat rakaman EMI ketika itu tertarik dengan ‘keunikan’ suara.

Uji Rashid dan Hail Amir yang ketika itu bertugas di KBN dan sudah mula popular sebagai pelakon. 

Setelah Uji dan Hail menerima tawaran menjadi artis rakaman EMI, Ahmad Nawab melihat kedua-duanya sesuai diganding.

Selepas duet P Ramlee dan Saloma, hanya pasangan A Ramlee/Maria Bachok, Ismail Haron/Anita Sarawak dan Anuar/Elinna berjaya menonjol. Dan bagi Ahmad Nawab, dia mahu mencari pasangan duet baharu dalam muzik tanah air.

Setelah melihat kejayaan Uji dalam album pertamanya ‘Ku Kekosongan’ dan album keduanya, ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’ dan Hail Amir meletup melalui album pertamanya ‘Wajah Kesayangan Hamba’, Ahmad Nawab melihat Uji dan Hail sesuai menjadi pasangan duet. 




Percubaan Ahmad Nawab mengandingkan Uji dan Hail Amir melalui lagu ‘Antara Matamu dan Mataku’ pada tahun 1976 ‘menjadi’.

Album duet itu menjadi antara album terlaris pada tahun itu. Selain lagu itu, satu lagi lagu gandingan Uji/Hail yang malar segar ialah ‘Seloka Hari Raya’. 

Kerana menjadi pasangan penyanyi duet yang ideal menimbulkan gosip kedua-duanya menjalin hubungan cinta. Namun gosip itu terbubar apabila Hail dan Uji memilih pasangan hidup masing-masing. 

Dalam bidang perfileman Hail berlakon dalam sebanyak sembilan filem bermula ‘Jiwa Remaja’ (1975) dan terakhir ‘Jaket Biru’ (1991). Sementara dalam bidang rakaman lagu, Hail berjaya menghasilkan 12 album solo, duet dan kompilasi. 

Ia bermula dengan album ‘Wajah Kesayangan Hamba’ (1976) dan terakhir ‘Lagenda Hit Uji Rashid & Hail Amir’ (2010).


Hail dan Uji dalam satu adegan filem 'Jiwa Remaja'


Kesihatan Hail mula terjejas sejak lima tahun lalu iaitu pada tahun 1998 kerana mengalami masalah jantung. Namun dia tetap menyanyi jika terima undangan. Dia juga tetap menghadiri undangan jika membabit pertemuan golongan artis.

Pada bulan Ramadan 2024 lalu, Hail tetap menghadiri undangan berbuka puasa. Malah dalam kesihatan kurang baik, Hail tetap berusaha mengunjungi saudara-mara di Pulau Pinang.

Dan kesihatannya semakin memburuk seminggu lalu sehingga perlu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehingga menghembus nafas terakhir pada jam 3.48 petang Isnin, 6 Jun 2024  akibat jangkitan paru-paru.

Jenazahnya selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang jam 11 pagi Selasa, 7 Jun 2024 dengan dihadiri sejumlah teman artis, saudara-mara, kenalan dan peminat. 


Ramai kenalan menghadiri majlis pengkebumian Hail Amir


Kepergian Hail merupakan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air. Dalam kalangan artis Hail seorang yang mudah didekati dan suka bergurau.

Hail sempat menerima penghargaan atas sumbangan seninya dengan mendapat anugerah darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pada 1 Februari 2022. - KitaReporters


10
13
0
14
0

Copy Link: