Diinspirasikan daripada kisah sebenar, filem terbaharu, ‘Felai FX: Trader Gelap – Apa Mau Takut’ yang bakal menjengah pawagam Malaysia mulai 30 April 2026 ini dijangka memberi nafas segar kepada industri perfileman tempatan apabila tampil dengan gabungan pelbagai elemen penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini. 



M


Mengangkat isu penipuan atau “scammer” sebagai teras utama, filem ini mengetengahkan kisah yang bukan sahaja relevan, malah menyentuh pengalaman sebenar yang pernah dilalui ramai pihak.

Menurut pengarahnya, Zamri Zakaria, keunikan filem ini terletak pada pendekatannya yang menggabungkan pelbagai genre dalam satu naratif yang menyeluruh dan beremosi. 

“Kita cuba bawakan sesuatu yang dekat dengan kehidupan penonton. Bila kita terlalu mengejar duit, akhirnya ia boleh memusnahkan diri sendiri. Itu mesej utama yang kita nak sampaikan,” katanya pada majis tayangan perdana filem ‘Felai FX: Trader Gelap - Apa Mau Takut’ di TGV KLCC pada 17 April 2026.

Filem terbitan Teguh Setanding dengan sokongan Ampmoves Sdn. Bhd. ini juga merupakan filem sulung arahannya selepas sebelum ini aktif menghasilkan drama dan telefilem.


Salah sebuah babak lakonan Allahyarham Dharma  Harun Al-Rashid dalam filem Felai FX.


Bahkan, Ini juga merupakan filem terakhir lakonan Allahyarham Dharma Harun Al-Rashid yang meninggal dunia pada November tahun lalu (2025), sekali gus merupakan filem pertama arwah dengan anaknya, Muhammad Al-Syafiq walaupun bukan dalam babak sama.

Pun begitu bagi Syafiq, selepas kira-kira 5 bulan sejak peninggalan ayahnya, mendengar dailog ayahnya setelah sekian lama membuat beliau sedih dan menitiskan air mata.

"Selepas 5 bulan baru hari ini saya mendengar suaranya dalam filem ini, memang rasa sedih sehingga menitiskan air mata, rindu sangat dengan arwah,' komen Syafiq sambil bersyukur walaupun tidak berlakon dalam satu adegan tetapi tetap ada sebuah filem yang menampilkan beliau dan ayahnya dalam layar perak, sekali gus berjanji akan teruskan perjuangan ayahnya.  

Turut hadir pada majls tayangan perdana itu, penerbit Richard Ung;  Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal; Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak), Ahmad Nazib Johari mewakili Menterinya, Datuk Ts Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, serta barisan pelakon antaranya Isyariana Che Azmi, Noorkhiriah Ahmad Shapie dan Syafiq Dharma. 


Richard Ung (tengah) bersama pengarahnya,  Zamri Zakaria (dua dari kanan) dan barisan pelakon 'Felai FX', antaranya Syafiq Dharma (kiri), Noorkhiriah Ahmad (tiga dari kiri), dan Isyariana Che Azmi (empat dari kiri) serta lain-lain pada majlis tayangan perdananya baru-baru ini. 


Berkongsi lanjut, Zamri menjelaskan bahawa proses pembikinan bermula dengan pemilihan pelakon yang teliti sebaik sahaja skrip dimuktamadkan. 

Setiap watak dianalisis bagi memastikan kesesuaian, termasuk penemuan tidak dijangka melibatkan Dharma yang pada asalnya hanya menemani anaknya, Syafiq  ke sesi uji bakat. 

“Bila saya nampak karisma dia, saya terus rasa dia sangat sesuai untuk watak itu. Jadi saya terus tawarkan,” cerita Zambri.

Dalam nada sama,  Richard Ung menegaskan bahawa penghasilan naskhah ini bukan sekadar mengejar keuntungan komersial semata-mata, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab sosial untuk mendedahkan kepincangan dunia penipuan kewangan. 

“Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu refleksi realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat. Kami mahu penonton bukan sahaja terhibur, tetapi juga lebih peka terhadap risiko penipuan kewangan,” ujar Richard.

Meskipun membawa misi kesedaran yang berat, pihak produksi tetap meletakkan sasaran optimis dengan menyasaarkan kutipan sebanyak RM5 juta berbanding kos penerbitan bernilai hampir RM1 juta.



Pada masa sama, beliau turut menghargai sokongan stesen televisyen dari Bumi Kenyalang, TVS yang menyalurkan sumbangan hampir RM500,000 untuk urusan promosi di samping Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas sokongan dana yang diberikan, selain menyifatkan kerjasama bersama syarikat produksi Indonesia, Cinema Ad sebagai satu langkah penting untuk menembusi pasaran serantau, waima beberapa pelakon Indonesia turut terlibat iatu Adjie Pangatsu, Tsania Marwa dan Renaldy Putra.

Perkembangan ini seiring dengan komitmen TVS dalam mengangkat kandungan tempatan ke tahap lebih tinggi serta memperluas capaian kepada penonton di seluruh Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.

“TVS memperuntuk lebih RM500,000 bagi menyokong kempen pemasaran filem ini, termasuk siaran promosi, liputan khas dan integrasi kandungan,” ujar Sardon.


Mohamad Sardon Zainal (kiri) bersama  Ahmad Nazib Johari.


Sementara itu, pelakon wanita utamanya, Isyariana mengakui cabaran besar dalam membawakan watak berkaitan dunia penipuan yang sering dipandang negatif oleh masyarakat. 

“Watak scammer ni memang mencabar sebab orang dah ada persepsi. Saya cuba letakkan diri sebagai mangsa dulu, rasa macam mana bila kena tipu. Lepas tu baru faham bagaimana seorang scammer berfikir,” katanya.

Menurutnya lagi, kajian turut dilakukan bagi memahami modus operandi sindiket penipuan serta emosi di sebalik tindakan tersebut. 

“Kita kena faham kenapa mereka buat macam tu walaupun tahu ia salah, supaya lakonan nampak lebih real,” ujarnya.

Kerjasama antara pelakon Malaysia dan Indonesia turut menjadi pengalaman yang positif sepanjang penggambaran. 

“Kami banyak berbincang dan bertukar pendapat. Alhamdulillah, chemistry tu cepat terbina dan penggambaran berjalan lancar,” akhiri Isyariana.


Isyariana dan Syafiq Dharma.


Bagi memastikan ketepatan kandungan, produksi turut mendapatkan khidmat penasihat untuk menjalankan penyelidikan berkaitan hukum-hukum yang dipaparkan dalam filem. 

“Kita tak nak ada kesilapan fakta bila penonton tengok nanti, jadi kita buat kajian yang lebih teliti,” sambung Zamri.

Secara keseluruhan, ‘Felai FX: Trader Gelap - Apa Mau Takut’ dilihat berpotensi menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza dengan gabungan emosi, nilai kekeluargaan dan ketegangan. 

Pengarah  dan penerbit turut optimis filem ini mampu menembusi pasaran Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuktikan karya tempatan berupaya bersaing di peringkat lebih luas. - KitaReporters

11
16
1
10
0

Copy Link: