Hujan lebat yang turun di bandar warisan Taiping, Perak yang juga dikenali sebagai bandar hujan tidak mematahkan kebanjiran penonton datang untuk menyaksikan Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan Taiping pada 3 Mei 2026.


Dua atlet wanita sedang beraksi di gelanggang muay di Taiping.

Penganjuran MIMAC 3.0 yang memasuki tahun ketiga anjuran Persatuan Tomoi Perak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta sokongan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Persatuan Tomoi Malaysia mendapat sambutan dalam kalangan pemain muay terutama generasi muda.

Ini kerana penganjuran muay atau tomoi seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari perlu diteruskan secara konsisten bagi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.

Ini katanya, Malaysia kini semakin menyerlah di pentas antarabangsa dengan penyertaan atlet muay Thai ke peringkat dunia, sekali gus membuktikan potensi besar sukan tersebut.

“Kejayaan beberapa atlet tempatan wajar dijadikan inspirasi untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan berkenaan.

“Kita mahu melihat lebih ramai atlet tempatan membanggakan negeri dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya ketika menutup MIMAC 3.0 di Dataran Warisan Taiping, Perak pada 3 Mei 2026.


Mohamed Taufiq Johari (kanan) menunjukkan aksi muay selepas penutupan MIMAC 3.0 di Taiping.

Taufiq turut memuji semangat masyarakat Taiping yang terus memberikan sokongan padu walaupun berdepan hujan lebat, sekali gus mencerminkan minat mendalam terhadap sukan tersebut.

Mengulas pencapaian sukan muay, Taufiq berkata, sukan muay Thai berjaya menyumbang 10 pingat pelbagai warna pada temasya Sukan SEA 2025 dan diyakini mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Tambahnya, Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 perlu memanfaatkan peluang itu dengan memperkukuh pembangunan atlet bermula dari peringkat akar umbi.

“Sukan ini bukan sahaja memerlukan kesungguhan, tetapi juga semangat jati diri, disiplin dan hormat antara atlet, yang secara tidak langsung memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  sentiasa komited menyokong pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif termasuk dana komuniti dan geran padanan sukan.

“Bagi penganjuran MIMAC 3.0, kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 di bawah geran padanan sukan,” katanya.


Dr. Mohammed Taufiq Johari (lima dari kanan) menyerahkan cek cura (mock cheque) bernilai RM150,000 semasa penutupan MIMAC 3.0 di Taiping 


Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kemudahan gelanggang dan pusat latihan akan diberi perhatian serta ditambah baik bagi memastikan pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

“Usaha memperkasa sukan muay memerlukan kerjasama semua pihak termasuk persatuan, penganjur, pemimpin masyarakat serta wakil rakyat. 

"Dengan sokongan berterusan, kita yakin lebih ramai atlet dari peringkat akar umbi mampu diketengahkan ke tahap lebih tinggi,” katanya. - KitaReporters

17
7
0
13
0

Copy Link: