Piala Malaysia 2023: Terengganu ke separuh akhir! Dua tahun berturut-turut! Selangor terus kempunan!

Published by
KitaReporters


Terengganu FC melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 selepas menewaskan Selangor FC 3-1 secara agregat biarpun mencatat keputusan seri 1-1 pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 24 September 2023. 

Kejayaan ini merupakan kali kedua berturut-turut mereka ke separuh akhir dan ia seperti dendam terbalas skuad Sang Penyu ini. 

Tahun lalu (2022), Terengganu tewas pada tangan Selangor pada separuh akhir namun tahun ini (2023) mereka memastikan skrip sebelum ini tidak berulang lagi. 

Red Giant dalam misi memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-34 nampaknya terpaksa melupakan hasrat tersebut selepas misi mereka berakhir untuk musim ini. 

Dalam perlawanan tersebut, Selangor selaku tuan rumah turun dalam keadaan tertekan apabila mereka memerlukan dua jaringan awal untuk memadamkan kelebihan yang ada pada Terengganu yang mempunyai dua jaringan pada suku akhir pertama baru-baru ini. 

Namun begitu, wakil dari Pantai Timur ini berada pada prestasi terbaik dan mereka berjaya mengawal permainan dengan baik. 

Red Giant terus tertekan apabila Terengganu mendahului 1-0 melalui Ivan Mamut pada minit ke-29 melalui sepakan penalti. 

Anak buah Tan Cheng Hoe menyamakan kedudukan pada minit ke-69 melalui Safwan Baharuddin namun itu sudah terlewat buat mereka. 

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner terus bertahan untuk memastikan tuan rumah tidak menambah jaringan mereka biarpun pada hujung perlawanan Selangor mendapat beberapa peluang terbaik di depan gol. 


Ivan Mamut terus menjadi nadi penting buat Terengganu selepas membantu pasukannya ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 menewaskan Selangor. Kredit foto: Facebook MFL


Pada separuh akhir nanti, Terengganu akan bertemu Kuala Lumpur City FC untuk membuat perhitungan pasukan mana yang akan ke pentas akhir Piala Malaysia tahun ini.  - KitaReporters

12
18
0
14
0

Copy Link: