Menjelang tayangan rasmi filem seram dramatik ‘Khadam’ pada 11 Jun 2026 ini, perhatian kini turut tertumpu kepada lagu tema rasminya, ‘Tak Berlagu’, yang dilihat menjadi elemen penting dalam menghidupkan emosi dan penceritaan filem tersebut. 




Berbeza dengan kebanyakan karya seram yang bergantung kepada elemen kejutan dan suspen, Khadam’ tampil dengan pendekatan lebih dramatik dan emosional apabila muzik dijadikan medium utama untuk menyampaikan perasaan kehilangan, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.

Lagu yang dipersembah oleh Ernie Zakri itu merupakan hasil ciptaan Rendra Zawawi bersama NJWA, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh NJWA. 

Melodinya dibina secara berperingkat-peringkat, bermula dengan nada tenang sebelum berkembang menjadi lebih berat dan menyentuh emosi, selari dengan perjalanan watak utama, Melor.



Bagi Ernie Zakri penglibatannya dalam lagu tersebut hadir kerana hubungan emosi yang kuat dengan jalan cerita filem berkenaan.

“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mengetahui ia merupakan kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” jelas Ernie di majlis pelancaran ‘Tak Berlagu’ yang berlangsung di Serai, KLGCC pada 25 Mei 2026.

Turut hadir antaranya Pengarah Urusan  Universal Music Malaysia, Kim Lim; Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng; komposer dan penerbit lagu, Rendra Zawawi dan Penulis Lirik, NJWA serta ramai lagi pihak pengurusan. terlibat.


Ernie Zakry menerima jambangan bunga daripada Kim Lim (tiga dari kanan) di samping Hermond Cheng (tiga dari kiri), Turut bersama, pihak pengurusan Universal Music Malaysia, Putri Balqish, Brandon Chan, Ivan Koh dan Brian Raqeem.


Berkongsi pengalamannya,  Ernie memberitahu, penghayatan terhadap watak Melor turut memberi kesan sepanjang proses rakaman. 

“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar-benar dapat merasai emosi itu,” tambah pemilik nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakrii ini sambil  menifatkan 'Tak Berlagu' berbeza daripada kebiasaan lagu pop yang sering dipersembahkannya.

Sementara itu, Rendra Zawawi memaklumkan kekuatan “Tak Berlagu” terletak pada susunan muzik yang dirancang secara teliti agar setiap lapisan bunyi bergerak seiring dengan perkembangan emosi dalam filem.

“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. Lagu ini berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama bersama NJWA memberi dimensi lebih mendalam terhadap karya tersebut.

“Sebagai seorang ibu, NJWA berjaya menzahirkan melodi dengan rasa yang lebih dekat dan jujur,” tambahnya. 


Ernie bersama NJWA dan Rendra Zawawi.


Selain menampilkan susunan muzik yang dramatik, lagu ini turut menjalani proses produksi bertaraf antarabangsa menerusi sentuhan Alvin Wee yang mengendalikan proses adunan dari Los Angeles serta Jett Galindo yang bertanggungjawab terhadap proses mastering. Kedua-duanya merupakan pemenang Anugerah Grammy.

Penggunaan alat muzik akustik secara langsung seperti piano, violin, viola, cello dan double bass turut memberi kekuatan tersendiri kepada lagu “Tak Berlagu”, sekali gus menghasilkan pengalaman audio yang lebih sinematik dan menyeluruh.

“Tak Berlagu” merupakan kolaborasi antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia yang menggabungkan produksi filem, strategi komunikasi dan penerbitan muzik dalam satu kerjasama kreatif.

Menurut Hermond Cheng, kerjasama ini didorong oleh kekuatan cerita Khadam yang turut dihidupkan oleh lagu. 

“Filem Khadam menitik beratkan penceritaan dalam lagu dan muzik bukan sekadar elemen sokongan sesebuah filem. Lagu ini juga sangat bergantung kepada kekuatan vokal dan emosi, dan itu merupakan kelebihan Ernie,” katanya.



Keunikan “Tak Berlagu” terletak pada keberaniannya untuk membiarkan melodi berbicara dalam keheningan. 

Bagi mencapai impak emosi yang mendalam, produksi ini menggunakan instrumen muzik secara langsung sepenuhnya. 

NJWA pula memberikan sentuhan emosi menerusi permainan piano, disokong oleh susunan orkestra akustik oleh David Ling serta barisan pemuzik bertali yang terdiri daripada Phyllis Yau, Khalid Reduan, Benjiviolist, Jonathan Oh, dan Keng Onn.

Pelancaran lagu tema rasmi itu sekali gus memperluas lagi promosi 'Khadam' ke platform penstriman digital dan media hiburan, selain mengukuhkan identiti filem tersebut sebagai karya seram dramatik yang memberi fokus kepada kekuatan emosi dan mutu produksi. - KitaReporters

11
11
0
12
0

Copy Link: