SEMPENA bulan kemerdekaan dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 serta Hari Malaysia ke-58, penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit, Astro mengumumkan tema #KitaTeguhBersama sejajar dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-25 sejak ditubuhkan pada tahun 1996. 

Sehubungan itu, sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, Astro meraikannya dengan melancarkan saluran khas, ‘Astro 25 di Saluran 100’, menyajikan program-program hiburan tempatan dan serantau, judul-judul terkini, filem-filem pecah panggung dan seleksi dokumentari khas bermula 16 Ogos hingga 3 Oktober 2021 depan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Astro



“Tema yang diangkat, #KitaTeguhBersama membawa maksud kita adalah lebih kuat dan baik bersama. 

"Ia mencerminkan segala nilai yang kita nampak dalam kalangan rakyat Malaysia dan boleh dijadikan asas utama untuk kita kembali bersatu padu, baik semula dan berkembang di saat-saat sukar ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan sambil menyifatkan Hari Kebangsaan tahun ini teramat istimewa apabila disambut bersamaan sambutan Jubli Perak Astro. 

Beliau berkata demikian pada majlis  sidsng media Kempen Hari Kebangsaan dan Sambutan 25 Tahun Astro Berkhidmat Untuk Rakyat Malaysia yang berlangsung secara maya pada 16 Ogos 2021.

Turut hadir bintang popular yang meningkat naik dalam platform Astro, Nabil Ahmad dan juga beberapa  penerbit dan pengarah filem antaranya seperti Chiu Keng Guan yang mencipta sejarah di China apabila filem sulong arahannya, “On Your Mark’ meraih kutipan pecah panggung RM8.7j pada hari pertama tayangannya sehingga berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM100 juta.

Kini rakyat Malaysia berpeluang menontonnya apabila ‘On Your Mark’  berkisahkan tentang seorang bapa yang membantu anak kurang upayanya terlibat dengan acara marathon akan disiarkan menerusi Astro First (saluran 480) pada 26 Ogos 2021 ini.



Selain itu, sebuah dokumentari bertajuk ‘We Are No Different’ oleh Chiu Keng Guan yang mengangkat kisah ‘interracial adoption’ atau penerimaan antara kaum dalam kalangan keluarga dalam negara ini yang kerap kali terlepas pandang oleh masyarakat, namun dianggap sebagai sesuatu yang normal, akan turut ditayangkan di Astro

Menyambung kata-katanya, Henry Tan memberitahu Saluran 100 akan menyediakan lebih daripada 150 kandungan menarik sepanjang ia bersiaran dari 16 Ogos hingga 3 Oktober 2021 malah banyak kejutan menanti di samping berpeluang menonton filem-filem hebat tanah air seperti ‘Ola Bola’, ‘The Journey’, ‘Paskal’, ‘Polis Evo’, dan ‘Hantu Kak Limah’.

Menurut beliau, sebuah dokumentari, ‘Tanah Tumpahnya Darah Kita’  dan ‘Journer To Stardom' turut disediakan buat tatapan pelanggan Astro dalam Saluran 100 berkenaan.



Tanah Tumpahnya Darah Kita, berkisar tentang seorang lelaki yang setia berkorban dalam melaksanakan tugas hakikinya sebagai tentera dan menceritakan segalanya menerusi surat kepada isteri dan keluarga tercinta. 

Dalam surat itu, turut dikongsikan bersama kisah-kisah tentera lain yang berani menjaga negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan adat masing-masing.

Manakala 'Journey to Stardom’ pula membawa penonton menelusuri kisah barisan selebriti kesayangan ramai dalam merealisasikan impian masing-masing.



“Tahun ini Astro berusia 25 tahun dan kami akan terus komited dalam usaha menyajikan rakyat Malaysia dengan seleksi kandungan yang penuh variasi, menggabungkan perkhidmatan-perkhidmatan penstriman terhebat seperti Astro Go, Disney+ Hotstar, HBO Go, iQIYI dan akan datang, Netflix. 

"Kami akan terus mencipta tanda aras baharu dalam menerbitkan program-program tempatan terbaik dan rancangan siaran langsung demi menghiburkan rakyat Malaysia,” janji Henry Tan.

Sementara itu, Nabil turut melahirkan penghargaannya dapat berkembang bersama Astro dan mencipta nama daripada seorang budak penghantar surat kepada seorang penerbit dan pengarah filem dikenali ramai sejak menjuarai rancangan realiti pencarian bakat komedi ‘Raja Lawak Astro' musim kedua.

“Saya berterima kasih kepada Astro khususnya Henry Tan yang sentiasa menyokong saya  dan memberi semangat apabila kadang kala saya rasa tidak mampu melakukan sesuatu,” ujar Nabil. yang merupakan antara artis-artis popular kelahiran Astro selain Zizan Razak, Datuk Aznil Nawawi, Jihan Muse dan ramai lagi.

Selamat Ulang Tahun ke-25 Astro, #KitaTeguhBersama sebagaimaa objektif Astro agar rakyat semua lebih kuat dan baik bersama untuk kembali bersatu padu dan berkembang di saat-saat sukar ini. - KitaReporters



0
0
0
0
0

Copy Link: