Mohd Nor Hamzah(tengah) bersama Lily Julia Hassan Tan dalam pertemuan menyelesaikan isu pesta dangdut di sebuah hotel di Kuala Terengganu


VIDEO seorang penyanyi seksi berpakaian wanita bersama beberapa penari membuat persembahan dangdut tular dalam media sosial lalu menyebabkan ia menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk negeri Terengganu.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu, Lily Julia Hassan Tan membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai kejadian mendukacitakan tersebut selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah yang mewakili kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut Lily pihaknya tidak dimaklumkan oleh penganjur mengenai adanya penganjuran pesta tersebut sebaliknya penganjur hanya memberitahu pihak hotel untuk menempah dewan dan jamuan bagi program anjuran individu terbabit.


Lagi cerita-cerita hiburan berkaitan dangdut

Mohd Nor Hamzah


Sementara itu, menurut Mohd Nor, penganjuran aktiviti berunsur hiburan di negeri Terengganu tidak dihalang dan boleh diadakan tetapi ia perlu menghormati garis panduan hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. 

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk memberikan pandangan, penjelasan dan menerangkan hala tuju yang jelas tentang garis panduan untuk menganjurkan sebarang bentuk hiburan.

Katanya, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) akan dirujuk bagi meneliti kesalahan penganjuran hiburan yang tidak mengikut panduan berkaitan hiburan tersebut.

Mohd Nor merujuk isu persembahan hiburan pesta dangdut yang menampilkan penyanyi seksi ketika membuat persembahan hiburan di sebuah hotel di Kuala Terengganu menjelang sambutan awal Ramadan pada 3 April 2022 lalu. 


Mohd Nor menunjukkan buku garis panduan penganjuran program hiburan yang perlu dipatuhi pihak penganjur.Kredit gambar UPDI


Mohd Nor menerusi catatan dalam akaun Facebook miliknya berkata dia mewakili kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan hotel dan juga pihak berkuasa yang terlibat termasuk JHEAT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat yang jelas mengenai kejadian yang berlaku.

“Saya difahamkan bahawa pihak penganjur telah mengadakan pesta tersebut pada kala umat Islam sedang sibuk untuk menyambut ambang Ramadan yang penuh kesucian,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran pesta ini sangat mendukacitakan orang ramai yang sangat sensitif terhadap perkara tersebut.

Oleh itu,katanya, satu laporan telah diterima oleh PDRM berhubung penganjuran pesta tersebut. Siasatan dan tindakan susulan akan dibuat oleh pihak PDRM dan juga JHEAT berhubung kejadian yang berlaku.

Kerajaan negeri mengharapkan siasatan dan tindakan lanjut dapat dijalankan dengan setelusnya dan sebaiknya tanpa campur tangan oleh pihak ketiga dengan menyerahkan sepenuhnya siasatan dan tindakan lanjut kepada penguatkuasa JHEAT dan juga PDRM. Semoga kejadian seperti ini tidak akan berulang kembali di masa akan datang. - KitaReporters


 

 

11
15
2
15
5

Copy Link: