Jika selama ini, peminat hiburan tempatan hanya mengenali pelantun lagu ‘Patah Seribu’, Shila Amzah sebagai antara satu-satunya penyanyi popular yang berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina, kini muncul pelapisnya, Juara Yippi Star Quest 2020, Masya Masyitah.

Seperti Shila, Masya atau nama penuhnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, 21, bukan sahaja dikenali di tanah tumpah darahnya sendiri bahkan mencipta nama di China apabila berjaya memenangi hati rakyat negara itu melalui pertandingsn nyanyian disertainya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Masya Masyitah


Bayangkanlah, Masya mampu mengalahkan 3,000 peserta lain pada pertandingan Yippi Star Quest 2020 itu untuk ke pentas akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$40,0000 (kira kira RM160,000), sekali gus membuktikan kuasa bintang yang ada pada dirinya cukup untuk melangkah ke peringkat antarabangsa khususnya  di bumi China.

Terbaharu, mengorak langkah, Masya memperkenalkan single solo pertama berbahasa Mandarinnya berjudul ‘Jiu Meng Xin Su’ ciptaan istimewa oleh penulis lirik dan komposer muzik hebat tempatan, Kai Kai, dihasilkan bersama produser terkenal, Ong Peng Chu dalam genre slow rock.



Menurut Kai Kai, lagu berkenaan diciptakan khas buat Masya kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih, manakala Peng Chu mahukan Masya menyanyikannya dengan stail slow rock ala Melayu bagi memberi satu  kelainan.

“Lagu ini mengisahkan tentang percintaan sepasang kekasih yang sanggup berkorban apa saja demi kebahagiaan masing-masing, akan tetapi malang menimpa apabila teman lelakinya terpaksa menyembunyikan penyakit yang dialaminya dan terus berdiam diri membuatkan teman wanitanya tertanya-tanya sehingga mereka berpisah dengan pengakhiran yang menyayat hati,” cerita Masya panjang lebar mengenai kisah di sebalik maksud lagunya itu.



Juara Ceria Popstar musim kedua di Astro Ceria pada 2014 ini memberitahu sudah lama menyimpan hasrat untuk sebuah single solo Mandarin apatah lagi selepas menjuarai Yippi Star Quest 2020.

“Pada mula Sya diberikan demo lagu ini dan selepas mendengarnya, hati terus terpaut dengan melodi yang begitu indah sekali ditambah dengan jalan cerita yang pasti membuat sesiapa saja tersentuh,” tambah Masya yang membahasakan dirinya Sya.

Malah penyanyi yang popular dengan lagu hitnya ‘Halimunan’ ini hanya memakan masa selama satu jam sahaja bagi proses rakaman tatkala negara masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika itu dan berpandukan SOP yang ditetapkan.



“Banyak yang Sya pelajari ketika sesi rakaman, Kai Kai dan Peng Chu banyak memberi nasihat berguna dalam menyampaikan lagu tersebut agar feel sedih itu ada,” tambahnya.

Menyingkap perjalanan seninya, pada usia yang begitu muda, pelbagai anugerah telah dirangkul sehingga membuatkan netizen tertanya-tanya apa rahsia di sebalik kejayaannya itu dan bagaimana hadiah kemenangan tersebut dibelanjakan?

“Terus terang Sya katakan tiada formula rahsia yang digunakan, cuma buat yang terbaik dan ingat pesan orang tua Sya agar melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas untuk membuahkan hasil, manakala hadiah yang dimenangi lebih kepada pembelian aset untuk masa hadapan,“ jawab Sya sambil berharap singlenya itu mendapat sambutan ramai khususnya dalam kalangan pendengar berbangsa Cina tempatan malah mampu menembusi pasaran rantau China kelak.

Sementara itu, menyimpan harapan yang sama, Ketua RocketFuel Entertainment, Feros Sayna yakin  Masya yang telah berjaya menewaskan 3,000 pesaingnya dapat meraih perhatian dunia bahawa anak Malaysia mampu pergi jauh dan pastinya ‘Malaysia Boleh’. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: