Dalam dunia hubungan hari ini yang semakin rumit dan sukar ditebak, persoalan tentang keikhlasan menjadi antara perkara paling dekat dengan emosi ramai anak muda. 





Perasaan takut untuk membuka hati selepas pernah kecewa atau dikhianati juga menjadi realiti yang semakin biasa dilalui dan tema itulah yang diterjemahkan Zynakal, 27,  menerusi single terbaharunya berjudul “Niat”.

Tampil dengan karya yang lebih jujur dan emosional, Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli ini membawa pendengar menyelami konflik dalaman seseorang yang mula jatuh hati tetapi masih dibayangi trauma serta ketakutan terhadap niat sebenar insan yang hadir dalam hidupnya. 

Lagu ini menyentuh tentang dilema untuk mempercayai cinta, terutama apabila pengalaman lalu menjadikan seseorang lebih berhati-hati dalam membuka ruang buat orang baharu.

Menerusi bait lirik seperti “apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati”, “Niat” menggambarkan persoalan yang sering bermain dalam fikiran mereka yang pernah terluka dalam hubungan. Walaupun cuba mengawal perasaan, hati akhirnya mula mengakui kehadiran seseorang yang semakin sukar untuk diabaikan.



Sebagai antara rapper muda yang memiliki identiti tersendiri dalam muzik hip hop dan pop urban tempatan, Zynakal terus mempertaruh penulisan yang dekat dengan realiti kehidupan generasi muda. 

Pendekatan muziknya yang santai tetapi penuh emosi menjadikan karya tersebut mudah difahami dan relatable buat ramai pendengar.

Nama Zynakal sendiri bukan asing dalam industri muzik tempatan. Sebelum aktif sebagai penyanyi, beliau terlebih dahulu mencipta nama sebagai komposer dan penerbit rakaman menerusi beberapa lagu hit termasuk “Sabar” nyanyian Ismail Izzani, “Selamat Tinggal Sayang” oleh Haqiem Rusli serta “Terasa Cinta” nyanyian Fara Hezel dan Aiman Tino.



Karier nyanyiannya mula mendapat perhatian menerusi single “Terbang” pada tahun 2018 sebelum lagu “Sakit” bersama Yonnyboii mencetuskan fenomena besar dalam industri muzik tempatan. 

Sepanjang perjalanan seni, Zynakal turut melalui pelbagai fasa kehidupan yang banyak membentuk dirinya sebagai seorang pengkarya yang lebih matang dan terbuka dalam berkongsi emosi menerusi muzik.Lagu tersebut pernah menduduki tangga pertama carta RIM ‘Single Paling Distrim di Malaysia’ selama lapan minggu berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis muda berpengaruh dalam arus perdana. 

Malah beliau juga menduduki tangga teratas di bawah Ernie Zakri mahu pun Biduanita Negara, Dato Seri Siti Nurhaliza dalam carta 10 Artis Malaysia yang mempunyai pendengar bulanan paling banyak dalam Spotify



“Niat” menjadi antara karya yang lahir daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap realiti hubungan masa kini yang sering dipenuhi persoalan tentang kesetiaan, kejujuran dan rasa takut untuk mencintai semula.

Dengan susunan muzik yang minimalis namun sarat dengan elemen emosional, digabungkan dengan melodi yang santai, lagu ini dijangka mampu menyentuh hati mereka yang pernah berdepan dengan kekecewaan masa lalu tetapi masih menyimpan harapan untuk difahami.

Karya ini diterbitkan oleh Wongie7, dengan sentuhan teknikal daripada Zynakal sendiri selaku jurutera adunan, manakala Ian Koren pula bertanggungjawab sebagai jurutera mastering untuk memastikan kualiti audio yang terbaik buat para pendengar. - KitaReporters

22
6
0
11
0

Copy Link: