Gila Hindustan| Video| Hilangnya sukar dicari ganti! Perjalanan seni tujuh dekad sukar ditandingi!

Published by
KitaReporters

TANGGAL 12 April 2026 mencatat peristiwa duka dalam dunia seni Bollywood khasnya dan India amnya dengan pemergian penyanyi latar filem disegani, Asha Bhosle, pada usia 92 tahun.

Mendiang, adik kepada penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar, meninggal dunia di Hospital Breach Candy, ketika menjalani rawatan di Unit Kecemasan. 



Asha Boshle lebih tujuh dekad mewarnai Bollywood sebagai penyanyi latar filem, dengan merakamkan lebih 12,000 buah lagu. 


Dia dimasukkan ke hospital pada Sabtu 11 April akibat keletihan melampau dan jangkitan paru-paru. Dia juga dilapor mengalami serangan jantung.

Pemergian Asha empat tahun selepas kematian kakaknya Lata, penyanyi bersuara emas yang dianggap penyanyi latar terhebat filem Bollywood. Lata meninggal di Hospital Breach Candy pada 6 Februari 2022 dalam usia 92 tahun kerana kegagalan pelbagai organ akibat dijangkiti Covid-19.

Sepanjang karier dua beradik itu dalam dunia seni, masing-masing menempa nama sebagai penyanyi latar yang diminati dan dihormati serta sukar digugat. Selama beberapa dekad mereka mewarnai industri filem Bollywood.

Oleh itu pemergian Asha menyusul Lata ibarat padamnya satu lagi cahaya dalam dunia seni Bollywood yang masih belum sembuh daripada duka kehilangan Lata.


Asha Boshle (kiri) bersama kakaknya, Lata Mangeshkar mencipta nama sebagai penyanyi latar filem yang sukar digugat.


Pemergian Asha ibarat hilangnya seorang insan yang sejak beberapa dekad menghiburkan peminat melalui melodi menyentuh jiwa dalam filem-filem Bollywood, seperti juga kakaknya.

Asha merupakan antara penyanyi latar paling prolifik di Bollywood dengan kerjaya merentasi lebih tujuh dekad. Mendiang meminjamkan suara kepada ratusan pelakon wanita daripada pelbagai generasi.

Pada era klasik (1950-an hingga 1970-an), lagu yang dinyanyikan oleh Asha berunsur rancak, tarian atau kabaret. Suaranya kerap digunakan untuk ‘ratu gelek’ Bollywood, iaitu aktres Helen. 

Semua lagu lakonan ikonik Helen dinyanyikan oleh Asha. Misalnya lagu ‘Piya Tu Ab To Aaja (filem Caravan) dan Yeh Mere Dil (filem Don).


Asha Boshle mendendangkan lagu hit 'Chura Liya Hai Tumne' pada satu konsert. Lagu ini dipetik dari filem 'Yaadon Ki Barat' (1973). Dalam filem tersebut lagu itu didendangkan oleh Zeenat Aman.


Selain itu suaranya dipinjam kepada aktres Asha Parekh, termasuk lagu hits dalam filem ‘Teesri Manzil’. Suaranya juga serasi dengan Mumtaz terutama dalam lagu berbentuk ceria. Untuk Madhubala, Asha menyanyikan lagu ikonik dalam filem ‘Howrah Bridge’.

Pada era pertengahan (1980-an hingga 1990-an), Asha membuktikan kehebatan suaranya dengan menyanyi untuk pelakon lebih muda. Misalnya Rekha dalam filem ‘Umrao Jaan’, di mana Asha menyanyikan lagu-lagu ghazal yang mencabar.

Asha juga menyanyikan banyak lagu untuk Sridevi pada awal 80-an. Selain itu, untuk Urmila Matondkar, terutama melalui filem ‘Rangeela’ (1995). Suara Asha kedengaran sangat muda dalam lagu ‘Tanha Tanha’ dan ‘Rangeela Re’.

Pelakon lain yang menggunakan suara Asha antaranya Zeenat Aman dalam ‘Yaadon Ki Barat’; Kajol dalam ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’. Untuk Aishwaya Rai dalam filem ‘Taal’, juga Padmini Kolhapure melalui dalam filem ‘Prem Rog’.


Hospital Breach Candy, Mumbai, tempat di mana Asha Boshle dirawat dan menghembuskan nafas terakhir.


Jika sesebuah lagu memerlukan elemen sensasi, verstail, rancak atau emosi mendalam (ghazal) Asha selalu jadi pilihan utama pengarah muzik filem.

Sepanjang hayatnya, mendiang merakamkan 12,000 lagu dalam pelbagai bahasa India. Dia mendendanakan lagu ciptaan komposer dan pengarah muzik filem terkenal di Bollywood. Antaranya Kalyanji-Anandji, Laxmikant-Pyarelal dan Shankar-Jaikishan.

Asha dilahirkan pada 8 September 1933 dalam keluarga seni. Mendiang mula menyanyi sejak kecl bersama kakaknya, Lata, selepas kematian bapa mereka.

Mendiang sering dibandingkan dengan kakaknya yang lebih menonjol. Namun sebenarnya jarak populariti mereka tidaklah terlalu jauh. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. 

Asha berjaya mencipta indentiti dengan menerokai pelbagai genre lagu, termasuk pop dan rakyat.



Pada peringkat awal perjalanan kehidupan, Asha mengharungi pelbagai cabaran, termasuk perkahwinan pada usia muda 16 tahun yang kemudian menyaksikan rumah tangganya bergolak.  

Namun cabaran ini menguatkan ketahanan diri sehingga mendiang muncul sebagai penyanyi tersohor dalam industri perfileman Bollywood. 

Bagi mengiktiraf sumbangannya dalam seni, kerajaan India memberi Anugerah Dadasaheb Palke pada 2001. Mendiang juga pernah menerima dua pencalonan Anugerah Grammy.

Umur yang kian meningkat tidak menghalang Asha terus aktif. Pada usia lanjut mendiang berkoloborasi dengan artis antarabangsa. Ini termasuk penglibatan dalam album Kumpulan Maya Britain, Gorillaz, dengan judul ‘The Mountain’ (Gunung) atau dalam bahasa Hindi ‘Parvat’.

Walaupun seni suara adalah jiwa raga Asha, mendiang juga mengembangkan bakat dalam bidang masakan. Untuk itu, mendiang melancarkan rangkaian restoran “Asha’s” di Dubai dan Britain.

Pemergian Asha diratapi peminat, juga pemimpin. Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banarjee, menyifatkan Asha sebagai penyanyi yang memuk au hati masyarakat merentasi generasi.

Kehilangan Asha sukar dicari ganti. Perjalanan seni tujuh dekad sukar ditandingi. Yang tinggal hanya memori dan khazanah lagu yang ditinggalkan. 

Menurut anak lelakinya, Anand Bhosle, upacara pengkebumian ibunya diadakan di Shivaji Park, Mumbai, pada Isnin 13 April 2026. - KitaReporters


7
13
0
7
0

Copy Link: