Tahniah Nawawee! Penerima Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI)! PELITA nyalakan semangat sasterawan!

Published by
KitaReporters


MALAM Hadiah Sastera Darul Iman V (HASDI V) yang dicetuskan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sekali lagi berjaya mengumpul golongan sasterawan dari seluruh pelosok Negeri Terengganu dalam satu perhimpunan yang penuh bermakna kepada penulis negeri itu.

Program yang berlangsung di Duyung Marina Dan Resort, Pulau Duyung,Kuala Terengganu, pada 5 Mac 2022  lalu memberi gambaran persatuan sastera negeri itu yang dipelopori oleh PELITA tenyata masih bernyala meskipun dunia kini dilanda teknologi moden dalam era komunikasi sejagat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sasterawan


Kejayaan PELITA mengumpul golongan sasterawan, penulis dan penyajak dalam satu bumbung turut mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang sentiasa memberi sokongan padu kepada aktiviti sastera di negeri berkenaan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  mengakui, kejayaan penganjuran Anugerah Sastera Darul Iman (HASDI) membuktikan PELITA sebagai persatuan sastera yang utama di Negeri Terengganu telah berjaya diterjemahkan kehendak kerajaan dalam meletakkan kegiatan sastera sebagai salah satu daripada perkara yang digariskan dalam gagasan kerajaan negeri. 

Usaha murni yang dilakukan oleh PELITA sejak 1982 dengan siri Anugerah Sastera Darul Iman (ASDI) yang melangkaui seluruh Nusantara.


Penerima Anugerah Sasterawan Harapan Nawawee Mohammad  menerima hadiah daripada Hishamuddin Abdul Karim


Bermula pada 2013 bentuk penghargaan kepada sasterawan negeri diteruskan dengan HASDI dan pada tahun ini (2022) anugerah diteruskan dengan HASDI V tersebut diteruskan dengan HASDI V, satu bentuk pengiktirafan secara dwitahunan kepada sasterawan tempatan.

Sempena majlis tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, HIshamuddin Abdul Karim, pelbagai anugerah mengikut kategori penulisan diadakan oleh pihak penganjur bagi menghargai dan mengiktiraf golongan sasterawan negeri itu.

Penyair kelahiran Besut, Nawawee Mohammad, 71, dinobatkan sebagai penerima Sasterawan Harapan Negeri Terengganu.


Nawawee Mohammad


Nawawee atau nama sebenar Mat Rawi Hamat, dilahirkan di Kampung Pok Wong, dekat Jertih, Besut,mula berjinak dalam penulisan sajak dan cerpen pada awal 70-an. 

Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Atas,Kuala Terengganu, beliau menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kemudian meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM).

Selepas sajak pertamanya berjudul Sebuah Harapan tersiar dalam Majalah Filem, tumpuan beliau terus kepada penulisan sajak dengan kumpulan sajak pertamanya Suara dalam Perjalanan (1978).


Sebahagian tetamu yang hadir pada malam Hadiah Sastera Darul Iman di Marina Duyung & Resort, Pulau Duyung, Kuala Terengganu


Bekas seorang pendidik Nawawee kerap mendapat hadiah karya puisi termasuk Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Darul Iman dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Sementara itu, Ketua Satu PELITA, Kamarulzaman Ismail, berkata HASDI yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri ialah pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis dan sasterawan anak negeri Terengganu selain terbuka kepada penulis yang bermastautin di negeri itu yang menulis dalam bahasa Melayu manakala PELITA sebagai penganjurnya. - KitaReporters


 

 

19
9
1
10
0

Copy Link: