Oleh KARIM DAUD

Terengganu memulakan kempen Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 dengan penuh debaran apabila terpaksa bergelut sebelum menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 25-24 dalam aksi sengit di Padang Astaka, Petaling Jaya.


Kudrat bekas pemain kebangsaan berpengalaman besar di pentas antarabangsa, Mohd Syahir Asraf Rosli menghadiahkan 5 mata buat Terengganu melalui jatuhan try pada separuh masa pertama perlawanan bertemu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sewaktu perlawanan pembukaan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 bertempat di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 9 Mei 2026. 


Perlawanan baru memasuki minit awal sudah menyaksikan Kuala Lumpur terlebih dahulu menghukum kesilapan Terengganu apabila pemain import mereka, Qio Tuilekutu, menyempurnakan sepakan penalti untuk membuka tirai jaringan dan memberi kelebihan awal 3-0 kepada tuan rumah.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Terengganu segera menyamakan rentak permainan menerusi fullback Muhammad Faizal Md Tahir yang melakukan try di penjuru padang sebelum menyempurnakan conversion untuk mendahului 7-3.

Momentum itu kembali berpihak kepada Kuala Lumpur yang mempamerkan aksi bertenaga, termasuk satu try dan conversion pada minit ke-21 untuk kembali di depan 13-7.

Terengganu bagaimanapun terus memberi tekanan dan merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Muhammad Faizal sebelum menutup separuh masa pertama dengan kelebihan tipis 17-16 selepas menambah satu lagi try.


Aksi pemain hooker Terenganu Danish Rafiqin Abdul Qayyum cuba melepasi jentera pertahanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sewaktu perlawanan membuka tirai kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42. 


Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam perlawanan yang semakin tegang, namun beberapa percubaan gagal disempurnakan dengan baik.

Kuala Lumpur kemudian terpaksa beraksi dengan 14 pemain selepas pemain gantian import Waisake Maseikula dilayangkan kad kuning pada minit ke-46.

Walaupun berada dalam kelebihan pemain, Terengganu gagal memanfaatkannya sepenuhnya apabila sekadar menambah tiga mata menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 untuk kekal mendahului tipis.

Aksi semakin mendebarkan pada penghujung perlawanan apabila Kuala Lumpur kembali mendahului hasil sepakan penalti dan try, sebelum Terengganu melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan dengan try kemenangan oleh hooker Danish Rafiqin Abdul Qayyum.


Danish Rafiqin (enam dari kanan) menjadi penyelamat untuk jatuhan try terakhir buat Terengganu bagi meraih kemenangan pertama dalam perlawanan pembuka musim Piala Agong edisi-42 berkeputusan tipis 25-24 menafikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Padang Astaka, Petaling jaya pada 9 Mei 2026.


Jaringan tersebut memastikan kemenangan dramatik 25-24 milik Terengganu dalam aksi pembukaan musim.

Terengganu seterusnya akan menentang Kelantan di gelanggang sendiri pada 16 Mei bagi aksi kedua peringkat kumpulan. - KitaReporters

16
10
0
9
0

Copy Link: