Video| Usia menopaus! Hanya wanita faham wanita! Perkongsian jujur Normala Samsudin! Jaga kesihatan!
Published byNama Puan Sri Normala Samsudin, 62, bukanlah asing dalam dunia penyiaran tanah air.
Bekas personaliti televisyen yang cukup sinonim dengan program Nona ini pernah mencipta fenomena dengan aura kelembutan, keanggunan serta profesionalisme yang memikat hati penonton.
Sehingga hari ini, dia kekal sebagai figura yang dikagumi bukan sahaja kerana kecantikan yang seolah tidak dimamah usia, tetapi juga kerana keperibadian yang tenang dan penuh inspirasi.
Awal tahun 2026 lalu, dia mencetuskan kebimbangan ramai apabila berkongsi detik cemas apabila tekanan darahnya melonjak sehingga mencecah bacaan 211, sekali gus memaksanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan segera.
Dalam perkongsian tersebut, dia mengakui telah berdepan masalah tekanan darah tinggi sejak beberapa bulan sebelumnya, meskipun menjalani gaya hidup aktif, bersenam dan menjaga pemakanan.
Namun dalam ujian itu, ada sinar kelegaan di mana hasil pemeriksaan lanjut mendapati keadaan jantung, paru-paru, darah dan buah pinggangnya masih dalam keadaan baik.
Namun begitu, seiring dengan pertambahan usia, Normala juga sedang melalui satu fasa kehidupan yang cukup mencabar buat seorang wanita iaitu menopaus.
Pada Januari 2026 lalu, Normala pernah dimasukkan ke dalam wad kerana tekanan darah tinggi.
Menerusi satu perkongsian jujur terbaharunya (29 March
2026) dalam media sosial, dia membuka cerita tentang perjalanan peribadi yang
mungkin sukar difahami mereka yang tidak mengalaminya sendiri.
“Usia menopaus, hanya wanita faham wanita,” tulisnya
ringkas, namun cukup dalam maknanya.
Dia berkongsi bagaimana dalam tempoh tiga bulan sejak didiagnos dengan tekanan darah tinggi, tubuhnya melalui perubahan yang bukan sedikit.
Rasa sakit dan keletihan hadir tanpa henti. Ada hari yang terasa seolah tiada tenaga langsung untuk bangun meneruskan rutin.
“Kesakitan dan keletihan seolah tiada kesudahan. Ketidakberdayaan, lesu, hilang selera dan sakit badan macam disiat kulit,” luahnya jujur.

Perkongsian itu bukan sekadar cerita kosong, tetapi gambaran realiti yang dialami ramai wanita, cuma tidak semua berani bersuara.
Menopaus sering dianggap sebagai satu fasa biasa dalam kehidupan wanita. Namun hakikatnya, pengalaman setiap individu sangat berbeza. Ada yang melalui dengan tenang tanpa simptom ketara dan ada juga yang perlu berdepan perubahan fizikal serta emosi yang cukup berat.
Normala sendiri mengakui, sejak usia 30-an, dia sudah mula membaca dan memahami tentang menopaus. Namun apabila tiba masanya untuk melalui sendiri, ia tetap satu pengalaman yang tidak mudah.
“Manusia itu dicipta Allah berbeza-beza,” katanya, menerima dengan reda setiap ujian yang datang.
Di sebalik kesakitan, dia tetap berpegang pada prinsip bahawa setiap penyakit pasti ada jalan penyelesaiannya.
“Tiap masalah ada penyelesaiannya. Tiap penyakit ada ubatnya, hanya mati tiada ubat.”

Perkongsian ini turut mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya tampil memberikan sokongan serta berkongsi pengalaman masing-masing.
“Perkongsian yang baik, terima kasih puan,” tulis
seorang netizen, ringkas namun penuh makna.
Ada juga yang melihat sisi positif daripada
perkongsian tersebut, terutama tentang kesedaran menjaga kesihatan hormon.
“Alhamdulillah, seronok tengok Puan Sri yang masih cantik seperti dulu. Saya pernah buat ujian darah di Skyhill, layanan dan result sangat membantu. Rupa-rupanya kita tak sedar kepentingan menjaga hormon adalah kunci kesihatan sebenar.”

Tidak kurang juga yang mengagumi kecantikan semula jadinya yang masih kekal hingga kini. “Cantiknya, nak macam ni juga apabila tua nanti,” komen seorang netizen dengan nada kagum.
Malah ada yang terkenang momen lama ketika Normala
menghiasi kaca televisyen.
“Dulu-dulu, setiap Ahad pagi dah terpacak depan TV nak tengok beliau bersiaran dalam Nona,” imbau seorang peminat setia.

Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa hormat
terhadap figura wanita sepertinya yang menua dengan penuh keaslian.
“Suka sangat tengok Puan Sri, berusia tanpa ubah apa-apa pada wajah. Tetap cantik jelita asli. Antara yang saya kagum,” ungkap netizen tersebut penuh kagum.

Dalam masa sama, ada juga wanita lain yang berkongsi
pengalaman melalui fasa menopaus dengan cara yang lebih tenang.
“Alhamdulillah, saya lalui semua ini dengan tenang, mengikut aturan-Nya. Semoga Puan Sri sentiasa dalam rahmat Allah,” tulis seorang netizen lagi.

Apa yang dilalui oleh bekas pengacara dan pembaca
berita ini adalah cerminan kepada realiti ramai wanita di luar sana. Bezanya,
dia memilih untuk berkongsi agar wanita lain tidak merasa keseorangan.
Menopaus bukan penamat, tetapi satu fasa baru yang perlu difahami, diterima dan diurus dengan baik.
Pesan Normala cukup jelas, berusahalah untuk kesejahteraan diri, keluarga dan orang sekeliling kerana di sebalik setiap ujian, pasti ada hikmah yang menanti. - KitaReporters
Normala bersama suami, Tan Sri Azmi Khalid.
